Monday, November 30, 2009

Hari Raya Korban

Tahun ni pertama kali kami sekeluarga berhari raya di Putrajaya dan bukan di kampung. Kebetulan ibu dan bapa mertua K.An pun turun ke KL beraya bersama anak-anak. Alhamdulillah meriah dan penuh bermakna hari Raya AidilAdha kali ni.

Selepas solat Sunat AidilAdha, kami sekeluarga ke tapak korban Surau Al-mizan presint 8, bagi menyaksikan majlis korban dan Aqiqah yang dijalankan di situ. Bagus juga kalau kita dedahkan anak-anak dengan program macam ni.. sambil tu dapat juga berkenalan dengan masyarakat setempat yang sentiasa sibuk dengan tugas seharian di waktu lain...
Selesai majlis korban dan solat Jumaat, ramailah jiran tetangga yang datang ziarah dan kami pun sempat membalas kunjungan...

Lewat petang kami menerima kunjungan keluarga sebelah abang Azam termasuk ibu dan bapa mertu...

Sebelah malamnya pulak ada program Takbir dari rumah ke rumah... memandangkan giliran rumah kami, yang ke 5, maka semua tetamu dah 'kenyang perut'... dapat jamah serba sedikit sahaja juadah yang dihidangkan... sudahnya, k.An bungkuskan serba sedikit juadah tu... yang penting.. tak membazir...




antara hidangan raya, Dendeng Daging, Rendang Paru dan hati, Pulut Pasong, Puding Roti, mee Abah, Nasi Hujan Panas, Salata dan Ayam Masak Merah
Apapun alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan meriah.

Saturday, November 28, 2009

Bercuti di Langkawi

Kami sudah pun kembali ke Putrajaya 2 hari lepas, tapi almaklum, sibuk dengan mengemas dan persediaan Hari Raya Haji, tak sempatlah K.An nak cerita-cerita kat periuktanah ni.. Alhamdulillah petang ni agak lapang sedikit, K.An masukkan dulu sebahagian 'kecil' gambar-gambar ketika di sana (kalau nak tengok yang lain, tengok di fb K.An)

Semuanya berjalan lancar dan yang palin ketara, makan di Langkawi sungguh mudah, murah dan sedap... Kali ni kami menginap di Rumah Peranginan Persekutuan (RPP) di Federal Villa, Pantai Tengah. Tiada masak-masak sebab di sini tiada kemudahan dapur seperti di RPP yang lain...

Puas berjalan, makan-makan, dan mandi laut.. dan seperti percutian sebelum ini, mungkin kami akan kembali lagi di lain masa.. Mungkin lain kali kami datang ketika LIMA berlangsung.. tentu best kan...

Naik ERL ke KLIA
Kami menginap di Federal Villa, Pantai Tengah
Lepas check-in, cari makan sebab lapaaar sangat.. alhamdulillah, makan di sini sedap..


Main air sebelum pergi jalan-jalan
Hari ke tiga... sedapnya makan nasi lemak di tepi pantai- di Langkawi, nasi lemaknya tidak lemak seperti di tempat lain di Tanah Besar sebab dimasak menggunakan minyak, bukan dengan santan... rasanya pun lain sikit..








Welcome drink di Holiday Villa.. Aisyah dah ngantuk..
flight dah sampai, kejap lagi kita naik...
Pengalaman pertama Aisyah, dia 'excited' sangat.. dapat kacang lebih, abang pramugara bagi..
Kampung nelayan
Langkawi geopark
Naik kereta kabel di Gunung Macincang

Nanti sambung lagi ye..

Salam Aidil Adha

Assalamualaikum wrt...

Kami sekeluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha/ Korban/ Haji kepada semua muslimin Muslimat tidak kira di mana berada. Semoga dengan kedatangan hari yang mulia ini, menambahkan keimanan kita kepada Allah SWT. Ingatlah pengorbanan yang tulus ikhlas akan mendapat ganjaran yang sewajarnya daripada Allah SWT.

Monday, November 23, 2009

Cuti-cuti Malaysia Lagi


Assalamualaikum... selamat bercuti kepada guru-guru dan anak-anak yang sudahpun memulakan cuti panjang akhir semester tahun ini.. Sempena cuti ni, manfaatkanlah masa yang ada dengan aktiviti yang berfaedah.

InsyaAllah, hari ni kami sekeluarga akan pergi bercuti ke Langkawi- Pulau Lagenda.. anak-anak semua dah tak sabar nak pergi sebab ini kali pertama kami ke sana sekeluarga..
Jadi k.an mohon berehat untuk beberapa hari ye.. insyaAllah jumpa lagi bila kembali ke putrajaya nanti.

