Tuesday, March 31, 2009

Gulai Ikan Masin Talang

Selain digoreng begitu sahaja, ikan masin daripada pelbagai jenis ikan, sedap dimasak bersama sayuran hijau seperti kailan dan kangkung dan sedap juga dicampur dengan nasi goreng menjadikan nasi goreng ikan masin.

Selain itu, ikan masin juga digunakan dalam masakan seperti gulai lemak ikan masin dengan nenas dan juga Kari Ikan masin seperti di dalam gambar ni. Di utara, kami panggil gulai ikan masin. Selalunya kami menggunakan ikan masin talang yang besar tetapi dipotong kecil-kecil dan dimasak seperti resepi di bawah. Ikan yang K.an masak ni, ada kawan abang Azam bagi seekor ,besar dan K.An dah bahagi-bahagikan bahagian isinya kepada jiran-jiran dan saudara-mara. Bila tinggal kepala, hmmm, memang sedap dibuat gulai.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 0rang)

400 gm ikan masin talang (campurkan bahagian tulang dan isi)

1 peket kecil rempah kari ikan masin/udang (kalau tak ada, gantikan dengan 3 sudu besar rempah kari ikan)

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris halus

1 batang terung dibelah dua dan potong 1 inci panjang -rendam

sedikit potongan nenas ikut citarasa

1 cawan santan sederhana pekat

sedikit gula

Cara membuatnya:

1. Rendam ikan masin 15 minit untuk mengurangkan kemasinannya. Basuh dan toskan.

2. Bancuh rempah kari dengan 1 cawan air. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi.

3. Masukkan rempah kari. Tumis hingga pekat dan pecah minyak. Masukkan 1 cawan air. Masukkan ikan masin, terung dan nenas.

4. Masukkan santan. Didihkan. Masukkan sedikit gula dan kacau rata. Tutup api dan sedia dihidang.

Monday, March 30, 2009

Cerita kampung kami..

Balik kampung... musim menuai dah bertukar musim menabur benih... tak lama lagi menghijaulah bendang di kampung K.An ni.

Sebenarnya, gambar-gambar ni dah cukup untuk menceritakan betapa permainya kampung kami.
Buah nangka yang sedang membesar di sebelah anjung rumah







Pokok cermai yang lebat dengan buahnya.. sedap buat jeruk ni
Pelam Teloq ni lagi lebat.. K.An dah buat jeruk ngan kerabu pun... Makan bila dah ranum pun sedap

Pelbagai spesies rama-rama berterbangan di keliling rumah. Lagi banyak daripada kat Taman Rama-rama. (Tahun lepas kami ke Taman Rama-rama di Melaka. Sakit 'tengkok' mencari rama-rama. Jumpa yang mati kat atas tanah ngan yang dalam 'frame' ada la) Kat kampung lagi banyak.. heheh..

Pokok nenas ni pulak, tak 'berenti-renti' berbuah.

**** Kalau ada kesempatan, nanti K.An kongsikan pelbagai gambar menarik di kampung lagi.. yang penting, udara paginya segar dan nyaman

Thursday, March 26, 2009

'Home-made' Shawerma

Selain suka masak-masak, makan-makan, 'JJCM', kami sekeluarga juga suka makan kat dalam kereta sambil ronda-ronda atau makan kat dalam kereta dalam perjalanan ke satu tempat yang agak jauh..(pelik pulak bunyinya)
Dalam erti kata lain, berkelah kat dalam keretalah... Kadang-kadang, kalau k.An terlebih masak makanan, K.An masukkan dalam bekas bekal, ajak Abang Azam jalan-jalan bawak anak-anak dengan kereta.... dan makanan tu pasti habis. Budak-budak ni kalau kat dalam kereta, makan berebut-rebut.... makanan yang banyak pun boleh jadi tak cukup. Yang penting, tu strategi k.An menghabiskan makanan..

Satu perkara lagi, kalau kami nak ke satu tempat yang perjalanannya memakan masa yang panjang, K.An juga suka sediakan bekalan air dan makanan yang mencukupi kat dalam kereta. Selain menjimatkan duit, jimat juga masa sebab bila terpaksa berhenti untuk mengisi perut... banyak kerenahnya dengan anak-anak kecil ni. Lagipun susah nak cari makanan yang betul-betul sedap kat R & R ni.. kebanyakannya asal ok je sebab pengguna dah tak ada pilihan. Lapar punya pasal, beli aje..

Balik ke kampung cuti lepas, k.an sempat sediakan bekal 'home-made' shawerma untuk kami makan di dalam perjalanan yang mengambil masa hampir 5 jam. K.An namakan begitu kerana kat rumah tak ada pemanggang daging shawerma macam kat kedai.. tapi rasanya hampir sama dan tak kurang sedapnya. K.An panggang kat dalam kuali je dan gunakan roti hot-dog. Boleh juga digunakan roti pita (seperti kebab Melawati) atau roti Arab.

K.An tak namakan 'kebab' kerana setahu k.An kebab adalah daging cincang yang dicampur rempah-ratus dan dikepal macam pegedil besar, dicucuk pada besi pemanggang dan dipanggang atau bakar macam sate...
Diringkaskan cerita, cubalah resepi mudah ini...

