Thursday, June 30, 2011

Ikan Keli dan Tilapia Merah Bakar

Assalamualaikum... Hari ni tentu ramai yang berpuasa sempena bulan Rejab yang mulia... Terasa baru je menyambut Syawal, pejam-celik,,,pejam-celik dah menjelang akhir Rejab. Dalam kesibukan bekerja jangan lupa menghayati hikmah peristiwa Israk Mikraj yang sangat penting dalam kalendar Islam... Hari di mana Nabi Muhammad SAW di israkkan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian diangkat melalui mikraj (tangga emas dan perak) dari bumi ke langit ke -7 hingga ke Sidratul Muntaha dan bertemu Allah di Arasy. Ketika inilah solat 5 waktu diwajibkan kepada umat Islam sejagat.. 

Kepada yang berpuasa, elok juga kita makan, makanan yang ringkas je agar tercapai matlamat asal berpuasa- mencari keredhaan Allah..
Selalunya yang menaikkan selera ialah lauk jenis bakar-bakar gini je...

 Teringat pulak kenduri gotong-royong di Surau Al-Mizan Presint 8, 2 bulan lepas... Sejak pemergian arwah Munirah, K.An makan sekadar mengisi perut je... tak terasa pun sedap ke, tidak ke.. Alhamdulillah masa gotong-royong tu, AJK Surau dan jemaah yang lain masak ala-ala kampung untuk makan tengahari. Masak Lemak labu, Gulai tempoyak ikan tilapia (air tangan Hjh Firooz), ikan tilapia bakar, air asam, sambal kicap dan ulam-ulaman.... Berselera sungguh K.An makan... terima kasih le semua tukang masak.. (Hj Lah, Hj Adnan dan termasuk Abg Azam sekali..) 5 bintang K.An bagi...

Jadinya, bila rasa kurang selera makan, K.An akan masak ringkas-ringkas ala kampung.. Alhamdulillah kena dengan tekak K.An dan keluarga.. Lagipun, lebih baik untuk kesihatan.

Bahan pun mudah, K.An tumbuk beberapa ulas bawang merah, sedikit kunyit hidup, cili padi dan garam. Perapkan sebentar pada ikan, kemudian panggang dalam kuali. Buat air asam... makan dengan nasi panas...

Monday, June 27, 2011

Apam Polka Dot

Di sana-sini kuih Apam Polka-Dot atau Apam Dot-Dot ni menjadi buah mulut orang kerana kecomelannya dan kesedapannya.. di sana-sini juga ramai yang jadi pembekal Kuih Apam Polka Dot kerana banyaknya permintaan untuk dijadikan buah tangan atau 'door-gift' di majlis kenduri kahwin atau majlis harijadi. 

Pertama kali K.An tengok rupa kuih ni ialah dalam Majalah Jelita yang menyiarkan beberapa resepi eksklusif Hana sekembalinya ke Malaysia... memang menarik. Rasanya bagi peminat blog masak-masak, nama Hana memang tak perlu diperkenalkan lagi... Walaupun sibuk menguruskan keluarga dan anak-anak yang masih kecil, Hana sangat rajin memasak dan mencuba pelbagai resepi baru.. semuanya nampak sedap dan menjadi.. 
Apa khabar Hana dan Darwish....? Bila nak jemput K.An ke Kuantan..hhihihiih...

Sebelum mencuba membuatnya, K.An google pelbagai versi resepi apam polka-dot.. dan K.An akhirnya ikut resepi dari dapur Linda (Teratakdhia). Resepi asal daripada Lilydvalley@MyResipi (apam comel inti Kelapa dan Hanamemories (Apam Dot Dot)

Alhamdulillah, pada awalnya terkial-kial juga K.An nak mengerjakan apam ni.. tapi bila dah kena rentaknya, mudah je membuatnya. Alhamdulillah rupa cantik, rasa pun sedap. Budak-budak memang suka.. saiz kecik, senang nak makan..