Sebelum pergi, sarapan berat kami hari ni, nasi dagang dengan lauk sambal sardin dengan kentang, ayam goreng kunyit, telur dadar dan tak lupa buahnya 'pisang emas dibawa belayar'. Nak cepat, snap gambar tak payah 'posing' ye hari ni... Ta..ta..ti..ti..tutu...

Friday, November 20, 2009

Pizza Mee Segera Dengan Tuna Pedas

Sekali makan, memang tak perasan, pizza ni dibuat berasaskan mee segera... Itulah pengalaman K.An ketika kawan K.An Noni bawakkan pizza seperti ni ketika berkunjung ke rumah minggu lepas. Memang istimewa dan patutlah resepi ni pernah memberi kemenangan kepada Noni dalam satu pertandingan memasak yang dia sertai...

Tidak terlalu berat tapi mengenyangkan. Sesuai pula tak kira untuk sarapan, makan tengahari, minum petang ataupun makan malam... Pendek kata memang patut cuba resepi ni..

Pizza yang Noni bawak, 'toppingnya dibuatnya daripada kari ayam.. seperti biasa kita yang gatal tangan ni, dah ubah ikut citarasa sendiri... heheh.. halal ye Noni. K.An buat 'topping' menggunakan 'chilli tuna' ... semua suka dan tak sampai 10 minit dihidang dah liciiin...
Resepinya.... (resepi asal Norzafurah- junior K.An sekolah dulu... nama manja, Noni.. tq banyak-banyak ye..)

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

2 peket Mee Segera (K.An guna jenama Maggie perisa Kari)
4 biji telur gred B atau A
1 sudu teh perencah kari Maggie
1/2 biji lada benggala hijau dihiris nipis
1/2 biji bawang besar didadu- ikut citarasa
1/2 biji tomato didadu kecil
1 tin Tuna cili Padi TC Boy
keju mozarella- tak ada stok, K.An guna cheese slice je...
hirisan nenas
herba oregano ikut citarasa
Cara membuatnya:

1. Didihkan 3-4 cawan air di dalam periuk. Padamkan api dan celurkan mee hingga kembang. Toskan dan lalukan air biasa agar mee sejuk.

2. Pecahkan telur di dalam mangkuk. Campurkan perencah kari Maggie dan pukul telur menggunakan garpu.

3. Panaskan oven pada suhu 190 arjah Celsius. Lengserkan loyang dengan sedikit margerin. K.An gunakan loyang empat segi panjang berukuran 12 inci X 8 inci. Ratakan mee di atas loyang.
Tuangkan campuran telur ke atas mee. Pastikan rata ke seluruh loyang.

4. Keluarkan tuna daripada dalam tin. Buang minyak dan airnya- ambil isi sahaja. Hancurkan isi tuna dan campurkan sedikit garam. Kalau suka campur sedikit rempah kari Maggie lagi. (K.An campur kari ayam lauk tengahari... heheh.. campur sikit isi ayam)

5. Ratakan campuran tuna ke atas lapisan mee. Taburkan lada benggala, buah tomato, bawang besar, keju, nenas dan bahan lain di atas pizza.

6. Bakar pizza selama 20 - 30 minit- mengikut saiz loyang menggunakan api atas dan bawah. Hidang ketika masih panas bersama sos cili.

Tips Galakan

****topping boleh dipelbagaikan ikut citarasa masing-masing

****telur yang digunakan dalam jumlah yang banyak dalam pizza ini, menambahkan keenakan rasanya.. tanpa menyumbang rasa 'kurang enak' kepada yang tak berapa suka 'rasa telur'.

***menurut Noni, pizza ni boleh juga dimasak didalam kuali bertutup, dengan menggunakan api perlahan selama 30 minit.. atau sehingga masak.

Thursday, November 19, 2009

Kuih Lapis Coklat


Assalamualaikum... salam ukhuwwah untuk semua..

Pagi ni K.An sajikan Kuih Lapis Coklat permintaan Pnut kawan adik K.An yang pakar buat cup-cake yang cun melecun tu...Nampak gayanya senang sangat nak buat yang coklat punya.. tukar je pewarna merah pada adunan kuih lapis semalam tu dengan coklat emulco. Lebih kurang 2 sudu teh ikut kegemaran masing-masing dengan rasa coklatnya...

Kalau nak lebih cantik warnanya, boleh tambah pewarna kuning pada adunan putih tu.. Jadi lapis coklat kuning..

Satu perkara lagi, sebelum ada yang bertanya, sukatan 2 sudu besar untuk tepung gandum dan tepung jagung tu, seperti dalam gambar di bawah ye... Sudu besar saiz Malaysia. Bukan sudu German ke atau sudu sup 'omputih' tu.. Nanti keras pulak kuih lapis kita...