Bahan-bahan: (menghasilkan 6 biji roti shawerma)

1 bungkus roti hot-dog (boleh diganti dengan 3 keping roti pita dipotong 2)
4 keping daging burger ayam/ daging Ramly
1 biji tomato saiz besar-didadu kecil
1/2 batang timun didadu kecil
1 labu bawang besar didadu kecil
1/2 cawan sos cili
mayonaise secukupnya
margerin secukupnya

Cara membuatnya:

1. Keluarkan daging burger daripada 'freezer' dan biarkan lembut seketika.(jangan terlalu lembut, nanti tak boleh dipotong pulak) Apabila boleh dipotong, potong daging berbentuk dadu . Buat hingga habis.
2. Panaskan kuali. Letakkan 1 sudu kecil margerin. Masukkan bawang dan goreng hingga layu. Jangan sampai perang. Angkat dan ketepikan.
3. Menggunakan kuali yang sama, masukkan daging dan panggang hingga nampak garing diluarnya. Kacau sentiasa agar daging masak rata.
4.Masukkan sos cili, tomato, timun dan bawang dan gaul rata. Tutup api dan cedok daging ke dalam mangkuk.

5. Belah dua roti hot-dog. Sapukan sedikit margerin dan mayonaise secukupnya. Letakkan inti daging dan bolehlah dihidang dan dinikmati di mana sahaja. Tambahkan sos cili jika suka lebih pedas.


***lakukan proses sama jika menggunakan roti pita atau roti arab. Potong 2 roti pita dan besarkan lubang di tengahnya. Sapukan margerin dan mayonaise. Isikan inti. 3 keping roti pita menghasilkan 6 keping shawerma.

Wednesday, March 25, 2009

Daging Masak Kicap Berlada

Tak tahulah kenapa, bila teringat makanan yang sedap-sedap, mesti teringat bulan puasa. Sedangkan bulan Ramadhan jauh lagi. Agaknya bila puasa ni, macam-macam idea makanan datang ke otak ni..lapar le katakan. Kalau tak bulan puasa, masa berpantang lepas bersalin pun macam tu jugak. Semua benda teringin nak makan... Maklumlah, bila tak boleh tu lah yang menyebabkan nafsu makan ni memberontak... ye tak?...

Masa berbuka, memang semua benda nak makan, tapi kalau sahur... gosok mata 10 kali pun belum tentu selera datang... bila kena sedia makanan sahur untuk anak-anak, lagilah kena masak yang betul-betul mereka suka. Kalau tak, membazir le jawabnya.
Antara lauk yang anak-anak K.An sentiasa 'jalan' kalau waktu sahur camtu ialah masak kicap daging berlada ni... Kadang-kadang, k.An sengaja masak lebih dan boleh panaskan sampai 3 kali sahur.. yang penting anak-anak makan banyak supaya cukup tenaga untuk berpuasa.


Bahan-bahan:(hidangan untuk 5 orang)

500 gm daging lembu dihiris nipis- dibasuh dan toskan

3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1/2 inci halia dihiris halus

kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang serba satu

1 labu bawang besar dihiris tebal-tebal melintang (gelang)

2 biji cili merah dibelah 4

1/2 cawan kicap manis

1 sudu besar cili kisar

1 sudu teh lada hitam ditumbuk halus

1 sudu teh sos tiram

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga wangi dan bawang keperangan. Masukkan cili kisar dan tumis 1/2 minit. Masukkan 1/2 cawan air.

2. Masukkan kicap dan daging. Tutup periuk. perlahankan api dan biar daging mereneh hingga empuk. (lebih cepat jika guna periuk tekanan)

3. Bila daging empuk, masukkan lada hitam, bawang besar, cili merah, sos tiram dan garam. Biar mendidih dan kuah agak pekat lebih kurang 5 minit. Tutup api dan sedia dihidang.

Tuesday, March 24, 2009

Suamiku Ke dapur Lagi..Masak Kari Kepala Ikan

Cuti MaulidurRasul 3 minggu lepas kami balik kampung. Walaupun cuma 3 hari, banyak juga misi yang dapat dilaksanakan. Misi Sembilang Abang Azam berjalan dengan lancar dan kami anak-beranak pun ada rezeki juga, dapat tumpang sekaki.. Macam biasa kedai makan kat Batu 5 sebelah tapak pekan Rabu menjadi kunjungan kami.. Rezeki dapat menjamah gulai sembilang yang sedap sebab ikannya segar. (memang tak dapat kat belah KL ni).. siap tapau untuk mak dan adik2 kat rumah lagi..

Dalam kesempatan tu juga, kali ni Abang Azam terrajin sedikit, teringin nak belajar masak gulai kepala ikan. Dia beli sendiri kepala ikan merah kat pasar(segar juga) dan bahan-bahan lain untuk dimasak untuk mak mertua dan mak sendiri. Dengan panduan K.An, dia berjaya menghasilkan gulai yang alhamdulillah, K.An bagi A+ untuk percubaan pertama.. Jangan lupa step pulak lepas ni...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

sebelah kepala ikan merah saiz sederhana besar

3 sudu besar rempah kari ikan

1 cawan santan sederhana pekat

2 tangkai daun kari

1 sudu teh halba campur

3 ulas bawang merah dihiris

2 ulas bawang putih dihiris

5 batang kacang bendi, dibuang tampuknya

1 biji buah tomato dibelah 6

2 sudu besar air asam jawa cair

garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Campurkan rempah kari dengan 1 cawan air. Gaul rata. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan halba campur hingga wangi dan bawang kekuningan.

