Wednesday, December 30, 2009

Malas Pun Kena masak....Roti Bakar Kaya dengan Pisang

Entah kenapa ada masanya kita rasa malaaaas sangat nak masak.... tapi kena jugak masak atau sedia makanan sebab malaaaas nak keluar cari makanan kat kedai...

Macam tu la keadaan K.An pagi semalam dan beberapa hari yang lepas.. Maka keluarlah pelbagai idea 'merapu' bagi mengenyangkan perut sendiri dan 5 orang anak yang ada tu.. (Abg.Azam demam lagi dan tak lalu makan...)

Pagi.. sambil belek resepi penkek ngan pisang kat buku memasak 'Omputeh' K.An punya tu, timbul idea buat sarapan roti bakar ngan pisang ni... hasilnya.... 'not bad'. Asma' kata sedaaap...

Bahan-bahan dan cara membuatnya pun senang....

1. Bakar Roti
2. Sapu margerin dan kaya
3. Susunkan hirisan pisang
4. Sedia dimakan.... Sonaaaang...
Yang ini kudapan petang ketika malas juga....

Ada buah-buahan, timun dan sengkuang. Godek kuah rojak Mak Bee. Tabur kacang tanah... sedia dimakan....

Tuesday, December 29, 2009

Yong- Tau-Fu

14 tahun lepas, masa mengandungkan Iqbal, K.An dan Abang Azam akan naik motor ke pasar malam berdekatan rumah kami di Gombak walaupun dah lewat malam sebab teringin nak makan yong-tau-fu ni.. yang kelakarnya teringat sekali tu pasar malam dah nak tutup dan yang jual yong tau-fu tu kata bahan-bahannya dah nak habis..
K.An kata tak apa asalkan ada kangkung...K.An mintak 3 ikat sekali..heheh.. Nak tau ceritanya, kalau beli yong-tau-fu, K.An suka kangkung banyak-banyak... Entah kenapa, sukaaa sangat dengan rasa kangkung bercampur kuah yong-tau-fu... Satu lagi K.An akan mintak bijan dan kacang tanah lebih....Baru puas hati..
Bila dah nak masuk anak ke-6 ni, pengalaman masak pun dah banyak, rasanya bila teringin nak makan ni, buat je sendiri kan.. lagipun dah lama intai resepi ni kat MyR, cuma belum cuba sendiri je.. Petang tadi dalam hujan renyai-renyai, angkut je budak-budak 4 orang tu pergi pasar dan cari bahan.. (Abg.Azam demam lagi..kesian dia...)
Siaple yong tau fu buatan sendiri. Terima kasih minami@MyR sebab kongsi resepi...
Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)
5 tangkai cili kering- resepi asal guna 10 tangkai- pedas sangat plak rasanya
1 sudu besar minyak masak
1 sudu besar bijan- disangrai hingga wangi
1 keping gula melaka
2 cawan air
garam secukup rasa
(resepi asal letak serbuk perasa)- K.An ganti dengan 1 sudu besar sos tiram
gula pasir jika perlu
2 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan 1/2 cawan air
1 sudu teh belacan
Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng cili dengan api perlahan hingga garing. Proses dalam 2-3 minit je... nanti hangus pulak. Cepat-cepat angkat.
2. Masukkan cili ke dalam pengisar bersama 1/2 cawan air. Kisar halus.
3. Masukkan gula melaka dengan 2 cawan air ke dalam periuk. Masak hingga gula cair. Masukkan cili kisar tadi bersama belacan, sos tiram dan garam. Kacau hingga mendidih. Masukkan bancuhan tepung jagung, Perlahankan api. Tambah gula pasir jika belum cukup manis. Kacau kuah di atas api sehingga kuah pekat. Bila siap, bolehlah ditabur bijan dan hidangkan dengan bahan-bahan kesukaan anda.... Selamat Mencuba...
**** anak-anak K.An suka sosej dan jejari ketam. K.An suka kangkung... kacang tanah lebih....

Monday, December 28, 2009

Apam Balik lagi...

Kalau dalam cerita sebelum ni, K.An cerita pasal terbeli apam balik yang kurang semua rasanya.. kali ni ada pulak resepi baru apam balik agaknya..

Bulan lepas, sekali lagi kebetulan lalu dekat pasar malam di sini dan A.azam beri laluan untuk beli apa-apa yang teringin nak dimakan. Memandangkan dah pandai buat popia basah sendiri, tolak satu menu daripada senarai...

