Tuesday, May 24, 2011

Sarapan Roti dengan Kuah Tomato

Alhamdulillah.. hari ni dapat lagi kita bersua muka di laman periuktanah, Laman Resepi dan Cerita Masak-masak K.An dan keluarga... Walaupun masak biasa-biasa je, memang betul kata orang, air tangan ibu tu amat penting dalam mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.. Paling kurang, ada sesuatu yang suami atau anak-anak ingat bila berjauhan. 
Sebut tentang masak biasa-biasa, hampir setiap keluarga ada hidangan yang digemari dan selalu diulang makan dan masak. Tak kiralah makan di kedai mahupun di rumah. Mana ada orang yang sanggup masak setiap hari, menu baru.. ye tak? Di rumah K.An ni, kami berkongsi banyak makanan kegemaran. Kalau lauk-pauk tu seperti, Masak Lemak Cili Api Telur Itik, Kurma Ayam, Ikan Keli Sambal, Sambal Tumis Petai, Sambal Goreng Tempe, Aneka Sup seperti Sup Tulang, Sup Siam, Sup Ayam, Pajeri Telur, Kari Ikan  dan macam-macam lagi. Seingat K.An , lauk-pauk ni dah beratus kali dimasak untuk suami dan anak-anak.

Makanan ringan seperti kuih-muih dan hidangan sarapan dan minum petang pun begitu juga. Aneka sanwic, Roti John, Lempeng, Mee, Mihun dan Kue-Teow dan pelbagai kuih tradisional yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Lagipun bila ada 5 orang anak, macam-macam permintaan mereka yang K.An perlu penuhi. Selalunya mereka nakkan rasa yang sama seperti  selalu K.An buat. Jadinya, cuma sekali-sekala K.An mencuba resepi baru. Jadi kalau ada yang bertanyakan resepi Kari Ikan contohnya; bolehlah punggah resepi lama-lama K.An yang ada dalam periuktanah ni... (di ruangan Cari Resepi tu ye...)

Hampir kesemua resepi yang K.An kongsikan di Periuktanah adalah yang paling K.An suka rasanya: (secukup rasa gitu..) Kecuali jika K.An sebutkan resepi yang lain yang lebih baik.. 

Antara resepi ulangan yang digemari semua daripada Abang Azam, Iqbal, Asma', Sarah dan sehinggalah Maryam dan 'Aisyah ialah kuah tomato dimakan bersama kepingan Roti sanwic. Nampak sungguh ringkas, tapi percayalah, ianya sungguh sedap dan berkhasiat. Inipun dah beratus kali K.An buat sebab mudah untuk sarapan sebelum ke sekolah.

Resepinya pernah disiarkan sebelum ni, dengan tajuk Sarapan Ala Mediterranean.. Untuk kemudahan semua K.An siarkan sekali lagi untuk dicuba....

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)

2 biji tomato saiz besar (XL) buat 3 jika saiz sederhana- didadu tanpa dibuang biji
1 labu bawang besar Holland saiz sederhana-didadu
3 ulas bawang putih dicincang
2 sudu  besar minyak zaitun atau minyak masaak
secubit garam
1/2 sudu teh gula
1/2 cawan air

Roti sanwic secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang besar dan bawang putih hingga naik bau wangi, Masukkan tomato dan air. Biarkan mendidih dan tomato agar hancur.

2. Tambahkan garam dan gula. Gaul rata dan biar kuah agak pekat. Matikan api dan sedia dihidang ketika panas atau sejuk.

Monday, May 23, 2011

Al-Fatihah... Takziah kepada semua keluarga Mangsa Tanah Runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah, Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat

Petang 21 Mei 2011, seluruh rakyat Malaysia, sekali lagi dikejutkan dengan berita menyayat hati in. Kejadian yang pernah berlaku, tetapi masih belum diambil iktibar oleh kita semua. Semuanya adalah di tangan Allah dan kita wajib menerima ketentuanNya.