2. Masukkan rempah kari dan daun kari ke dalam periuk. Perlahankan api. Tumis sambil dikacau perlahan-lahan hingga pecah minyak. Rempah yang betul-betul masak menjadikan kari lebih sedap.

3.Masukkan bendi, santan dan tomato. Tambahkan 1 cawan air. Didihkan. Masukkan kepala ikan, air asam jawa dan garam. Tutup periuk dan biar mendidih 2 minit.

4. Terbalikkan kepala ikan. Biar 2 minit lagi. Rasa garam dan tutup api bila cukup rasa. Sedia dihidang bersama nasi putih.

***boleh ditambah cili hijau jika suka. Hari tu, abang Azam tak beli jadinya tak letak le..

*** mak dan mak mertua k.An kata boleh buat lagi sebab sedaap... ehem- ehem.. rajin-rajin la ke dapur lagi..

Monday, March 23, 2009

Puff Pisang

Sejak Palestine diserang Israel, kami dah tak singgah ke beberapa restoran makanan segera.... maknanya dah lebih 3 bulan tak makan pai pisang kat satu restoran tu... Teringin nak makan.. ada pisang.. buet je sendiri. Sedap juga, cuma kulitnya tak sama dengan di kedai. Yang penting, liciin.

Bahan-bahan: ( 5-7 biji puff)

1 cawan tepung gandum

2 sudu teh margerin

secubit garam

60 ml air ais

Cara membuat doh:

1. Campurkan tepung dan margerin di dalam mangkuk. Gaul ramas hingga jadi serbuk roti.

2. Tambahkan air yang dicampur garam sedikit demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh. Masukkan ke dalam palstik dan rehatkan dalam peti ais 10 minit. Sambil tu sediakan intinya.

Inti:

4 -5 biji pisang awak/emas

1 sudu besar gula- kurangkan jika pisang dah manis

Cara: Hiris pisang nipis-nipis. Campurkan dengan gula dan lecek dengan garpu hingga teksturnya halus.

Cara membuat puff:

1. Keluarkan doh dari peti. Bulat-bulatkan sebesar bola pingpong. Canai nipis dan gunakan acuan karipap untuk mengisi inti. (inti pisang cair dan sukar dibentuk tanpa acuan) Buat hingga habis

2. Goreng puff dalam minyak sederhana panas dengan api perlahan. Selamat mencuba.

Sunday, March 22, 2009

Sambal Terung

Jemu dengan sayur rebus... cubalah terung masak sambal ni..


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)
1 batang terung panjang dikupas selang-seli- potong 1 inci panjang dan rendam dalam air
2 sudu besar cili kisar
3 ulas bawang merah-ditumbuk kasar
1 sudu teh udang kering ditumbuk halus
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan udang kering hingga wangi.

2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan terung dan 1/4 cawan air. Tutup periuk dan biar 2 minit.

3. Buka tudung periuk, masukkan secubit garam dan 1 sudu teh gula. Kacau rata dan tutp api. Sedia dinikmati sebagai lauk sampingan.

Friday, March 20, 2009

Sup Siam Tulang Rusuk

Musim hujan macam sekarang ni, antara hidangan yang menyelerakan ialah jenis sup-sup dan berkuah macam ni. Makan waktu panas-panas...mmph.. dengan nasi boleh, mihun boleh, mee dan kue-teow pun boleh.
Kita biasa dengar sup mamak yang rasanya pedas berempah, sup Utara- dimakan bersama kicap pedas dan sup siam yang pedas dan masam. Bagi K.An semuanya sedap dengan rasa tersendiri (kalau yang sedap la...)
Dah lama tak pekena sup tulang, dapat tulang rusuk segar, apa lagi... jom kita masak sup siam.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

1/2 kg tulang rusuk dipotong kecil

200 gm daging campur (yang segar ye..)

5 ulas bawang merah dihiris

1 inci halia dihiris halus

2 ulas bawang putih dihiris halus

serba satu bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, buah pelaga

1 bungkus sup bunjut Adabi atau Sup Tulang

1 biji tomato dibelah 6

3 biji cili padi diketuk

1 batang seleri dihiris serong

1 biji limau nipis, diperah airnya

garam secukup rasa

minyak untuk menumis

1 labu bawang holland sederhana besar dibelah 8

daun sup dan daun bawang secukupnya

Cara membuatnya:

1. Basuh tulang dan daging dan toskan. Masukkan ke dalam periuk dan tambahkan air secukupnya hingga daging dan tulang tenggelam. Rebus hingga empuk. Tutup periuk dan gunakan api perlahan untuk hasil memuaskan. Gunakan periuk tekanan jika ada, untuk menjimatkan masa.

2. Apabila daging telah empuk, masukkan sup bunjut dan sediakan bahan tumisan. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan rempah ratus hingga wangi dan bawang keperangan. Tuangkan ke dalam periuk sup.

3. Biarkan sup mereneh dengan api perlahan. Masukkan cili padi, bawang besar holland, tomato,seleri dan garam. Masukkan juga daun sup dan daun bawang yang dihiris halus.

4. Tutup api apabila cukup rasanya. Cedok sup ke dalam mangkuk dan perahkan air limau nipis. Taburkan bawang goreng jika suka. Sedia dinikmati.