Dalam dok meninjau-ninjau, terlintas nak beli apam balik. Macam biasa beli sekeping yang besar dah cukup untuk merasa. Beli jagung bakar 1 tongkol, jagung kukus 1 cawan dan jagung mentah 1 peket... (dibeli dari gerai yang sama) Malangnya bila dah sampai rumah, kecewa lagi bila apam balik yang dibeli seperti terlebih serbuk penaik.. kembang tekak dibuatnya... resepi baru agaknya..heheh.. memang tobat le tak beli dah apam balik kat luar.. yang sekeping tu pun tak habis..

Semalam, terlapang dan teringin... maka terrrbuatle apam balik dari periuktanah... laju je anak-anak makan..

Dah pernah siar resepi ni sebelum ni.. K.An C & P je ye...

Resepi asal Majalah Rasa Edisi Ramadhan 2006

Bahan-bahan: (menghasilkan 6 keping apam balik saiz besar)

500 gm tepung gandum
125 gm gula kastor
375 ml air
1 biji telur
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh baking powder

Bahan inti:

150 gm kacang tanah- sangrai, buang kulit dan kisar halus
150 gm jagung krim
150 gm gula kastor
margerin secukupnya

Cara membuatnya:

1. Pukul gula bersama telur hingga kembang.
2. Masukkan soda bikarbonat, air, serbuk penaik dan kacau lagi hingga sebati. Ayakkan tepung dan gaul hingga adunan tidak berketul. Boleh guna pengadun letrik atau 'whisk' sahaja. K.An biar adunan 15 minit..

3. Panaskan kuali leper. Sapukan sedikit margerin. Masukkan 2 senduk kecil adunan dan ratakan. Perlahankan api jika kuali jenis nipis. Tutup sebentar hingga adunan setengah masak.

4. Taburkan gula, kacang tanah dan jagung ikut citarasa banyaknya. Tutup kembali dan biar masak. Lipat apam balik dan sapukan margerin di permukaannya. Angkat dan ulang proses hingga habis.

Selamat mencuba.

Sunday, December 27, 2009

Cekodok Pisang pun sedap juga...

Selamat Menyambut 10 Muharram kepada semua umat Islam tidak kira di mana berada. Kepada yang berpuasa hari ni, selamat berbuka puasa.. moga amalan kita diterima Allah SWT.

Dua, tiga hari ni tekak K.An ni rasa pahit dan kelat sikit.. kepala pun berat semacam dek 'morning sickness' akibat penyakit 'buatan orang'..... teringin nak makan macam-macam tapi tetiba pulak abang Azam yang demam... tak dapatle nak buat permintaan... heheh.. sudahnya masak je apa yang teringin dimakan..

Cekodok pisang ni K.An buat untuk minum petang semalam. Almaklum, ni kuih yang tak pernah tak habis dan sentiasa jadi kegemaran semua. malas nak fikir banyak.... buat je cekodokkkk...
Walaupun dah beratus kali buat, tapi tak pernah rasanya k.An tulis resepinya.. Memandangkan ada yang pernah tanya, walaupun senang ... apa salahnya bagi yang baru nak belajar memasak, guna je resepi ni kalau nakkan cekodok pisang yang lembut di dalam dan rangup di luar..

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang dewasa)

500 gm pisang masak yang telah dikopek kulitnya (K.An guna pisang awak- boleh guna pisang abu atau emas)
1/4 cawan gula pasir
1/2 cawan air

200 gm tepung gandum
1/2 sudu teh garam

minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Pisang dipotong 2 atau 3 mengikut saiz. Masukkan ke dalam 'blender' bersama air dan gula. Kisar halus.
2. Tuangkan ke dalam mangkuk. Masukkan tepung dan garam. Gaul sebati.

3. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Jemputkan adunan menggunakan 5 hujung jari. Masukkan ke dalam minyak. Ulang proses hingga kuali penuh. Gaul rata cekodok hingga berwarna keperangan.
4. Angkat dan toskan di atas tisu dapur. Hidang panas-panas.

***cekodok pisang ni sedap betul kalau cicah dengan sambal tumis ikan sepat atau masak merah ayam/ daging... betu tak Kimie..?

Friday, December 25, 2009

Lemak Kuning Ikan Plotan

Pastinya ramai yang tak pernah dengar nama Ikan Plotan ni kan...? Lagipun ikan ni memang jarang sangat ada di pasar-pasar di bandar yang jauh dari laut.. Kalau di Putrajaya ni pun seingat K.An, sejak tinggal di sini tak pernah K.An nampak kelibatnya di pasar. Jadinya, diampunkan le kepada sesiapa yang tak kenal ikan ni.

