Tuesday, March 31, 2009

Gulai Ikan Masin Talang

Selain digoreng begitu sahaja, ikan masin daripada pelbagai jenis ikan, sedap dimasak bersama sayuran hijau seperti kailan dan kangkung dan sedap juga dicampur dengan nasi goreng menjadikan nasi goreng ikan masin.

Selain itu, ikan masin juga digunakan dalam masakan seperti gulai lemak ikan masin dengan nenas dan juga Kari Ikan masin seperti di dalam gambar ni. Di utara, kami panggil gulai ikan masin. Selalunya kami menggunakan ikan masin talang yang besar tetapi dipotong kecil-kecil dan dimasak seperti resepi di bawah. Ikan yang K.an masak ni, ada kawan abang Azam bagi seekor ,besar dan K.An dah bahagi-bahagikan bahagian isinya kepada jiran-jiran dan saudara-mara. Bila tinggal kepala, hmmm, memang sedap dibuat gulai.


Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 0rang)

400 gm ikan masin talang (campurkan bahagian tulang dan isi)

1 peket kecil rempah kari ikan masin/udang (kalau tak ada, gantikan dengan 3 sudu besar rempah kari ikan)

3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih dihiris halus

1 batang terung dibelah dua dan potong 1 inci panjang -rendam

sedikit potongan nenas ikut citarasa

1 cawan santan sederhana pekat

sedikit gula

Cara membuatnya:

1. Rendam ikan masin 15 minit untuk mengurangkan kemasinannya. Basuh dan toskan.

2. Bancuh rempah kari dengan 1 cawan air. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga wangi.

3. Masukkan rempah kari. Tumis hingga pekat dan pecah minyak. Masukkan 1 cawan air. Masukkan ikan masin, terung dan nenas.

4. Masukkan santan. Didihkan. Masukkan sedikit gula dan kacau rata. Tutup api dan sedia dihidang.

1 comment:

  1. Salam Kak,

    Apabila saya nampak gulai lemak kesukaan saya teringatkan masakan ibu.... sedap kalau ada jeruk petai sebagai ulam =)

    Terima kasih kerana sudi berkongsi gambar ini.

    ReplyDelete