*** tambahkan cili padi jika suka lebih pedas dan air limau nipis jika suka lebih masam.

Masak Asam Keladi

Masak Asam Keladi ni kegemaran kami adik beradik sekeluarga bila balik kampung... Antara permintaan wajib minta mak K.An masakkan. Satu sebabnya keladi kat kampung memang sedap, lembut, muda dan tak gatal. Sebab yang lain... he..heh.. malas nak masak sendiri. Takut risiko gatal tangan dan gatal tekak.
Tapi masa balik kampung 2 minggu lepas, tak sempat nak 'request' sebab balik cuma 3 hari. Kejap sangat. Bila balik Putrajaya, kena pulak kak N dan keluarga datang, nampak keladi kat pasar, terus beli dan masak sendiri asam keladi ni. Alhamdulillah, tak gatal... dan sedaaap.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)
1 ikat batang keladi (dijual Rm 1 selalunya )-dijual berasingan dengan ubinya. Kalau suka, beli ubi berasingan

3 ulas bawang merah ditumbuk bersama 1 sudu teh belacan yang telah dibakar

3 keping asam keping

1/2 cawan air asam jawa cair

2 sudu besar cili kisar

air secukupnya- lebih kurang 4 cawan

**** sediakan juga asam jawa dan asam keping untuk mencuci batang dan ubi keladi

Cara membuatnya:

1. Potong batang keladi 2 inci panjang. Jangan ambil bahagian batang yang keras. Kupas bahagian luar batang keladi seperti mengupas kulit sengkuang. (kopek dan tarik)Ini adalah untuk mengeluarkan getahnya. Buat sehingga habis.

2. Kupas ubi keladi dan potong bulat. Rendam batang dan ubi dalam air asam jawa dan asam keping. Gunakan sarung tangan getah atau plastik untuk mencuci (ramas)batang keladi. Bilas sekurang-kurangnya 3 kali sebelum merebusnya.

3. Setelah dicuci, toskan dan masukkan ke dalam periuk. Isi air biasa hingga tenggelam batang dan ubi keladi. Masukkan 1 keping asam keping. Rebus hingga mendidih.

4. Tapis batang dan ubi keladi dan lalukan dibawah air paip. Toskan dan masukkan semula ke dalam periuk. Masukkan air, bawang merah, cili kisar, belacan, asam keping dan air asam jawa. Masak hingga mendidih dan masukkan garam dan sedikit gula. Gaul sebati dan sedia dihidang bersama ikan goreng garing dan sambal belacan.

Tuesday, March 17, 2009

Taucu Ikan kembung

Tiba je musim cuti sekolah, memang kebiasaan K.An menerima kunjungan saudara-mara dan tetamu. Memang meriah. 5 hari lepas, kakak sulung K.An dan keluarga (K.N, Abg Mie, Hafizuddin dan Nadhirah) datang berkunjung sambil lalu menghantar adik Din lapor diri kerja di JAKIM. Hafizuddin ni hafaz Quran sesuai dengan nama yang diberi.
Bila tetamu datang, K.An akan jamu mengikut selera mereka.. (K.An tahu melalui pemerhatian dan rajin bertanya... supaya tetamu akan sentiasa gembira dan suka datang berkunjung)

Sepanjang mereka di sini, antara menu yang k.an jamu ialah, taucu ikan kembung + ikan sardin, masak asam keladi, kue-teow goreng, mihun goreng, laksa (kak Tie Sarawak), bahulu kemboja, kuih sagu dan pengat pisang... alhamdulillah.. kena dengan selera..

Taucu ikan ni K.An belajar makan masa di asrama juga... sedap sebab ada rasa masam manis. Kalau bulan puasa, macam moon kata... makan masa sahur pun sedap dan sesuai kalau ada ikan goreng sejuk tak habis masa berbuka puasa,... haa jangan membazir. Buatlah masak taucu.. insyaAllah habis.


Bahan-bahan:(hidangan untuk 3-5 orang)

3-5 ekor ikan kembung/ pelaling (ikan sardin pun sedap)

1 peket taucu (bilal/tamin)

2 biji cili hijau dibelah 4

1 labu bawang besar- dibelah 8

2 ulas bawang merah dihiris

1 ulas bawang putih dihiris

1 sm halia dihiris halus

1 sudu besar air asam jawa cair

gula dan garam jika perlu (taucu dan masin)

Cara membuatnya:

1. Goreng ikan seperti biasa dan ketepikan. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi.

2. Masukkan 1/2 cawan air. Masukkan taucu, bawang besar dan cili hijau. Didihkan dan kacau sebati.

3. Masukkan sedikit air asam jawa dan tambah air jika mahu kuah banyak. Tambah sedikit gula. (1 sudu kecil). Masukkan ikan dan gaul rata. Tutup api jika cukup rasa masin , masam dan manis.

Sedia dihidang.

Secantik Bahulu Kemboja

Seperti yang K.An selalu sebut dalam 'entry' yang lepas-lepas, K.An sangaaat suka kuih-muih tradisional dan aneka kuih moden. Di samping suka makan, K.An juga suka mencuba resepi yang K.An dapat melalui pengamatan, penglihatan dan pembacaan..

Bahulu kemboja ni juga dikenali sebagai kuih bakar bijan dan terkenal di Negeri Sembilan dan Melaka. Tetapi resepinya berbeza-beza dan K.An tak berapa suka yang maniiiis sangat. (jaga kesihatan sekali...!)

Resepi ni yang rasanya seimbang, manis ada, lemak cukup, lembut pulak tu... K.An salin daripada majalah entah bila K.An tak ingat..dah lama pun. Memang sedap.. cuba jangan tak cuba.