Yang pasti, rasanya memang sedap kalau dibuat, kari, sup, asam pedas ataupun masak lemak kuning atau masak lemak cili api. Kena pulak kalau ada telurnya sekali... hmmm memang berebut le jawabnya...

Rupa ikan ni ala-ala ikan baung dan ikan patin... rasanya lemak-lemak dan isinya lembut apabila dimasak. Kampung K.An yang berdekatan dengan kawasan nelayan di Kuala Kurau, memang tiada masalah untuk mendapatkan ikan ni..
Apapun kita layan resepi kali ni...


Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

1 ekor ikan Plotan berat lebih kurang 1 kg- siang, bersihkan dan potong kecil-kecil
10 tangkai kacang bendi

Bahan ditumbuk halus:
5 biji cili padi
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 sm halia
1/2 inci kunyit hidup

4 cawan santan daripada 1 biji kelapa
1 batang serai dititik
2 keping asam keping- boleh diganti dengan belimbing buluh jika suka

garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk dan masak hingga mendidih. Perlahankan api, kacau hingga ikan dan bendi masak. Tambah serbuk kunyit jika perlu. Rasa garam, asam dan gula. Jika cukup, boleh dipadamkan api dan dihidang.

Thursday, December 24, 2009

Gulai Ikan Keli Kampung

Masih lagi edisi tertangguh.... edisi masakan lauk-pauk masa di kampung hari tu..

Hari kedua di kampung, K.Mah (kakak kedua K.An) dan keluarga datang.. seperti biasa A.Jis akan bawak ikan segar beserta bahan-bahan untuk dimasak. A.Jis ni 'pure' orang kampung... dari segi kerajinan, gaya makanan, ketahanan dan kelasakan... semuanya ala orang kampung asli... heheh..

Memang sepadan dengan K.Mah... pakar menyediakan masakan kampung bermula dari menyiang ikan darat yang masih melompat-lompat hinggalah siap masakan yang membuka selera semua... (almaklum.. A.Jis ni mula terpikat dengan K.Mah masa zaman K.Mah naik basikal pergi mengerat padi (tuai padi guna pisau pengerat tu...) di bendang mak K.An zaman dolu-dolu...heheh.. jangan marah ye K.Mah...!!!)

Alhamdulillah, malam tu, kami makan gulai ikan keli ala kampung... Liciiiin periuk.


Tidak seperti kari mamak, gulai ikan keli ni memang dimasak agak cair berbanding kari lain.

Ini resepinya...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

3 ekor ikan keli segar- siang, cuci bersih dengan asam jawa dan limau nipis- kerat 2
4 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih dihiris halus
2 tangkai daun kari
5 tangkai kacang bendi
1 peket kecil rempah kari ikan dibancuh dengan 1/2 cawan air
2 cawan santan sederhana pekat
1 sudu besar air asam jawa cair
garam secukup rasa
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga keperangan.
2. Masukkan daun kari dan rempah kari dan tumis hingga pecah minyak. Masukkan santan dan kacang bendi. Biar mendidih.
3. Apabila bendi lembut, masukkan ikan keli. masukkan garam, air asam jawa dan biar mendidih. Rasa garamnya. Jika cukup rasanya, bolehlah ditutup api dan sedia dihidang.

*** hari ke-4 di kampung A.Jis bawak pulak ikan puyu (segar juga dari ladang)... buat gulai juga.. tapi liciiin juga..

Wednesday, December 23, 2009

Masak Lemak Pucuk Manis dengan Keledek

Assalamualaikum dan salam rindu kepada semua...

Dah lama tak bersiaran, kita terus kepada resepi hari ni..

Puas makan daging, ayam dan nasi minyak, lepas kenduri memang sedap kalau dapat makan masakan ala-ala kampung gini.

Dah berhari-hari intai pucuk manis dan bunga kantan mak kat belakang rumah, hari terakhir di kampung, K.An buat masak lemak pucuk manis dengan keledek. Almaklum, pucuk manis kalau petik segar dari pokok, memang manis dan kita pilih yang lembut je... mmmp.. memang sedap.