***Dah ada yang tanya sukatan cawan tu...

-petua untuk memasak apa sahaja yang menggunakan cawan, gunakan cawan potongan lurus/ tegak dan gunakan cawan yang sama untuk semua proses menyukat bahan pejal dan cecair... jangan pulak guna cawan antik yang berlekuk dan perpinggang ramping ye.. yang tu simpan untuk jamu kopi dengan teh untuk tetamu..heheh..

Sukatan untuk tepung lebih kurang 100 gm - 120 gm bergantung jenis cawan... tapi sekali lagi diingatkan bila resepi tu guna cawan- gunakan sahaja cawan untuk menyukat.. senang cerita..

Wednesday, November 18, 2009

Kuih Lapis Tradisi

Salam ceria semua...
Kalau belum ada idea nak masak apa untuk juadah minum petang, bolehlah cuba resepi kuih lapis K.An ni... Sambil menjamah kuih lapis ni, teringat zaman K.An kecik-kecik dulu, kuih nilah yang terkenal di kampung K.An, di samping kuih cucur badak, karipap, tepung bungkus dan tepung torak...
Ada sorang pakcik (kalau tak silap namanya Pakcik Ali) yang jual kuih-muih dalam tong berpetak warna biru kat atas basikal je... setiap hari, ramailah yang menunggu kedatangannya sebab kuih muih yang dijual sedap-sedap belaka. Susah nak cari kuih tradisi sedap macam tu sekarang ni...

Kuih Lapis yang dijual sekarang pun dah banyak diubahsuai resepinya di sana-sini. K.An dah cuba juga resepi lain, tapi sudahnya k.An kembali kepada resepi sendiri yang menggunakan banyak tepung beras. Lebih asli rasanya...Tapi terpulanglah kepada anda untuk memilih ye...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1 cawan tepung beras
2 cawan santan sederhana pekat (caranya-campurkan 1 cawan santan pekat dengan 1 cawan air)
2 sudu besar tepung gandum
2 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan gula pasir- boleh kurangkan 1 sudu besar jika ingin kurang manis
1/4 sud teh garam
sedikit pewarna merah dan perisa ros

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang berukuran 7 inci. Masukkan santan ke dalam periuk. Panaskan sebentar biar jadi suam-suam kuku. Tutup api.
2. Masukkan tepung beras, tepung gandum, tepung jagung, gula dan garam ke dalam mangkuk. Masukkan santan. Gaul rata hingga tidak berbintil.

3. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. (adunan ini menghasilkan lebih kurang 600ml bater) bahagi kepada 300 ml +/- setiap satu. Warnakan satu bahagian dengan warna merah dan letakkan perisa ros.

4. Masukkan loyang ke dalam kukusan. Tuang 100 ml adunan tanpa warna ke dalam loyang. Kukus selama 5 minit dengan api kuat. setelah lapisan pertama masak, tuang 100ml adunan merah. Kukus lagi. Ulang proses hingga habis 6 lapisan dengan diakhiri dengan lapisan merah. K.An tambah sedikit lagi pewarna merah untuk lapisan akhir agar warnanya lebih menyerlah.

5. Setelah siap, sejukkan kuih lapis sebelum dipotong. Kuih lapis yang elok, boleh dimakan selapis demi selapis seperti kat gambar tu... budak-budak paling suka bab ni..

*** tips galakan

-boleh juga ditambah 1 sudu teh tepung sagu pada lapisan akhir bagi mengilatkan permukaan kuih lapis
- kuih lapis ni jika dipotong ketika panas akan menyebabkan lapisan kuih tertanggal.. jadi sabar ye.. tunggu sejuk sikit, baru potong.
- kata cik mat kuih lapis nyonya mesti ada 7 lapis... k.an punya dapat 6 je... kira Banjar punya versi la ni...heheh..

Nasi Minyak Hujan Panas dan Ayam Masak Merah (resepi II)

Set Nasi Minyak Hujan Panas ni K.An masak bagi memenuhi tempahan sepupu K.An, Nazirah untuk jamuan di pejabatnya. K.An sediakan untuk 50 orang termasuk yang ada di rumah ni.. Sesekali makan nasi minyak buatan sendiri, memang puas hati... Lagipun nasi ni tak 'muak' dan boleh makan berulangkali berbanding nasi beriyani..
Kepada yang nak masak 'spesel' untuk keluarga, boleh cuba resepi mudah K.An ni... K.An masak sekali ayam masak merah, dalca ayam dan acar timun (jelatah) sebagai pelengkap hidangan.