Bahan-bahan: (menghasilkan 3 kuntum (biji) bahulu kemboja)

4 biji telur gred A - kalau saiz kecil gunakan 5 biji telur

125 gm (1 cawan) tepung gandum

200 gm gula pasir

2 helai daun pandan- kisar dengan 1/2 biji kelapa parut dan 350ml air-tapis

sedikit pewarna hijau

sedikit minyak sapi

sedikit garam

Cara:

1. Pukul telur bersama gula hingga kembang dan gula hancur. Masukkan santan dan tepung silih berganti sambil dikacau rata agar tidak berketul.

2. Buat sehingga habis tepung dan santan. Masukkan sedikit garam dan pewarna hijau. Tapis adunan (guna penapis kasar)

3. Panaskan oven ke suhu 190 darjah celcius, api atas dan bawah. Sapukan minyak sapi pada acuan dan panaskan acuan.

4. Masukkan adunan ke dalam acuan- hampir penuh. Taburkan bijan di atasnya. Bakar kuih bahulu selama 20-30 minit sehingga wangi dan keperangan.

5. apabila masak, terbalikkan acuan ke dalam pinggan untuk mengeluarkannya. Ulang proses memasak hingga adunan habis.

*** Masa di UIA dulu, dalam satu pertandingan memasak kuih-muih tradisional antara negeri, pemenangnya adalah 2 orang siswa dari Negeri Sembilan yang buat bahulu kemboja ni... memang patut menang tapi tak tahulah ke mana perginya siswa tu sekarang? Masih aktif memasak lagi ke?

Friday, March 13, 2009

Cencaru Sumbat Panggang

Bagi yang biasa tinggal di asrama pastinya mengenali 'ikan jeket' ni... Anak-anak K.An tanya, kenapa panggil ikan jeket? Kelakar bunyinya... Sebenarnya ikan ni memang selalu dihidangkan di asrama sebab harganya yang murah dan saiznya agak besar berbanding ikan selar atau ikan pelaling yang mempunyai harga yang sewaktu dengannya.

Ramai yang tak suka 'ikan jeket' sebab di asrama, dengan jeket tidak ditanggalkan, bila digoreng, rasanya kurang enak dan rupanya pun 'kurang cantik'... Bagi K.An dah biasa dengan ikan cencaru ni sejak dari 'kecik' lagi. Mak K.An lebih suka memanggangnya begitu sahaja ataupun dibuat cencaru sumbat macam yang di bawah ni. Maka, taklah ikan jeket ni tak laku, sebaliknya sangaaat digemari kami sekeluarga.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

2 ekor ikan cencaru saiz sederhana- buang kulit, belah belakang

1 cawan kelapa parut putih

2 sudu besar cili kisar

1 biji cili padi

sedikit serbuk kunyit/ kunyit hidup

1 batang serai dihiris kecil

2 ulas bawang merah dihiris

garam, gula secukup rasa

daun pisang untuk membalut ikan

Cara membuatnya:

1. Bersihkan ikan, basuh, toskan dan lumurkan dengan garam. Ketepikan.

2. Tumbuk cili padi, serai, kunyit hidup dan bawang merah hingga halus. Gaulkan dengan kelapa parut dan masukkan sedikit garam dan gula.

3. Bahagi 2 sambal kelapa. Sumbatkan ke dalam ikan seperti di dalam gambar. Balut dengan daun pisang setiap seekor. Kemaskan dengan lidi atau 'stapler'.

4. Panaskan kuali dan panggang hingga ikan berbau wangi dan daun pisang garing. Boleh juga dipanggang di dalam oven atau di atas arang/ sabut seperti membakar sate (lagi sedap). Terbalikkan ikan supaya ikan masak rata.

5. Setelah masak, sedia dimakan bersama nasi putih dan air asam. Cencaru sumbat ni boleh dimakan tanpa air asam kerana sambal kelapa tu dan cukup sebagai pelengkapnya.

Wednesday, March 11, 2009

Puding Santan Pandan

Bila masuk je cuti sekolah, memang K.An sibuk sangat. Bila anak-anak ada di rumah, tak menang tangan dibuatnya. Belum lagi tak menang mulut..heh..heh.. Masak dan mengemas pulak dari celik mata sampai tutup mata balik.. semuanya macam singa kelaparan. Letak je habiiis... letak lagi, habiiis lagi.. Tapi alhamdulillah ada selera makan, senang juga nak diurus..

Disebabkan sibuk, K.An kongsi puding santan yang mudah ni. Boleh diganti air pandan dengan air gula merah atau gula melaka. Sedap juga..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 10 orang)
1/2 cawan agar-agar kering ( dibasuh lembut, toskan dan disukat dengan cawan)
4 cawan air
1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan gula putih
1 biji telur saiz A- guna 2 biji kalau saiz kecil
1/2 cawan air pandan
sedikit pewarna hijau epal
Cara membuatnya:
1. Masukkan agar-agar dan air ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih dan agar-agar cair.
2. Masukkan gula dan air pandan. Kacau hingga gula hancur.
3. Pukul telur dengan santan menggunakan garpu hingga sebati. Tutup api dapur. Masukkan campuran telur dan santan ke dalam periuk. Gaul sebati 1 minit.
4. Sediakan acuan empat persegi anggaran 8x8 inci. (tebal agar-agar lebih kurang 1 inci)Tuang campuran agar-agar ke dalam acuan. Kacau seperti buat bulatan agar agar-agar rata. Biar sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti ais.Agar-agar akan membentuk 2 lapisan selepas 5 minit.
5. Apabila agar-agar keras, bolehlah dipotong dan dihidang.