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih 80 biji apam saiz S)

3 biji telur A dari peti ais (anggaran 55-60 gm tanpa kulit) - K.An gunakan 4 biji telur gred C
250 gm tepung gandum diayak bersama
2 sudu teh baking powder
200 gm gula halus
250 ml susu segar
1 sudu teh ovellete
1 sudu teh esen vanilla

Jem pilihan- strawberry, blueberry dll

Cara membuatnya: (boleh tengok langkah-demi langkah bergambar di blog Farrah )

1. Masukkan telur, gula halus dan ovellete ke dalam mangkuk adunan. Pukul hingga kembang menggunakan kelajuan tinggi (5-6) selama 5-10 minit. Pukul hingga adunan berwarna putih seperti ais-krim.

2. Tukar kepada kelajuan perlahan. Masukkan tepung dan susu sedikit demi sedikit silih berganti sambil digaul hingga rata. Masukkan esen vanilla dan gaul sebati.

3. Panaskan pengukus dan sediakan acuan apam yang dialas dengan mangkuk kertas kecil. Bahagikan adunan kepada 3 warna pilihan. Masukkan ke dalam piping bag. Tinggalkan sedikit bagi setiap warna untuk proses dot-dot.

4. Paipkan adunan ke dalam mangkuk kertas separuh penuh. paipkan jem dan penuhkan dengan baki adunan.  Masukkan baki adunan ke dalam piping bag lain dan tebuk lubang kecil (lebih kecil daripada adunan utama) dotkan ikut citarasa warna. (buat cepat-cepat agar jadi titik cantik)

5. Perlahankan api. (supaya apam tidak merekah ketika proses mengukus) Kukus kuih selama 10 minit. Angkat dan sedia dinikmati. Ulang proses hingga habis adunan.

Sunday, June 26, 2011

Lemak Tempoyak Udang dengan Jantung Pisang

Memandangkan K.An 'kesiankan' (ayat abang Azam..hihihih) sedikit baki tempoyak pemberian Hjh Firos tempoh hari, K.An masaklah lemak tempoyak Udang dengan jantung pisang ni... Jantung pisang pun ambik kat belakang rumah je.. tak payah beli kat pasar... Sebelum ni K.An pernah kongsikan Lemak udang dengan jantung pisang atau dalam bahasa Banjarnya Sesangan Udang juga dengan jantung Pisang. Untuk kelainan rasa, ditambah dengan tempoyak supaya kuah lebih pekat dan ada rasa masam manis gitu..

Jom kita tengok resepinya:

1 biji jantung pisang-K.An gunakan jantung pisang awak
10 ekor udang harimau-bersihkan
1 sm kunyit hidup
5 ulas bawang merah
5-10 tangkai cili padi-ikut citarasa pedas
2 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
garam dangula secukup rasa
2 sudu besar tempoyak

Cara membuatnya:

1. Didihkan secukup air dicampur 1 sudu besar minyak di dalam periuk. Belah 2 jantung pisang dan rebus selama 5 minit atau sehingga jantung lembut. Toskan dan hiris kecil- 1 sm tebal

2 Tumbuk bawang, kunyit dan cili padi. Masukkan santan cair, bahan ditumbuk, udang dan jantung pisang ke dalam periuk. Biar mendidih. Perlahankan api dan masukkan tempoyak. Masukkan pula pati santan, garam dan gula secukup rasa.
3. Kacau hingga mendidih dan kuah agak pekat. Matikan api dan sedia dihidang.


Saturday, June 25, 2011

Berkelah di SMAPK


Melawat Asma' di SMAPK. Sambil itu berkelah bawah pohon rambutan di tepi padang.

Thursday, June 23, 2011

Kelas Coklat Bersama Siti

Alhamdulillah, pada 5 Jun 2011 yang lepas, K.An berkesempatan mengikuti Kelas Membuat Coklat bersama Siti di rumah beliau di Seri Kembangan. Terima kasih banyak K.An ucapkan kepada Siti yang sudi berkongsi ilmu dan pelbagai tips berguna bagi menghasilkan coklat yang bermutu dan sedap. Seronok juga bersembang dengan siti dan suminya Wan yang merupakan usahawan dari rumah sahaja... Inspirasi mereka memberi semangat kepada K.An untuk terus melangkah ke depan walaupun secara kecil-kecilan di rumah. Kepada yang berminat untuk mengikuti kelas yang sama, bolehlah rujuk blog Siti di ShOcOlat's House untuk pelbagai pakej menarik.