Nasi Minyak Hujan Panas

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)

3 cawan beras Basmathi- basuh dan toskan
1 sudu besar minyak sapi
3 sudu besar minyak masak
1 labu bawang besar- hiris halus dan dadu kecil
2 ulas bawang putih dicincang
1 inci halia dihiris halus
1 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih, 5 biji buah pelaga
5 cawan air rebusan ayam- *** sediakan dengan merebus beberapa ketul ayam - bahagian peha atau kepak dengan 6 cawan air- didihkan lebih kurang 10 minit.
2 sudu teh garam
2 helai daun pandan dicarik dan disimpul

sedikit pewarna merah, kuning dan hijau
kismis, bawang goreng dan gajus

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak di dalam periuk nasi di atas dapur. Tumis rempah ratus (4 serangkai) bawang besar, bawang putih dan halia hingga wangi.

2. Masukkan beras dan goreng 1 minit. Kacau sebati. Alihkan periuk ke dalam periuk elektrik. Masukkan air rebusan, garam dan daun pandan ke dalam periuk nasi. Masak nasi seperti biasa.

3. Apabila nasi masak , celupkan lidi sate ke dalam pewarna merah dan cucukkan ke beberapa tempat di dalam nasi. Ulang proses sama untuk warna hijau dan kuning. Jangan kacau nasi. Biar 5 minit. selepas 5 minit..Taburkan bawang goreng, gajus dan kismis. Kacau nasi agar warna
sekata bagi keseluruhan periuk.

4. Sedia dihidang bersama lauk-pauk lain.

Ayam Masak Merah (resepi II)
resepi I boleh tengok kat sini

Bahan-bahan:

1 ekor ayam bersaiz 2 kg- dipotong 12
Bahan dikisar halus:
1 labu bawang merah
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia

1 batang kulit kayu manis, 2 kuntum bunga lawang, 2 kuntum bunga cengkih
2 cawan cili kisar
1 cawan tomato puri
2 batang serai dititik
garam dan gula secukup rasa
kunyit untuk menggoreng ayam
minyak untuk menumis
2 labu bawang besar di hiris bentuk gelang
air secukupnya

Cara membuatnya:

1. Bersihkan ayam dan gaul bersama garam dan kunyit. Goreng separa garing. Ketepikan.
2. Panaskan minyak (diambil dari minyak gorengan tadi) di dalam periuk. Gunakan periuk yang besar agar mudah menumis. Tumis bahan kisar dan rempah ratus hingga naik bau wangi.

3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Tambahkan 1/2 cawan air. Masukkan tomato puri dan masak lagi hingga kuah pekat. Masukkan serai dan 1 cawan air. Masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Tambah garam dan gula. Masukkan bawang besar dan masak ayam hingga kuah pekat dan meresap ke dalam isi ayam. Gaul sebati. Jika cukup garam dan gula bolehlah ditutup api dan dihidang bersama nasi hujan panas.

Untuk resepi dalca dan acar timun boleh tengok kat sini. Tukarkan daging tetel dengan ketulan kecil ayam untuk dalca ayam ye...

Sunday, November 15, 2009

Puding Kukus Laici

Jalan-jalan ke dapur Ijan di Finland, tergoda dengan Puding Kukus Laici yang dia buat. Nampak sedaaaap... Bahan-bahan pun kebetulan ada di 'gobok' K.An... tiada alasan untuk tidak mencuba..
Terima kasih kepada empunya resepi, Kimin03@MyR, Hazila yang dah beberapa kali buat puding ni ... memang sedap, tapi macam Ijan, puding yang bawah tu tak selembut yang hazila buat... mungkin lain jenama roti kot...

Resepinya:

Bahan-bahan:

1 tin susu cair
4 keping roti putih
4 biji telur
1 sudu makan gula pasir
isi laici dalam tin secukupnya

1 peket jeli nona- perisa rasberry atau strawberry
400 ml air

Cara membuatnya:

1. Rendam roti di dalam susu cair selama 3 minit. Masukkan ke dalam pengisar. Campurkan telur dan gula. Kisar hingga halus.

2. Panaskan pengukus. Lenser loyang berukuran 8 inci dengan sedikit margerin. Tuangkan adunan puding dan kukus selama 20 minit.

3. Angkat dan sejukkan sebentar. Susun isi laici di atas puding. Sementara itu, didihkan 400 ml air dan campurkan jeli nona. Kacau hingga larut dan padamkan api. Tuangkan segera ke atas puding. Sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

Saturday, November 14, 2009

Masakan kampung..

Teringat dulu-dulu kat kampung, kalau nak makan kangkung, pergi je kat belakang rumah, petik kangkung air kat dalam telaga.... buat kacau goreng dengan udang kering atau masak lemak kuning dengan ikan bilis... sedap dan rangup.. kena dengan ikan sepat goreng cicah sambal belacan... fuhhhh... meletup..!!!