Resepinya macam masak lemak yang lain tu je.. mudah...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

Secekak pucuk manis- ikut citarasa (mak K.An lurut/ asingkan daun daripada tangkai)
1 labu bawang besar- dihiris halus
100 gm keledek merah-( warna oren sebenarnya) jenis ni lebih manis
segenggam udang putih dibersihkan
1/2 biji kelapa diperah santannya dengan 2 cawan air- tinggalkan 1/2 cawan pati

garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Kupas keledek dan potong kecil. Basuh bersih, toskan dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan pucuk manis, bawang besar, udang putih dan 1 cawan air.

2. Rebus hingga ubi empuk dan pucuk manis layu. Masukkan santan cair dan garam. Didihkan dan perlahankan api. Masukkan santan pekat dan kacau hingga mendidih sekali lagi.

3. Jika cukup rasa garamnya, bolehlah ditutup api dan dihidang bersama lauk-pauk yang lain.
Hari tu K.An buat sekali kerabu telur (resepi kat sini) dengan bunga Kantan, daun selom, dan daun kesom segar dari belakang rumah juga.
Lepas tu sempat juga buat Ikan Cencaru sumbat Bakar.. Siap lauk, masuk bekas, pergi makan di rumah mertua....

Tuesday, December 22, 2009

Selesai Sudah- Kenduri 1

Alhamdulillah, pada 19 Disember lepas telah berlangsung majlis kenduri kahwin puteri ke-9 dalam keluarga kami dan yang terakhir dalam 10 beradik kami sebab adik bongsu K.An- Kimi, dah pun berumahtangga mendahului kakaknya.

Setelah berkampung di rumah mak selama seminggu, lewat petang semalam, K.An sekeluarga kembali ke Putrajaya.. mmm.. boleh teruskan kehidupan seperti biasa semula.

Kepada semua ahli keluarga yang terlibat menjayakan majlis tersebut, bagi pihak keluarga, terima kasih kami ucapkan.. Hanya Allah yang dapat membalas segala penat-lelah semua. Ada rezeki tahun depan, kita berkumpul lagi untuk kenduri cucu tok pulak... heheh..

Monday, December 14, 2009

Kacang Karamel

Assalamualaikum wrt...

Dah 3 hari di kampung, baru sempat singgah periuktanah... Makin sibuk dengan persiapan kenduri, maka tak dapatlah K.An menjalankan aktivit 'blogging' seperti biasa. Peralatan pun tak berapa cukup, maka kita gunakan apa yang ada sahaja.
Kerja-kerja memasak berjalan seperti biasa, tetapi masuk folder dulu... ada masa baru boleh online..
Ok... sambung kerja lagi...

Kacang Karamel ni, buatan orang Iran... buah tangan daripada kak Sarah.. dia beli dari China semasa lawatan kerja ke sana. Memang sedap, lain daripada yang selalu dibawa pulang dari negara Timur Tengah yang lain...

Nanti K.An cuba buat sendiri... boleh kongsi resepi kalau menjadi..

Thursday, December 10, 2009

Nasi Ayam 2

Salam Sejahtera semua... K.An pernah cerita dalam edisi nasi ayam terdahulu, antara nasi ayam yang K.An suka ialah di Medan Selera Tesco Kajang. Sedap kerana aroma daun ketumbarnya lain daripada nasi ayam yang lain.


Ahad lepas, sekali nak menjamu adik K.An - Kimi dan isteri Miza dan adik k.An sorang lagi- Nida, K.An masak nasi ayam sebab kebetulan jiran K.An buat majlis khatam Quran. Dah ada makan-makan, tak perlu nak masak banyak-banyak...
Kali ni versi nasi ayam daun ketumbar dan sos yang dimasak.. Ayam pulak, tidak digoreng, tapi dipanggang atas kuali grill (dirasmikan baru beli dari Langkawi...heheh...) lain sedikit daripada yang sebelum ni..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5-8 Orang)

A)
1 ekor ayam (lebih kurang 1.8 kg) dibersihkan dan potong 4 sahaja
1 bungkus sup bunjut Adabi
10 cawan air
3 cawan beras- kali ni guna beras Siam wangi

B)
4 ulas bawang merah dihiris
3 ulas bawang putih dicincang
1 inci halis dihiris halus
3 sudu besar margerin
1 sudu besar minyak masak
rempah ratus, bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis serba sedikit

daun sup dan bawang dihiris halus
daun ketumbar secukupnya
garam secukup rasa

C)
5 sudu besar kicap manis
2 sudu besar madu

Cara menyediakan sup dan nasi ayam.