 Anak murid bersama Cikgu Siti

Zaini dan Tisha yang turut serta di kelas tersebut

Hasil kerjatangan K.An dengan bimbingan Siti



Sesiapa yang berminat nak menempah, boleh e-mail K.An di raihanshaari@gmail.com ye atau mesej K.An di Facebook Raihan Shaari.
Selain untuk dimakan sendiri, coklat ini sesuai dijadikan buahtangan untuk harijadi anak-anak, kenduri kahwin dan hadiah untuk yang tersayang. Yang penting, bahan-bahan yang digunakan dijamin Halal.

Wednesday, June 22, 2011

Santai-Santai

Santai-santai di Perantau Hill, Sg Merab

Karipap Sejuk Beku

Alhamdulillah dengan izin Allah dapat lagi kita menghirup udara segar di bumi bertuah ini.... apapun yang kita lakukan, jangan lupa niatkan kerana Allah. Barulah dapat pahala ibadah dan menjadi bekal kita di akhirat nanti InsyaAllah.
Hari ini, K.An kongsikan resepi karipap sejuk-beku yang selalu K.An buat di rumah ni. Setakat ni belum sempat nak menjual sebab makan sendiri pun tak paus-puas. Semuanya 'hantu' karipap. Tambah pulak kalau, siap goreng, masukkan dalam bekal, berkelah sambil jalan-jalan kat dalam kereta. Belum keluar dari Presint 8, semuanya dah liciiin. Entah bila nak menjualnya..hehehheh..
Resepinya lebih kurang sama dengan resepi yang K.An kongsikan sebelum ni. Cuma yang ini K.An gunakan semuanya minyak masak.. Tak guna margerin... Boleh cuba sendiri nanti.

Bahan-bahan:  (menghasilkan lebih kurang 35 biji karipap)

400 gm tepung gandum
80 gram minyak masak
1 sudu teh garam
120ml-150 ml air ais- air yang disejukkan di dalam peti ais

Cara membuatnya:
Sila rujuk di entry yang lepas Cara-cara membuat karipap menggunakan mesin mee.  Resepi  inti karipap pun dah ada... kalau nak gamti atau tambah daging yang dicincang pun boleh.. Ada juga yang sukakan rasa udang kering, boleh juga tambah sedikit.

Dah siap karipap, simpan dalam bekas yang dialas plastik Setiap lapisan karipap pun kena letak plastik agar tidak melekat antara satu sama lain. Tips penting, karipap perlu dikeluarkan dari bekas, ketika beku agar tidak melekat antara satu sama lain. Cara lain, goreng karipap separa masak, dan simpan beku. Lebih cepat dan mudah ketika digoreng kali kedua.

***satu lagi tips penting dari tokey-tokey karipap sejukbeku, Ilahjy dan Beuty of Maya... bakar karipap yang dah siap dalam oven selama 10 minit sekadar mematikan tepung. Lepas baru disimpan di dalam bekas bertutup dalam freezer. InsyaAllah karipap tidak akan melekat ketika hendak digoreng.


terima kasih ye...

Yang ini stok K.An dan anak-anak.... Selamat mencuba

Fluffy Pancake

Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera semua...

Kepada yang ada di rumah dan belum bersarapan, pagi ni bolehlah cuba buat penkek sendiri... dengan sedikit bahan yang mudah, boleh dapat 5 X ganda jumlah penkek berbanding harga yang sama di restoran makanan segera yang menghidangkan menu sama... (K.An cuma rasa agak tidak munasabah harga yang dikenakan untuk 2 keping penkek dengan golden syrup...ishk..ishk..ishk..)

Sebelum ni K.An dah pernah kongsi resepi penkek versi K.An. Tapi kali ni K.An nak kongsi resepi yang laaagi mudah diingat, yang kawan merangkap Junior K.An di UIAM dulu (Nurbani) kongsikan.

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 7- 10 keping penkek-ikut saiz)

1 cawan tepung gandum
1 cawan susu segar
1 biji telur A/B
1st baking powder
1 sudu besar minyak masak

Cara membuatnya:

Ramai yang tanya, apa bendanya 'whisk' tu.. Ianya adalah alat mengacau adunan/ bater yang agak cair seperti adunan mafin, ketayap, kuih talam dan penkek. Boleh beli dari  pasaraya atau kedai barang-barang peralatan dapur atau kedai pembekal bahan-bahan kek.