Friday, March 6, 2009

Sarapan Ala Mediterranean

Bila bbbaru 15 tahun kahwin... (dah 15 tahun tapi macam baru..) setiap hari masak tentu ada ketika jemu dan buntu juga memikirkan menu sajian untuk keluarga setiap hari... Kalau buat nasi lemak, kena juga pelbagaikan lauknya. Takkan 10 tahun asyik telur mata kerbau je.. sesekali buatla sambal paru ke (dah ada resepi 2008), sambal sardin ke, sambal sotong ke, ataupun rendang ayam... Mmmph baru lah suami dan anak tak 'komplen'..

Antara sajian sarapan yang K.An dah kongsi ialah pelbagai murtabak, penkek, nasi goreng dan aneka kuih-muih seperti pau sambal (burger Malaysia), donut, ketayap dan juga yang goreng-goreng seperti mihun goreng, mee goreng (2 jenis) dan kue-teow goreng. Tak ketinggalan yang boleh dijadikan sarapan ialah Roti John, Roti Telur dan Sandwich Sardin. Kalau dah cuba semua tu, apa kata kali ni cuba pula sarapan ringkas ala-ala mediterranean gitu... Yang memperkenalkan sajian ni tentulah Abang Azam yang suuuka sangat makanan Arab dan yang sewaktu dengannya... (makanan di Jordan lebih banyak dipengaruhi gaya masakan Eropah sebab kedudukannya di mediterranean.. digabungkan dengan gaya masakan Arab)


Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

2-3 biji buah tomato masak (saiz besar)-didadu kecil

1 labu bawang besar (holland atau merah biasa)-didadu kecil

3 ulas bawang putih dicincang

sedikit garam dan 1/2 sudu teh gula

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak masak atau minyak zaitun di dalam periuk. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga wangi dan bawang layu.

2. Masukkan semua buah tomato yang didadu tadi ke dalam periuk. masukkan 1/4 cawan air. Perlahankan api dan kacau hingga tomato hancur dan pekat. Masukkan garam dan gula. Gaul sebati. Tutup api dan ketepikan dulu.

Bahan dan cara membuat terung bakar:

1 batang terung panjang dibelah dua dan dipotong 3 inci panjang.

1. sediakan kuali leper. Sapukan margerin pada terung dan bakar hingga keperangan. Buat kesemuanya dan terbalikkan terung agar masak rata.

2. Keluarkan isi terung menggunakan sudu. Hancurkan dan gaul sedikit dengan garam dan serbuk lada.

Hidang kuah tomato dan terung bersama roti. Isikan inti terung dan tomato di dalam roti sandwich, gulung atau lipat dan boleh dinikmati sebagai sarapan bersama keluarga. Boleh juga dicicah macam makan roti canai....


Sambal Tumis Petai Ikan Bilis

Bagi rakyat Malaysia yang lahir, membesar dan tinggal di Malaysia, hidangan macam ni pastinya tak perlu diperkenalkan lagi. Membuka mata dan membuka selera..bagi yang menggemarinya. Tapi ramai juga rupanya yang tak pandai makan petai ataupun sambal petai kerana tak tahan dengan kehebatan baunya ketika dikunyah.. Bagi K.An apa jenis sambal petai... sedaaap. Kalau dah ada sambal petai, buat telur dadar, makan dengan nasi dan kicap.. mmph mentua lalu pun tak kisah dah.

Bahan-bahannya:(hidangan 5 orang)

1 peket petai siap dikopek kulit (kalau nak senang)

50 gm ikan bilis siap dikopek dan dibersihkan

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk halus

3-5 sudu besar cili kisar

1 sudu besar air asam jawa

garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi. Jangan sampai perang. Masukkan ikan bilis dan goreng 1 minit. (jangan garing)

2. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak dan pekat. Masukkan petai dan air asam. Kacau sebati.

3. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Dah siap.

Boleh dimakan Begitu Saja..Ketupat Sotong Periuk Tanah

Ketupat adalah antara masakan tradisi Melayu yang dihidangkan hanya di waktu tertentu seperti Hari Raya ataupun majlis intimewa dan kenduri-kendara. Ada ketupat nasi dan ada juga ketupat pulut. Bagi masyarakat pantai timur, aneka ketupat pulut berintikan jagung manis dan kacang memang banyak didapati setiap hari sebagai sajian sarapan pagi.

Ketupat sotong pun asalnya dari sebelah pantai timur juga cuma bagi versi Kelantan, rasanya manis dimasak dengan gula melaka (nira)dan dimakan sebagai hidangan sampingan seperti kuih-muih. Bagi ketupat sotong Terengganu pula ada rasa pedas dan berempah sikit.

Versi K.An pulak direka mengikut selera orang utara...lah... sebab yang ini paling K.An suka.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 2-4 orang)

2 ekor sotong besar -dibersihkan dan dibuang kulit luarnya

Bahan dikisar/ tumbuk halus:

3 ulas bawang merah

1 ulas bawang putih

1/2 sm halia

1/2 sm lengkuas

2 biji buah keras

1/4 cawan kacang tanah yang telah disangrai

Bahan lain:

1 batang serai diketuk

1 cawan santan pekat- dibahagi 2

2 sudu besar cili kisar

1/2 cawan beras pulut direndam 1 jam

garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Toskan beras pulut. Masukkan dalam bekas tahan panas. Panaskan pengukus dan kukus pulut 10 minit. Keluarkan.