Namun yang penting, ambillah iktibar. Jauhilah malapetaka. Janganlah lagi kita melakukan kesilapan dengan membuat pembangunan di cerun bukit yang merbahaya... Bumi ini milik Allah dan peliharalah ia dengan sebaiknya.
Di sini ingin K.An merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat. 16 orang yang terkorban  dan 9 orang terselamat... Sama-samalah kita panjatkan doa agar mereka ditempatkan di sisi Allah bersama orang-orang yang beriman. Cukuplah gambar-gambar ini menjadi cerita tanpa suara... (gambar di petik daripada The Star Online)
Al-Fatihah

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru

Assalamualaikum wrt...

Di kesempatan ini K.An ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada suami tercinta Ustaz Nor Azam Abdullah, kakak K.An, Cikgu Siti Azemah, Adik ipar, Ustaz Ismail, abang Ipar, Cikgu Abdul Aziz, adik ipar Cikgu Hamizawaty dan semua guru-guru di seluruh Malaysia. Teruskanlah usaha mendidik anak bangsa tanpa rasa jemu.  Juga kepada semua guru-guru yang mendidik anak-anak K.An, Ahmad Iqbal di Maahad Hamidiah Kajang, Asma' di SMAP Kajang dan Sarah Huda di SK Putrajaya Presint 8 (1). Terima kasih atas kesabaran kalian menghadapi kerenah mereka ini. Didik dan ajarlah mereka seperti mengajar anak sendiri. Jutaan terima kasih saya ucapkan.

Tuesday, May 10, 2011

Buku Mesti Baca


Assalamualaikum wrh wbt.

Sambil kita cerita tentang resepi dan masak-masak, Hari ni K.An ambil peluang untuk cadangkan buku yang amat baik ini. Tajuknya Diskusi Isu Aqidah & Pemikiran Semasa di Malaysia, karangan  Us Mohd Aizam Mas'od. Us Aizam mengajar aqidah di surau Al-Mizan Presint 8 dekat rumah kami ni. Beliau adalah Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JAKIM, dan memang banyak mengkaji tentang permasalahan aqidah semasa.

Antara isu aqidah yang disentuh dalam buku setebal 300 mukasurat ini: ajaran sesat, liberalisme dan prularisme agama, bid'ah, anti mazhab, wahhabi, esq, khurafat, penggunaan kalimah Allah oleh agama kristian dan beberapa isu lain yang mesti diketahui oleh semua umat Islam yang mahu memelihara aqidah dan agamanya.

Oleh kerana manfaatnya yang besar itu, Abg Azam cadangkan pada K. An supaya uar-uarkan juga kepada pembaca dan follower PeriukTanah. Dapat juga faedahnya dikongsi bersama.

Harganya RM20.00 sahaja. kalau sekitar Putrajaya, bolehlah janji jumpa kat mana-mana. Kalau jauh dan perlu  pos, harapnya tak keberatan untuk tambah sikit belanja pos  RM5.00.

Kepada pengunjung PeriukTanah yang berminat untuk mendapatkan buku yang bagus ini, sila SMS terus Abg Azam di talian 012-3823066 atau emel ke azraihan2@gmail.com.

Monday, May 9, 2011

Kerabu Limau Bali Dengan Tilapia.. hidangan segar di Hari Ibu


Ramai yang belikan kek khas untuk ibu di Hari Ibu, tapi tak semua mak yang sukakan kek. Kena pulak yang dah di usia emas. Kalau anak tolong masakkan nasi dengan lauk-pauk kampung, mungkin lebih istimewa untuk mak sebab boleh makan banyak-banyak. Kalau kek, setakat sepotong dua je, yang lain anak cucu le yang tolong habiskan.... Jadi, apa kata kita pakat masak untuk ibu, emak, mommy, ummi, di hari Ibu. 

Istimewa, tak semestinya susah... ingat tu.. 
Hari ni, kita buat kerabu Limau Bali dengan Ikan Tilapia 'spesel' dan tak boleh dapat kat kedai kecuali kedai tu kita punya sendiri..hihihih...

 Yang kat dalam gambar tu, rupa Limau Bali ye tuan-tuan... Kalau selalu ke Utara Malaysia, singgah di Hentian Rehat dan Rawat di Perak, pastinya akan kelihatan kelibat Limau Bali yang banyak dijual di gerai buah-buahan. Mungkin bagi yang tak pernah  cuba merasa, tak tahu keenakannya; tapi bagi yang menggemarinya, rasa manis, rangup dan berair limau bali, memang menyegarkan di musim  panas begini.