1. Campurkan semua bahan di dalam mangkuk adunan. Gaul sebati menggunakan whisk hingga adunan licin. Tutup dan biarkan 30 minit.

2. Selepas 30 minit, panaskan kuali leper dan lenserkan dengan sedikit margerin. Gunakan api kecil. Sendukkan adunan secukupnya ke atas kuali. Biarkan seketika kerana adunan akan mengembang sedikit ketika dimasak. Bila penkek meletup-letup, bolehlah diterbalikkan. Biar masak seketika dan boleh diangkat.

3. Ulang proses hingga habis adunan. Bila siap, bolehlah dimakan bersama madu, krim atau sambal sardin... hmmm, yummy...

Kalau ada sesiapa yang kata buat penkek susah, memang tak patut.... Bahan senang, cara menyediakan senang, nak masak pun senang. Makan, lagi lah senang.  .... Jangan hairan kenapa K.An kata macam ni ye, bukan marah, cuma nak membuktikan hakikat kepada orang yang sebut ayat susah tu... heheheh...

***sebenarnya baru-baru ni, anak kedua K.An -Asma' nak masak penkek untuk projek sarapan Kemahiran Hidup. Cikgu dia tak bagi sebab katanya itu untuk tahap Tingkatan 3. Tingkatan 1 ni buat yang senang-senang je.... hisssh... cikgu ni.. tak patut. Pssst.. jangan bagitau sesiapa yang berkaitan ye...hehehheh..

Apapun, jutaan terima kasih Bani untuk resepi yang best ni.... K.An buat dua adunan dan bagi jiran sebelah ... dia kata, cantik sangat penkek ni sampai sayang nak makan... heheheh..kelakar la Kak Lin.." Saya bagi ni untuk makan la,.jangan pandang je...."


Friday, June 17, 2011

Roti dan Bun Kismis

Mata K.An ni dah layu sangat dengan mulut ni asyik menguaaap je, akibat tidur 2 jam je malam tadi... Bukannya K.An on-call doktor atau rukun tetangga yang bertugas, tapi kejadian menyiapkan tempahan Pulut Kuning Datin Salbiah dan anaknya Faiz... Alhamdulillah siap juga ikut masa yang diingini... Terima kasih datin sebab teringatkan saya bila nak 'order' pulut kuning. Terima kasih juga sebab Datin banyak tolong K.An masa hari pemergian Arwah Munirah.. Almaklum, masa tu, K.An rasa macam kosong je...tak pasti apa yang nak dibuat dulu...Kalau Datin dan kerabat pejabat Abang Azam tak ada, boleh pitam juga K.An dibuatnya...

Petang ni K.An bukan nak cerita pasal pulut kuning, tapi nak ajak semua buat roti... Yuk buat roti kata Chef Wan... (nak cerita pulut kuning pun tak boleh sebab semuanya dah licin, tak sempat nak ambik gambar..hihihi..)
Resepi roti Kismis ni dipetik daripada Buku Aneka Roti yang diselenggarakan oleh Sa'adiah Mohamad, terbitan Alaf 21.

Bahan-bahan:

450 gm tepung roti (tepung berprotein tinggi)
100 gm kismis hitam
40 gm margerin dicairkan
1 biji telur
1 sudu teh garam
1 sudu teh rempah campur/ mixed spice (K.An tak letak pun)

Bahan A dilarutkan

50 gm gula kastor
7 gm yis kering segera
150 ml susu segar
100 ml air suam

Bahan ising disatukan
35 gm gula kastor
sedikit air suam

Cara membuatnya:

1. Ayak tepung, rempah campur dan garam dalam mangkuk adunan. Masukkan kismis hitam, telur dan margerin. Gaulkan hingga rata.

2. Tuangkan bahan A. Uli doh hingga lembut dan kenyal. Masukkan ke dalam mangkuk dan tutup dengan cling wrap atau tuala dapur. Biar doh naik dua kali ganda selama 1 jam.

3. Selepas 1 jam, tumbuk doh dan bentukkan ikut citarasa. Masukkan ke dalam loaf tin yang telah di gris. Biarkan doh naik lagi hingga memenuhi tin.

4. Panaskan ketuhar pada suhu 180 darjah Celcius. Bakar selama 20 minit atau roti keperangan. Ketika roti masih panas, sapukan ising. 