Tapi yang ini petik kat pasar je... beli seikat, goreng campur ikan masin.... untuk makan tengahari
Bahan-bahan:( hidangan untuk 2 orang)

1 ikat kangkung- bersihkan- potong 2 inci panjang
1 ketul ikan tenggiri masin
2 ulas bawang putih dan 1 ulas bawang merah- ditumbuk kasar
1 biji cili merah dihiris- boleh juga ditumbuk jika suka
1 sudu teh sos tiram
1 sudu teh kicap manis
garam jika perlu
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan ikan masin. Goreng hingga agak keperangan. Angkat dan ketepikan dulu.
2. Masukkan bawang dan tumis sebentar. Masukkan sedikit air, kangkung, sos tiram, kicap manis dan cili. kacau goreng hingga kangkung agak layu( kalau guna api kuat-sekejap je dah masak) Hancurkan ikan masin dan buang tulang. Campurkan ke dalam sayur, gaul sebati dan boleh dihidang.

K.An buat masak lemak cili api ayam dan sambal belacan... Jom makan..

Friday, November 13, 2009

Harumnya Nasi Lemak Pandan

Walaupun mudah tetapi istimewa...
Kalau ada tetamu yang berkunjung dan bermalam di rumah kita hujung minggu ni, elok sangat kalau dapat kita sajikan Nasi Lemak Pandan ini sebagai hidangan sarapan pagi. Bukan sahaja mudah, tapi mengundang selera kepada sesiapa yang melihatnya.

Bagi yang dah biasa masak nasi lemak, tak perlu susah baca resepi K.An ni... cuma tambahkan air pandan bagi menggantikan sebahagian air. Tapi bagi yang baru nak mencuba, inilah resepinya..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5-8 orang)

2 cawan beras super
4 helai daun pandan- potong 1 inci, kisar bersama 1 cawan air- tapis
2 1/2 cawan santan sederhana pekat
1/2 inci halia- diketuk
1/2 sudu teh jintan putih dan jintan manis biji (dicampur)
1 sudu teh garam
setitik dua pewarna hijau

Cara membuatnya:

1. Basuh beras dan toskan. Masukkan ke dalam periuk nasi. Masukkan santan, halia, jintan, air pandan, garam dan pewarna hijau. Masak nasi seperti biasa.

Sambal nasi lemak:

10 tangkai cili kering- buang biji dan rebus. Toskan dan kisar bersama 1 cawan air dan 1 sudu besar minyak masak.

Bahan dikisar halus:
1/2 labu bawang besar,
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah

1 sudu besar air asam jawa
segenggam ikan bilis siap dikopek
1 labu bawang besar dihiris bentuk gelang
2 sudu besar gula perang
garam secukup rasa
gula putih secukup rasa
minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Goreng ikan bilis sebentar hingga wangi. (jangan garing). Masukkan bawang yang dikisar. Tumis hingga berbau harum.

2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan air asam jawa, garam dan gula. Masak hingga pekat. Masukkan bawang besar hiris. Biar layu dan tutup api. Sedia dihidang bersama nasi lemak dan lauk-pauk lain.

*** kali ni K.An makan nasi lemak pandan dengan 'home-made' ayam goreng KFC ... hmmm puas terasa.. (jamu adik K.An Mun yang out-station di Putrajaya..:)))

Mee Bandung Muar- versi ekspress

Assalamualaikum.. salam penuh kesegaran dan keceriaan daripada K.An sebab beberapa hari ni cuaca sungguh nyaman di Putrajaya ni... hampir setiap petang hujan dan menyebabkan perut sentiasa lapar minta diisi... heheh...

Kali ni K.An nak kongsi kesedapan mee bandung muar versi ekspress. Sebenarnya pes ni adalah antara siri buahtangan rakan K.An, Linda selain pes soto dan set Beriyani Gam Johor yang telah k.An siarkan lama dulu.

Memang ada pelbagai jenis pes segera dalam pek mudah bawa yang dipasarkan sekarang tak kira di 'kiosk' IKS ataupun di pasaraya besar
... Namun tak semuanya sedap dan asli rasanya. Tapi bila k.An cuba pes ni, alhamdulillah memang sedap dan tak mengecewakan.... Malahan lebih sedap daripada yang dibeli di restoran yang menyajikan Mee Bandung Muar di dalam menu mereka yang pernah K.An cuba.


Maklumlah, yang ini dah diuji tahap mutu dan 'standard' rasanya. Jika ikut sahaja arahan yang diberi pasti tidak silap... Kepada yang ingin mencuba boleh beli terus daripada K.An juga...