1. Masukkan air dan ayam di dalam periuk. Masak dan biar mendidih. Masukkan sup bunjut dan didihkan lagi selama 5 minit. Masukkan garam secukup rasa. Jika suka boleh tambah kentang yang dikupas kulit dan potong baji. Ketepikan.

2. Panaskan margerin dan minyak dalam kuali. Tumis bawang putih, bawang merah, halia dan rempah ratus hingga wangi. Cedok sebahagian bahan tumisan dan masukkan ke dalam rebusan ayam. Sebahagian lagi dengan minyaknya masukkan ke dalam periuk nasi.

3. Basuh beras dan toskan. Masukkan ke dalam periuk nasi. Masukkan 5 cawan air rebusan ayam ke dalam periuk. Masak nasi seperti biasa. (jumlah air bergantung jenis beras ye puan2 dan tuan2..) Apabila nasi masak, taburkan bawang goreng dan daun ketumbar.

Sementara nasi dimasak, sediakan ayam, sos, salad dan kicap.

Ayam Panggang Madu:

1.Keluarkan ayam dari air rebusan. Masukkan ke dalam mangkuk. Letakkan kicap manis dan madu. Ratakan ke semua bahagian ayam. Perap 10 minit.

2. Selepas 10 minit, Asingkan ayam daripada kicap. panaskan kuali pemanggang dan panggang ayam lebih kurang 5 minit bagi setiap bahagian. ... panggang lebih lama jika suka ayam yang garing.

Masukkan kicap ke dalam mangkuk dan campurkan dengan 1/2 cawan sup. Tambah kicap lagi jika suka.


Bahan-bahan sos:

1 cawan cili kisar
1 sudu besar minyak masak
1 ulas bawang putih diketuk
2 sudu besar sos cili
2-3 sudu besar gula pasir/ gula perang
garam secukup rasa

Cara membuatnya:

masukkan semua bahan ke dalam periuk. Masak hingga pekat. Angkat dan sedia dihidang.

Panaskan sup dan sediakan salad seperti timun dan tomato. Hidangkan nasi ayam yang ditabur daun ketumbar bersama sos dan kicap. Selamat menjamu selera.


Tuesday, December 8, 2009

Cuti Sekolah dan Musim Buah lagi...

Cepatnya masa berlalu.... Cuti sekolah dah berlalu hampir 3 minggu.. tak terasa bulan Disember pun memasuki minggu ke 2. Hujung minggu ni, K.An dan anak-anak akan pulang ke kampung di Perak bagi membantu mak K.an dalam persiapan terakhir majlis perkahwinan adik K.An yang ketiga, (ke-9 dalam keluarga)... makin dekat, makin sibuk terasa.

Minggu lepas, seperti cuti-cuti sekolah yang lepas, K.An menerima kunjungan keluarga kakak sulung -K.N (Rabu dan Khamis) dan adik-adik - Kimi , Miza dan baby Hanany, Mun dan Zul dan Nida- bakal pengantin(Sabtu-Ahad)

Ada buah tangan di musim buah-buahan ni... beeest.... (buah kiriman Abg Li dan Kak Nori dari Kampar..)
Ramai anak-anak sekarang tak kenal pulasan dan tak pandai nak makannya.. yang ini manis dan lembut isinya..


Segar sungguh rambutan ni...
Opps.. cempedak beli kat pasar je.. Goreng untuk jamu K.N dan keluarga.. (resepi cempedak goreng)
Dah masak pulut, makan dengan santan dan durian (resepi)... hingga menjilat jari.. Ada baki lagi, buat kuah durian,(resepi kat sini).. makan dengan roti..

Belum habis buah-buahan tu... anak-anak K.An dah kena demam,selsema dan batuk.. yang ada 'athma'... apa lagi... kena la pergi klinik, sedut... macam ni le selalunya bila musim buah.. makan... pastu pakat demam ramai-ramai...

Thursday, December 3, 2009

Bun Pandan Kaya


Dah lama tak me'roti'...petang kelmarin hujan lebat di Putrajaya... sejuk yang pastinya melaparkan perut. Tiba-tiba teringin nak meroti sebab kalau nak tau, waktu hujan macam gini, cium bau roti yang segar dibakar dari oven.... sangat menyegarkan minda.. Nak tau nikmatnya, cubalah sendiri......

Semak resepi yang dah lama di salin, teringin nak makan Bun Pandan Kaya yang Cik Mat Gebu kita selalu buat.. Nampak mengancam dalam setiap edisinya...