***K.An bahagi 2 adunan. satu dijadikan loaf, satu lagi dibulat-bulatkan... inilah hasilnya...
Bun nak macam sama dengan pipi Maryam....hehehhehh

Thursday, June 16, 2011

Bendi Goreng dengan Telur

Tiada ucapan yang lebih bermakna selain ucapan Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera kepada semua... walau berjuta kali diucap, namun itulah yang kita ucapkan setiap hari bila bertemu orang lain kan... mendoakan keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan adalah yang terbaik tanpa mengira masa dan tempat.


Pagi ni, tak perlu cerita panjang lebar sebab, ramai yang sibuk zaman sekarang ni... semuanya nak cepat. Jadi, kita tengok resepi sayur yang ringkas daripada K.An... resepi turun-temurun tok nenek, mak, kakak... semuanya dah biasa dengan aneka sayur goreng dengan telur ni. K.An pun dah pernah kongsikan di periuktanah, kacang panjang goreng telur dan tauge goreng telur. Macam-macam sayur boleh dimasak sebegini seperti, kobis bulat, kobis panjang, sawi dan selom.

Bahan-bahan:

5 tangkai kacang bendi- potong serong 1cm tebalnya
1 biji telur
3 ulas bawang merah dihiris
1 tangkai cili merah-hiris serong juga
garam secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Cuci bersih kacang bendi dan toskan. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bawang merah dan cili merah. Masukkan kacang bendi. Tambah sedikit air (1/4 cawan) dan tutup periuk.

2. Masak seketika. Buka tudung periuk dan pecahkan telur. Biar telur masak sedikit dan kemudian kacau rata. Tambahkan garam secukupnya. Kacau sedikit hingga airnya kering. Matikan api dan sedia dihidang.

Tuesday, June 14, 2011

Gulai Tempoyak Ikan Keli dan Tauge Kasar

Sudah 2 hari sesi persekolahan dimulakan dan seperti biasa selesai juga sesi melayan anak-anak selama 2 minggu... Kembali sahaja dari kampung, K.An kerah anak-anak  supaya menyiapkan kerja-kerja sekolah.. Sambil-sambil tu ajar buat kerja-kerja rumah yang mudah. Walaupun penat mulut juga dibuatnya, tapi kalau tak dilatih, takut nanti sampai ke tua kekok nak menolong orang tua... paling kurang setakat nak sidai kain, lipat kain, sapu sampah, kemas bilik sendiri, buat air dan cuci   pinggan mangkuk boleh diharap.. Betul tak..?

Selain sibuk dengan anak-anak, K.An juga tolong jagakan anak kecil kawan Kak An, Mimi yang ditimpa masalah biasa zaman sekarang... apa lagi kalau tak 'bibik' lari... atau dalam bahasa ibunda mereka... 'kaburrr'.. K.an tak ada masalah nak tolong, lagipun ada Asma' dan Sarah yang membantu.. Kesian Mimi.. kenalah cari pembantu yang lain.

Bila sibuk, K.An pun masak yang senang-senang je.. tak sempat nak kejar sana-sini. Teringat resepi Gulai Tempoyak Ikan Keli dalam majalah Saji yang disiarkan dalam Edisi Februari 2009... Mari kita Cuba.

Bahan-bahan: hidangan untuk 5 orang

3 ekor ikan keli- dibersihkan dan potong ikut citarasa (K.An potong 3)
4 sudu besar tempoyak
10 tangkai cili api- kurangkan kalau tak tahan pedas
2 tangkai cili merah
4 ulas bawang merah
1/2 inci kunyit hidup
2 helai daun kunyit
sedikit daun kesum
1 batang serai dititik
garam dan gula secukup rasa
3-4 cawan air
50 sen tauge kasar dibuang akarnya

Cara membuatnya:

1. Tumbuk/ kisar lumat cili padi, cili merah, kunyit hidup dan bawang merah. 
2. Masukkan air,  bahan kisar/ ditumbuk ke dalam periuk. Didihkan. Kacau rata dan masukkan ikan. Tambahkan garam dan gula secukup rasa. Perlahankan api dan biar mereneh selama 10 minit. Akhir sekali masukkan tauge kasar. Kacau sedikit dan matikan api. Sedia dihidang bersama nasi panas...