Resepinya mudah sahaja:
*** disertakan juga resepi pada pek, tapi K.An buat yang asas sahaja... tupun dah sedap..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 8-10 orang)

1 pek pes Mee Bandung Muar
2 peket mee kuning dicelur dan toskan
100 gm sawi hijau- dipotong 1 inci panjang
50 gm udang
50 gm daging- hiris nipis dan rebus empuk
5 biji telur
sayuran lain ikut citarasa seperti bunga kobis, jagung muda dan karot
bawang goreng dan limau nipis untuk dihidang bersama mee

Cara membuatnya:

1. Didihkan 1.2 liter air di dalam periuk. Masukkan daging + 1/2 cawan air rebusan, sayuran dan udang.
2. Apabila mendidih masukkan telur sebiji, demi sebiji. Jangan biar kuningnya pecah. Apabila telur nampak masak (ada juga yang suka telur separa masak) padamkan api.
3. Masukkan mee ke dalam mangkuk dan tuangkan kuah ke atas mee. Taburkan bawang goreng dan perahkan limau kasturi. Sedia dinikmati.


Tuesday, November 10, 2009

Apam Beras lagi...

Buat lagi, lagi dan lagi....... Setiap kali jenguk periuktanah, pastinya 'kelibat' apam beras menyapa mata dulu... dah jadi kegemaran kami semua di rumah ni dan masih tak jemu-jemu menjamahnya. Boleh dikatakan juga, K.An sentiasa ada bekalan 'frozen' apam beras kat dalam peti sejuk beku di dapur tu...
Beberapa hari lepas, di pagi ulangtahun periuktanah, teringat pula nak masukkan kembali beberapa langkah membuat apam beras yang dulu tak sempat dikongsi bersama resepi yang disiarkan. Kebetulan K.An nak cuba warna baru yang lebih 'garang' (sebab anak-anak suka kuih warna-warni...) maka K.An rakamkan beberapa gambar menarik sepanjang proses kuih apam dimasak.

Untuk pengetahuan semua, antara sebab K.An suka buat kuih ni ialah "semacam ada rasa kepuasan yang tak terbayang apabila melihat apam yang dikukus mekar cantik dan tekstur gebunya apabila dimakan.... hmmmm... memang best.

Untuk resepi.. klik sini ye...
***tips galakan:

***apam yang siap dikukus dan dikeluarkan daripada acuan hendaklah dibiarkan sejuk sepenuhnya sebelum dimasukkan ke dalam bekas bertutup atau plastik yang di'seal' dan dimasukkan ke dalam bahagian beku peti ais.

*** Apam yang dibekukan tahan berbulan dan boleh dikukus semula apabila ingin dinikmati.

*** ragi yang elok juga memainkan peranan penting dalam mempastikan kuih apam yang enak dan gebu.

Saturday, November 7, 2009

Seri Muka (resepi II)

Assalamualaikum semua..

Resepi Seri Muka kali ni, K.An kongsikan khas untuk mereka yang sukar nak mendapatkan bekalan santan segar... yang ada cuma santan peket, tetapi teringin nak buat kuih-muih tradisi yang menggunakan santan.

Cari punya cari, terjumpa dengan resepi daripada maryam dari My Resepi. K.An dah cuba.. hasilnya memang sedap. Berbeza sedikit dari segi lemak dan lembabnya sahaja. Santan segar lebih lemak dan lembab berbanding santan serbuk. Tetapi resepi ni sangat sesuai kalau nak buat seri muka dalam kuantiti yang banyak (untuk jamuan dan kenduri) kerana tidak lembik dan mudah dipotong...

Terima kasih maryam atas resepi ini:

Bahan-bahan: (menghasilkan dua loyang bulat berdiameter 7 inci)

***kalau kali pertama cuba buat separuh adunan cukup- jadi satu loyang)

Lapisan Bawah:
50 gm santan serbuk + 2 cawan air
1 sudu teh garam, masukkan ke dalam santan
500 gm beras pulut
2 sudu makan minyak masak

Lapisan atas:

2 sudu besar pandan paste (K.An guna air pandan daripada2 helai daun pandan)
1/2 sudu teh garam
3 biji telur
100 gm santan serbuk + 2 1/2 cawan air
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar tepung jagung
1 cawan gula

Cara membuatnya:

1. Rendam beras pulut selama 20-30 minit. Toskan.
2. Panaskan pengukus. Masukkan santan bercampur garam dan beras pulut ke dalam loyang. Masukkan minyak dan gaul sebati. Kukus pulut selama 20 minit.
3. sementara pulut dikukus, campurkan bahanbahan lapisan atas. Kacau menggunakan whisk. Tambah sedikit pewarna hijau bagi mencantikkan warna kuih.

4. Selepas 20 minit, Keluarkan loyang. Gaul rata pulut agar santan dan pulut sebati. Tekan padat dan ratakan menggunakan belakang senduk.