2. Gaulkan pulut dengan 1/2 cawan santan yang dicampur secubit garam. Isikan pulut tadi ke dalam sotong hampir penuh. Sumbatkan kepalanya dan cucuk dengan lidi agar tidak tercabut.

(perlu dilakukan dengan sabar seperti mengisi buluh lemang). Ulang proses untuk sotong yang lain.

3. Masukkan bahan kisar, 1/2 cawan santan, cili kisar, serai , garam dan gula ke dalam loyang/ bekas tahan panas. Gaul rata. Masukkan sotong dan kukus selama 15 minit dengan api kuat.

4. Keluarkan sotong dan masukkan ke dalam pinggan. Panaskan kuah tadi (yang dikukus bersama sotong)di atas dapur dan kacau hingga kuah pekat dan berkilat. Curahkan ke atas sotong dan sedia dimakan begitu sahaja atau dijadikan lauk nasi.

Thursday, March 5, 2009

Kerabu Kampung Kerang dan Pucuk Paku

Dah lebih 15 tahun K.An bermastautin di Lembah Klang, namun selera utara tetap menjadi pilihan utama tekak K.An. Terutama sekali ketika kenduri-kendara. Bagi yang belum pernah menikmati sajian kenduri kahwin di kampung-kampung kawasan utara Perak dan kawasan Seberang Perai, jika ada jemputan...penuhilah jemputan tu dan nikmati sendiri keenakan lauk-pauk kenduri kahwin di tempat kami. Memang istimewa. Tambahan pula lauk-pauk dimasak di pagi kenduri dan bukan di waktu malam sebelumnya. Ini menyebabkan lauk-pauk berkuah, lembut dan enak sebab baru dimasak.

Ayam dan daging masak merahnya memang tak sama dengan resepi di kawasan tengah Semenanjung. Gulai daging, air asam dan kerabu menyebabkan makan berpinggan-pinggan walaupun di majlis kenduri kahwin... (biasanya kita makan sikit je kat kenduri kahwin ni..) itu belum termasuk lagi acar rampai atau kacang buncis digoreng dengan hati ayam berempah kari sedikit... mmmph tak dapat nak tolak pinggan nasi tu..

Dalam banyak-banyak lauk, antara yang paling istimewa, ialah kerabu kerang dengan pucuk paku.. selalunya bahannya disediakan berasingan dan ketika nak dihidang barulah digaulkan agar kerabu lebih tahan lama.. sebab tak ada peti ais besar nak simpan..

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3-5 orang)

1/2 kg kerang

1 ikat pucuk paku-dibasuh dan diambil daun, batang dan pucuk yang lembut-celur hingga lembut.

5 ulas bawang merah ditumbuk halus

2 sudu besar cili kisar/ 3 tangkai cili kering direndam dengan air panas dan ditumbuk halus

1 sudu teh belacan yang telah dibakar

2 sudu besar kerisik

2 sudu besar air asam jawa / 1 sudu besar pati asam jawa Adabi dicampurkan 1 sudu besar air

segenggam tauge dilalukan air mendidih di dalam penapis- toskan

Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Basuh kerang bersih-bersih. Masukkan dalam periuk. Masukkan air secukupnya hingga tenggelam kerang. Didihkan dan tutup api. Kacau sedikit agar kerang masak rata. Kopek kulitnya dan ketepikan.

2. Bancuhkan air asam jawa dengan belacan, bawang, kerisik, cili kisar.

3. Masukkan tauge, pucuk paku dan kerang ke dalam mangkuk besar. Masukkan bahan-bahan yang dibancuh tadi. Masukkan sedikit garam dan gula. Gaul hingga semua bahan sebati.

Dah siaaap...

*** pucuk paku dan taugeh dicelur seketika sahaja bagi mengekalkan kerangupan dan kesegarannya

***boleh ditambah air limau nipis jika ingin lebih masam dan cili padi jika suka lebih pedas

Pajeri Terung

Dalam pos Disember 2008, K.An dah kongsikan resepi pajeri telur yang mudah dan ekonomi. Selain telur, terung, nanas, mangga muda dan bacang sedap juga dibuat pajeri. Dipadankan dengan ikan goreng garing dan sambal kicap... mmmph memang menyelerakan. Resepi kuahnya sama cuma cara masak bahan utamanya berbeza.
Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)
1 biji terung panjang- potong 3 inci panjang, belah dua dan rendam dalam air
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris nipis
1/2 inci halia dihiris halus
2 sudu besar rempah kari ikan-bancuh dengan 1/2 cawan air
1 sudu besar kerisik
1 cawan santan sederhana pekat
garam dan gula secukup rasa
Cara membuatnya:
1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga wangi. Campurkan kerisik ke dalam bancuhan rempah kari.
2. Masukkan bancuhan rempah ke dalam periuk dan perlahankan api. Kacau hingga mendidih dan pecah minyak.
3. Masukkan santan. Toskan terung dan masukkan terung ke dalam periuk. Tutup periuk dan besarkan sedikit api.
4. Didihkan pajeri dan masukkan garam dan gula (lebih kurang 2 sudu besar). Tutup api bila terung empuk. Sedia dihidang.