Selain dimakan begitu sahaja, limau bali boleh dijadikan salad atau kerabu. Ikutlah citarasa masing-masing nak gunakan bahan asasnya. Boleh guna ayam, sotong, udang ataupun ikan. Ikut resepi asal yang K.An tengok di TV, chef tu gunakan ayam. K.An tukarkan menggunakan ikan tilapia goreng. Bahan-bahan lain pun K.An campurkan ikut citarasa.... Nak tahu sedap atau tidak, cubalah sendiri.. memang tak rugi, InsyaAllah..
 Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang bersama lauk-pauk lain)

1 ekor ikan Tilapia Merah saiz sederhana -gaul dengan garam dan kunyit, goreng separa garing (Boleh gantikan ikan tilapia dengan ikan lain seperti ikan keli, ikan kembung atau kerisi)
200 gm isi Limau Bali dicerai-ceraikan sedikit
1 urat kacang panjang- dipotong kecil
3 ulas bawang merah dihiris nipis
  5 tangkai cili api akar- ditumbuk halus (ikut citarasa pedas)
1 batang serai dihiris kecil dan ditumbuk halus juga
1 biji tomato- dihiris kecil atau didadu
1 biji limau nipis- perah jusnya
sedikit garam dan gula

Cara membuatnya:

1. Asingkan isi ikan daripada tulang dan carik kecil-kecil. Masukkan ke dalam mangkuk.
2. Masukkan bahan-bahan lain, kacang panjang, bawang merah, cili padi, tomato, serai dan limau bali. Perahkan limau nipis dan gaul sebati. Perasakan dengan garam dan gula. Gaul lagi dan sejukkan sebentar di dalam peti ais. (Jika limau sememangnya telah disejukkan, bolehlah dihidang terus bersama nasi dan lauk-pauk lain)

Untuk lauk sepadan, lauk-pauk ala Thai sungguh sesuai dihidang bersama sebab kerabu ni ikut selera Thai yang ada pedas, masam, manis dan rangup.

Selamat Hari Ibu....

Seindah senyuman suria di luar sana, harapan K.An begitulah juga indahnya senyuman para ibu semua bersempena Hari Ibu kali ini.

Kerana kesibukan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu, tak sempat K.An nak mengemaskini periuktanah. semalam. Tapi belum terlewat rasanya untuk K.An mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu-ibu di seluruh dunia.... Ucapan khas ditujukan kepada Mak K.An yang tercinta Hjh Selamah dan ibu mertua tersayang Hjh Siti Zainab, kedua-duanya berada di Perak.

Kepada semua, jasa kalian sebagai ibu insyaAllah akan Allah balas dengan sewajarnya. Teruskan usaha mendidik dan membesarkan anak-anak dengan penuh kesabaran terutamanya di zaman serba mencabar ini. Jadikanlah Rasulullah S.A.W dan keluarga baginda  dan juga Para Anbia' yang lain sebagai contoh dalam mendidik anak-anak. Tahniah kepada mereka yang telah mengharungi kehidupan sebagai ibu... penat-lelah kalian tetap dikenang selamanya...

Terima kasih kepada suami tercinta yang belanja makan sempena Hari Ibu dan anak-anak yang bagi ucapan dan hadiah.... Ummi sayang semua tak kira bagi hadiah ataupun tidak.. yang penting jadilah anak-anak soleh dan solehah.

Wednesday, May 4, 2011

Buttered Crab

Selalunya jika ditanya menu pilihan ketam, pastinya ketam bercili (resepi kat sini...) jadi pilihan utama... mesti undi terbanyak.. Tapi kali ni, K.An teringin nak goreng gitu je... Cuma tak nak bunyinya 'simple' sangat, maka K.An jadikan Buttered Crab atau senang cerita, ketam Goreng Mentega... Dah siap   masak, hidang... haaaa... liciiin kau!  Ketam Goreng Mentega ni K.An padankan dengan Kari Ikan Bawal dengan Bendi... Memang sesuai dan padan.

Resepi pun senang, sama macam kita buat Buttered Prawn tu.. cuma bahan utamanya je diganti...