*** masak lauk macam ni, ikut citarasa masing-masing. Kalau suka kuah lebih pekat, tambahkan tempoyak. Kalau suka pedas, tambahkan cili. Begitu juga, rasa masam,manisnya... pandai-pandai le nak tambah ye..

Cuba ye, jangan tak cuba...!!

Tuesday, June 7, 2011

Lepat Ubi Kayu

Assalamualaikum wrt dan Salam Sejahtera semua... seperti biasa, bila lama tak ke udara ni, bermakna, K.An dan keluarga ke tempat lain, berehat ataupun balik kampung. Almaklum, cuti sekolah. Awal-awal lagi kami balik sebab nak melapangkan minggu kedua untuk anak-anak menyiapkan kerja sekolah... Alhamdulillah, terasa keberkesanannya.
Bila balik kampung, jiwa kampung pun terasa... kikihkih.... Memang sah, K.An orang Melayu asli... tekak ni dah sebati dengan kuih-muih kampung dan masakan kampung. Kalau nak diselang-seli dengan menu lain tu, sekali-sekala bolehlah...

Jadi pagi ni, apa lagi, jom kita layan resepi kuih tradisonal Melayu yang dinamakan Lepat Ubi Kayu... Resepi K.An sendiri ikut selera K.An dan citarasa yang diturunkan oleh Mak tercinta Hjh Selamah...

Bahan-bahan: Menghasilkan lebih kurang 10- 12 batang lepat ikut saiz

2 cawan ubi kayu siap diparut- K.An tak beri sukatan dalam kg, sebab ubi kayu ni bila kita beli, kadang-kadang berkayulah, tak elok lah... bila diparut akan menyusut... Jadi ikut sukatan cawan yg K.An beri ni untuk ketepatan. (beli lebih kurang 1 1/2 kg, kalau lebih boleh buat kuih lain atau direbus begitu sahaja)

1 cawan pati santan
1/2  cawan gula pasir (boleh campur atau ganti dengan gula merah jika suka)
1/4 sudu teh garam
sedikit pewarna kuning- jika guna gula merah, tak perlu letak

Daun pisang yang dilayur secukupnya. Pastikan tidak berlubang agar adunan tidak terkeluar ketika membungkus.

Cara membuatnya:

1.Campurkan semua bahan di dalam satu mangkuk. Gaul Rata.
2.Panaskan pengukus dan didihkan air sementara proses membungkus. Isikan satu sudu besar adunan atau lebih (ikut saiz kegemaran) dan bungkus kemas seperti membungkus lepat lain. Susun di dalam periuk pengukus. Gaul adunan di dalam mangkuk adunan sekali sekala agar bahan-bahan sekata sebelum disudukan ke atas daun pisang.

3. Buat hingga habis adunan. Kukus dengan api kuat selama 15 minit. Angkat dan sejukkan lebih kurang 30 minit sebelum dihidang. (tak perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk)

Selamat mencuba...


Monday, June 6, 2011

Pakej Iklan

Alhamdulillah, ramai tetamu yang telah mengunjungi PeriukTanah. Sehingga Jun 2011, K.An telah menerima lebih 240 ribu hits. Kunjungan purata sehari mencecah 300 hits.

Ada tetamu yang memohon beriklan di PeriukTanah. Jadi untuk tidak menghampakan, K.An buat 2 pakej iklan di sini:

Pakej 1 : Iklan bersaiz (+/-) 468 x 60; sewanya RM25 sebulan. Kalau ambil 4 bulan, K.An bagi percuma tambahan 1 bulan. Contohnya seperti ini:



Pakej 2 : Iklan bersaiz (+/-) 200 x 60; sewanya RM15 sebulan. Sama juga, kalau ambil 4 bulan, 1 bulan tambahan percuma K.An bagi.



Untuk beriklan, mudah sahaja:

Masukkan bayaran ke akaun Bank Rakyat 220591102469 Raihan binti Shaari. Kalau dari bank lain pun tak ada masalah, boleh guna kemudahan interbank giro transfer.

Emelkan butiran iklan ke raihanshaari@gmail.com seperti berikut:

nama
jenis iklan dipilih (1 atau 2)
tempoh sewaan (dalam bulan)
no tel untuk dihubungi
lampiran banner (anda boleh buat dengan percuma di laman bannersnack.com atau bannerfans.com)
link banner
bukti pembayaran (slip bank)