Wednesday, March 4, 2009

Krim Karamel

Krim Karamel antara hidangan manisan yang popular di mana-mana di dunia ni. Dihidangkan di Restoran Arab, Restoran Melayu, Restoran Siam mahupun Restoran Sajian Barat. K.An pernah tengok Bob Blumer (Surreal Gourmet), Jamie Oliver, Anna Olsen dan ramai chef tempatan menyediakan aneka jenis Krim Karamel... Selain bahan-bahan asas, Krim Karamel boleh dihidangkan dengan sirap buah-buahan atau buah dalam tin seperti peach, laici, anggur atau dicampurkan mangga kisar dalam bater bagi menjadikan krim karamel mangga... Sedap kan...?


Bahan-bahan: (menghasilkan 8 bekas dadih kecil)

2 biji telur gred A/B
1 tin susu sejat F & N atau Ideal
3/4 cawan gula perang- dihanguskan dan ditambah 3/4 cawan air menjadi karamel -ketepikan
1 sudu besar gula kastor/ pasir halus
1 sudu teh esen vanilla
sedikit margerin

Cara membuatnya:

1. Sediakan dan panaskan pengukus. Sapukan margerin pada bekas dadih/ acuan. Tuangkan gula hangus(karamel) sama banyak untuk semua bekas. Ketepikan.

2. Pukul gula kastor dengan telur hingga gula hancur. Campurkan susu sejat dan esen vanilla dan kacau rata.

3.Masukkan adunan ke dalam bekas/ acuan berisi gula hangus. Kukus 15 minit dengan suhu tinggi.

4. Setelah masak, sejukkan. Ketika hendak menghidang, boleh dimakan terus daripada bekas atau terbalikkan ke dalam piring dan hidang.
***krim karamel boleh juga dihidang ketika panas. Jika tidak suka rasa gula hangus, didihkan sahaja gula perang bersama air dan masukkan ke dalam acuan.

Monday, March 2, 2009

Gulai Manis Sotong

Walaupun menu masakan di kedai mamak tak banyak pilihan, tapi pengunjungnya tetap bertali arus... bagi peminat nasi kandar, kari ikan, kurma ayam, kari kambing, daging masak hitam memang tak jemu-jemu dijamah...walaupun tiap-tiap hari... Pelik kan?
Tak pelik jika masakan tu memang betul-betul sedap.. daripada mencuba di kedai yang belum tentu rasanya, lebih baik ke tempat yang sama dan pasti tidak mengecewakan tekak dan poket..

Bagi K.An sekeluarga pun, selalunya memilih kedai yang dah tahu reputasinya ataupun yang disarankan oleh kenalan, majalah ataupun rancangan di TV. Kalau susah nak fikir, pergi je kedai yang dah berpuluh kali ulang makan... Senang cerita.

Berbalik cerita pelbagai gulai, kali ni gulai manis sotong menjadi pilihan K.An. Cara memasaknya takjauh beza dengan gulai lain (kari) cuma ditambah sedikit gula untuk rasa manis.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

300-500 gm sotong dipotong cincin

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris halus

1 sudu besar rempah kari ikan/ udang- bancuh dengan 1/4 cawan air

1 tangkai daun kari

1/2 biji tomato dipotong 3

1/2 cawan santan (sederhana pekat)

garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan putih hingga wangi. Masukkan rempah kari dan daun kari. Kacau hingga pecah minyak. Masukkan sotong dan rempah kari.

2. Kacau rata dengan rempah dan tutup periuk. Biar 2 minit supaya sotong lembut. Buka tudung periuk, masukkan santan, tomato, garam dan 2 sudu teh gula. Biarkan mendidih dan kuah pekat sedikit. Tutup api dan sedia dihidang.

Nasi Goreng Ikan Masin

Aromanya memang menusuk hidung ketika digoreng....Lepas menggoreng pulak habis satu rumah kena sembur pewangi.. kalau tidak berduyun-duyun le lalat datang menjengah, nak tumpang jamu selera juga.
Itu istimewanya nasi goreng ikan masin.. kalau tak tahan dengan baunya.. tak payahle susah-susah masak..

Bahan-bahan: (hidangan 3 pinggan)

2 cawan nasi putih sejuk
1/2 cawan isi ayam dipotong dadu
2 potong ikan masin tenggiri
2 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
3 tangkai cili padi diketuk (tambah kalau suka pedas)
1 tangkai cili merah dihiris serong
1 tangkai kailan dipotong 1 sm panjang (Batangnya dihiris nipis)
sedikit lobak merah dihiris halus
2 biji telur
sedikit garam jika perlu, serbuk lada putih secukupnya dan minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng ikan masin hingga separa garing. Angkat dan hancurkan. Ketepikan dulu.
2. Dalam kuali yang sama goreng isi ayam hingga kekuningan dan wangi. Masukkan bawang, cili padi dan cili merah. Tumis hingga wangi.
3. Masukkan 1/4 cawan air rebusan ayam/ kulit udang. Masukkan kailan dan karot. Kacau seketika. Masukkan telur. Kacau sedikit dan terus masukkan nasi.
4. Gaul hingga sekata. Masukkan ikan masin yang telah dihancurkan tadi. Gaul dan rasa. Tambahkan serbuk lada dan garam jika perlu.
5. Kacau nasi hingga sebati dan garing. Tutup api dan sedia dinikmati.