5. Masukkan loyang ke dalam pengukus semula. Pastikan pengukus panas dan airnya mendidih. Tapiskan adunan lapisan atas tadi ke atas pulut. Kacau sedikit dengan sudu dan tutup pengukus. Kukus selama 15-2o minit. (bagi mengelakkan air masuk ke dalam loyang, tutup loyang dengan aluminium foil atau tuala dapur bersih)

*** kuih masak apabila loyang disengetkan, bahagian tengah kuih tidak bergoyang- kental
***sekiranya loyang tidak ditutup aluminium foil, cedokkan air yang masuk ke dalam kuih, menggunakan sudu bagi mengelakkan kuih menjadi 'lembek' apabila sejuk.

Sejukkan kuih 3-5 jam sebelum dipotong dan dihidang...

Friday, November 6, 2009

Hadiah Ulangtahun Periuktanah

Alhamdulillah..... syukur nikmat atas rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada kita semua...

Rezeki K.An dan keluarga juga bila Abg Azam membawa pulang Sistem Rawatan Air AMWAY yang terbaru untuk rumah kami. eSpring namanya... Dah lebih 10 tahun Sistem Rawatan Air Generasi Pertama AMWAY berkhidmat di rumah kami, dan perkhidmatannya saaangat memuaskan. Berkat rezeki yang ada, kami bertukar kepada yang baru, yang lebih canggih dan mempunyai 16 patent antarabangsa... Hadiah yang sangat bermakna untuk kami sekeluarga dan menggalakkan lagi K.An untuk masak-masak...

Yang penting sumber airnya diyakini bersih dan sihat... barulah makanan yang kita nikmati bukan sahaja sedap tetapi berkhasiat untuk tubuh badan.... (untuk maklumat lanjut layari www.Amway2U.com)

Buttered Prawn

Resepi mudah, tapi menyelerakan.... dah banyak kali buat tapi ini kali pertama K.An masukkan dalam periuktanah... Asalnya dulu-dulu, tak berapa menjadi kuning telur tu, sebab dalam resepi yang k.An baca, tak disebut teknik yang tepat ketika memasaknya... sehinggalah K.An terjumpa di blog Nita- sudipkayu.blogspot.com.... maka cantiklah rupa 'Buttered Prawn' ini bersama kesedapan rasanya.... cuba jangan tak cuba... tq Nita untuk tips berguna..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

500 gm udang -ikut citarasa masing-masing, nak buang kepala ke, nak tinggal ekor ke, tapi kalau udang saiz besar elok sangat kalau dibelah belakangnya supaya cepat masak

2 biji kuning telur gred A
3- tangkai daun kari- dilurut daunnya
5 ulas bawang putih dicincang halus- K.An ketuk sahaja
5 biji cili api (akar) dihiris halus

sedikit garam, kunyit dan 1/2 sudu teh lada sulah

2 sudu besar mentega
1/2 cawan minyak untuk menggoreng udang

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Gaulkan udang dengan garam, kunyit dan lada sulah. Goreng udang selama 3-5 minit (bergantung kepada saiz udang) dan angkat. Toskan.
2. Keluarkan sebahagian minyak dan tinggalkan lebih kurang 2 sudu besar sahaja. Panaskan dan goreng daun kari, cili padi dan bawang putih hingga wangi. (baunya sungguuuuh... sedap) Angkat dan taburkan di atas udang goreng tadi.

3. Campurkan mentega ke dalam minyak dalam kuali tadi. Sediakan acuan roti jala. Pukul sedikit kuning telur dengan garpu. Panaskan kuali. Masukkan kuning telur ke dalam acuan roti jala. Lalukan acuan roti jala mengikut arah jam di dalam kuali sambil sebelah tangan lagi mengacau telur tersebut. Apabila telur nampak garing... cedokkan dengan sudip berlubang. Taburkannya di atas udang goreng tadi. Sedia dinikmati..

Tuesday, November 3, 2009

Popia Basah Idamanku...

K.An sukaaa sangat popia basah ni.. selalu beli kat pasar malam je.. tapi sejak anak-anak dan abg.Azam pun 'join' sekali jadi penggemarnya... dah tak puas makan bila kena beli kat luar.. Tibalah masa untuk belajar buat sendiri kat rumah.

Dah lama bertanya dan mencari resepinya, akhirnya minggu lepas, jumpa di My Resepi.. sebelum ni tak terfikir nak cari kat situ... Sedia bahan, sedia peralatannya... K.An pun bukak gerai popia di rumah... alhamdulillah, cubaan pertama, terus menjadi elok.. Ketika N3 ini ditulis, dah masuk kali ketiga, K.An buat popia basah ni.. boleh le bagi tips sikit-sebanyak...

Terima kasih banyak-banyak Kak Umie yang sudi kongsi resepi..