Bahan semua dah ada... JOM kita MEROTI....!!!

Resepi asal dari K.Rinn dan boleh juga tengok di dapur CMG atau dapur Hana Jepun...
(K.An rujuk resepi Mat Gebu... halal resepi semua ye..

Copy n Paste dari dapur Mat..

BAHAN-BAHANNYA :-)
350 g tepung roti (high protein flour)
200 ml air sejuk (dari peti sejuk)
50 g gula halus
1/2 camca teh garam halus
3 camca teh instant yeast
1 camca teh bread improver
20 g serbuk santan
1 camca besar susu tepung
1 biji telur kecil (mat guna telur biasa, kacau sedikit dan timbang 40g)
30 g mentega
1 camca teh pandan paste (k.An guna beberapa titik pewarna hijau dan beberapa titik perisa pandan Star Brand)

BAHAN HIAS :-)
Kelapa kering secukupnya (K.An guna juga bijan macam Hana buat)
Seri kaya secukupnya

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. UNTUK DOH :- Satukan semua bahan2 diatas kecuali mentega dan bahan hias ke dalam mangkuk adunan. Gunakan hook dan putar pada kelajuan sederhana hingga menjadi doh. Tambah mentega dan terus memutar hingga mendapat doh yang kenyal dan elastik (doh memang agak lembut), tutup dengan plastik cling dan biarkan 1 jam. KAEDAH LAIN :- Masukkan semua bahan2 diatas kecuali bahan hias ke dalam Bread Maker dan pilih setting untuk doh, tekan "on" dan tunggu hingga siap...
  2. Tumbuk dok untuk membuang udara. Bahagikan kan doh kepada 16 bahagian yang sama besar, bulat2kan doh dan susun dalam loyang (mat guna loyang bersaiz 11 x 11 x 2 inci). Tutup dengan kitchen towel bersih dan biar naik selama 45 minit - 1 jam.
  3. Spray sedikit air atas permukaan roti, tabur kelapa kering/ bijan dan paipkan serikaya (masukkan seri kaya dalam plastik bersih, dan gunting sedikit muncungnya) atas roti tadi...ikut lah style memasing yeaa...
  4. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama 20 - 25 minit (mat bakar 30 minit)...Bila masak, keluar dari tin dan sejukkan sepenuhnya atas jaringan....Lepas tu boleh lah makan. Air kopi/teh jgn lupa yeaa...
Oven K.An 'kecik', jadi K.An buat 2 loyang, satu tabur bijan, satu lagi tabur kelapa... dua2 sedap





Tuesday, December 1, 2009

Apam Coklat

Assalamualaikum semua.... selamat bertugas kepada yang dah kembali ke pejabat dan tempat kerja seperti biasa.. Kepada yang bekerja sendiri macam K.An ni, memang selalunya bekerja tidak kira cuti pun kan... Apapun, tunaikanlah tanggungjawab yang diberi dengan ikhlas dan ceria agar apa yang kita lakukan mendapat keberkatan Allah SWT.

Di pagi Selasa di awal bulan Disember ni, K.An masukkan resepi yang dicuba 2 minggu lepas tapi belum dikongsi bersama. Yang ini pun senang dan boleh disiapkan tak sampai 30 minit. Boleh buat pagi ni untuk sarapan atau minum petang.

Rasanya lebih kurang kek coklat lembab yang dikukus ataupun yang dibakar.. cuma yang ini kita masukkan dalam bekas apam dan caranya sungguh mudah. Resepi ni K.An dapat masa jalan-jalan di dapur Kak Ton.. salin resepi dan cuba.. anak K.An- Sarah, suka sangat apam coklat ni...

Terima kasih Kak Ton atas resepi ni.. bagi yang tak 'gemor' manis, boleh kurangkan sikit sukatan gula dan susu pekatnya..

Bahan-bahannya: hidangan untuk 5-10 orang

1 cawan tepung gandum
***1/2 cawan gula
***1/2 cawan susu pekat
1/2 cawan minyak masak
1/2 cawan air
1 biji telur
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1@2 sudu makan serbuk koko

***kurangkan jika tak suka manis sangat

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam 'mixer'. Putar sebati.
2. Panaskan pengukus dan sediakan acuan apam (boleh ganti dengan bekas dadih kecil). Masukkan ke dalam acuan 3/4 penuh. Kukus selama 10-15 minit. Sejukkan sebentar sebelum dikeluarkan daripada acuan.
Selamat Mencuba!!!