Bahan-bahannya: menghasilkan 12-15 keping kulit popia- ikut saiz masing-masing

2 cawan tepung gandum
1 biji putih telur
3/4 cawan air
2 sudu makan cuka
secubit garam

Cara membuat kulit:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul sebati. Boleh guna tangan atau sudu. Jika adunan nampak agak pekat, tambah 1-2 sudu besar air (ikut jenis tepung). (K.An tambah 2 sudu besar).. Tutup dan perap sekurang-kurangnya 30 minit.

2. Selepas 30 minit.. panaskan kuali leper atas dapur. K.An gunakan kuali antik roti jala atau roti canai atau murtabak tu... memang mudah. Kata kak Ummie boleh guna kuali non-stick, tapi k.An rasa mungkin agak kekok dengan tepi kuali sebab takut melecur pulak nanti. Apabila kuali panas, perlahankan api...

3. Ambil sejemput adunan dan lengserkan atas kuali seperti video tu...



4. Biarkan kulit popia masak dan kemudian angkat perlahan-lahan dengan menarik kulit popia dari tepi.

5. Ulang proses hingga adunan habis. boleh letak kulit tu bertindan antara satu dengan lain sebab ianya tak melekat.
(nanti k.an sambung dengan intinya ye.. ada iklan susu kejap)Bahan-bahan sos: (boleh disediakan lebih awal)

15 tangkai cili kering-buang biji, rebus, toskan dan kisar bersama 1 cawan air hingga halus
1 biji bawang besar
5 ulas bawang putih- ikut citarasa
2 sudu besar gula perang
1 sudu besar gula pasir- kalau belum cukup manis
1 sudu teh kicap manis
minyak untuk menumis

*** resepi kak Ummie, guna 1 sudu besar gula perang dan 2 sudu besar kicap manis... k.an dah sesuaikan ikut tekak k.an yang kurang gemar rasa kicap yang banyak.

*** sos ni lebih sedap jika manis seperti sambal pada pau sambal/ burger Malaysia

Cara membuatnya:

1. Kisar bawang besar dan bawang putih hingga halus. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan cili dan masak hingga pecah minyak. Masukkan gula perang, gula pasir dan kicap manis. Masak hingga pekat menggunakan api perlahan. Tambah garam secukupnya dan padamkan api. Ketepikan.

Inti popia: ada banyak versi inti popia dan resepi ni adalah versi Mak K.An turun temurun- ini yang paling K.An suka.

Bahan-bahan:

250 gm sengkuang- kupas kulit, hiris nipis dan hiris memanjang seperti buat pasembor
2 genggam taugeh, bersihkan- kalau rajin, buang akarnya
100 gm kobis bulat- racik halus
1/2 batang karot- hiris halus memanjang
segenggam udang putih, buang kepala dan ekor- potong kecil-kecil
1/2 labu bawang besar-dicincang halus- k.an guna bawang besar holland
2 ulas bawang putih- dicincang halus
1 sudu teh udang kering yang ditumbuk halus
garam dan minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis udang, bawang besar dan bawang putih hingga wangi. Gunakan api sederhana. Masukkan kobis dan karot. Kacau hingga sayur layu.

2. Masukkan taugeh, sengkuang, udang kering dan sedikit garam. Kacau sebati dan rasa garamnya. Jika cukup semuanya.. padamkan api dan sedia digunakan.

(masak inti ni sekejap sahaja bagi mengekalkan kerangupan sayur ... sedap bila kunyah krap...krup..krap..krup)

Bahan tambahan penyedap rasa popia:

Segenggam kacang tanah disangrai , buang kulit dan kisar halus.
Udang geragau kering, disangrai dan ditumbuk halus
Bawang goreng secukupnya

Dah siap semuanya, bolehlah diisikan inti ke dalam kulit popia seperti gambar...

Okey semua, mai-mai jemput makan Popia Idaman K.An...
Tips galakan:

***Popia yang dibuat sendiri, jauh lebih sedap daripada yang dibeli kerana intinya yang segar dan bahan tambahan seperti sos, udang kering, bawang goreng dan kacang tanah boleh diletak sebanyak mungkin ikut citarasa sendiri.

***Tangan kita tidak akan melecur ketika melengser tepung di atas kuali kerana api perlahan dan tangan kita disaluti tepung. Adunan yang agak cair, mempercepatkan proses ini tanpa mencederakan tangan.

*** kulit yang terhasil daripada adunan resepi di atas lebih lembut berbanding jika adunan terlalu pekat- kulit popia menjadi liat dan sukar digigit.

*** kulit popia boleh dibuat banyak sekaligus dan disimpan di tempat beku dan kukus semula ketika hendak digunakan. (boleh juga dinyahbeku menggunakan microvawe oven)

***seperti biasa tempahan popia basah dibuka sekarang, kepada yang ingin menempah ye...