Bahan-bahan: Hidangan untuk 3-5 orang bersama lauk-pauk sampingan

500 gm ketam- bersihkan dan potong 2
10 tangkai cili padi akar dihiris nipis
5 ulas bawang putih dihiris nipis
5 tangkai daun kari- dilurut daunnya
3 biji kuning telur- dipukul sedikit
garam dan kunyit
2 sudu besar mentega
minyak untuk menggoreng



Cara membuatnya:

1. Gaulkan ketam dengan garam dan kunyit. Goreng selama 3 minit untuk setiap bahagian.(ikut saiz ketam- tapi jgn lama sangat, nanti hilang manis ketam) Angkat dan letakkan di dalam pinggan.
2. Ambil 2 sudu besar minyak masak gorengan ketam tadi dan masukkan ke dalam kuali lain. Masukkan mentega dan panaskan. Goreng bawang putih, daun kari dan cili api hingga layu dan wangi. Angkat dan tuangkan ke atas ketam.
3. Menggunakan kuali yang sama, masukkan kuning telur ke dalam acuan roti jala dan terus di masukkan ke dalam kuali. Sebelah tangan menggoyang acuan roti jala dan sebelah tangan lagi kacau telur dengan senduk hingga telur bersarang dan garing. Angkat dan toskan di dalam penapis sebelum dicurah ke atas ketam. Sedia dihidang.

Monday, May 2, 2011

Nasi Antah (Talam Nasi)

Assalamualaikum wrt.. Selamat Hari Buruh dan selamat Bercuti kepada semua... hmmmm... malasnya nak ke pejabat esok kan..? K.An faham sangat, bila dah bercuti panjang, memang berat hati nak bekerja semula.. Tapi, demi tanggungjawab kepada Agama, Bangsa dan Negara... teruskanlah perjuangan dengan semangat waja.. Lagipun, dari mana kita nak dapat duit belanja tanggung keluarga kalau tak bekerja? Kecualilah kalau ada harta berkoyan-koyan, rumah sewa 10  pintu, saham berjuta-juta...hmmm, bolehlah goyang kaki..
 tak apalah, asalkan kita tak kelaparan, bersyukurlah dengan nikmat yang Allah berikan.


Hari ni K.An sambung tugasan di periuktanah yang dah sebulan K.An tinggalkan. Tugas memasak tak tinggal tau....!! hari-hari masak, cuma tak masuk blog je. Ok.... kita mulakan dengan resepi orang Banjar warisan mak K.An yang tercinta. Sesuai untuk mereka yang suka kuih Seri Muka, tapi tak tahan dengan pulut...( asal makan pulut je, angin naik satu badan), boleh le cuba kuih ni... Orang banjar yang kreatif, sediakan resepi alternatif... tak kurang sedapnya..

Bahan-bahan- (adunan sesuai untuk loyang berdiameter 7 1/2 inci atau 20 sm lebih kurang)

Bahan lapisan bawah:

1/2 cawan beras- rendam dalam 1 cawan air selama 2 jam- toskan
1/2 cawan kelapa putih- dapat yang muda macam nak buat inti tu lagi sedap
1/2 cawan santan cair
sedikit garam

Lapisan atas:

 1/2 cawan tepung gandum
1/2 cawan tepung beras
1 cawan air gula melaka atau gula merah ( K.an masak 1 keping gula melaka dengan 1 cawan air hingga gula cair)
1 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
1 1/2 cawan santan sederhana pekat
1 sudu besar gula pasir (ikut citarasa manisnya)

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus.  Tumbuk kasar beras yang telah direndam dan ditoskan tadi.. Gaulkan dengan kelapa dan ratakan di dalam loyang. Tuangkan santan yang telah dicampur garam. Kukus selama 15 minit. Keluarkan dari kukusan dan jika nasi telah masak (terus mengukus jika nasi belum masak), gaul semula hingga rata. tambah garam jika belum cukup masinnya. Tekan padat nasi menggunakan belakang senduk seperti buat seri muka.

2. Campurkan semua bahan lapisan atas di dalam mangkuk menggunakan whisk. Tapiskan ke atas  lapisan nasi dan kukus selama 15-20 minit. Kuih masak sempurna jika kita golekkan loyang ke kiri dan kanan, bahagian tengan kuih mantap.

3. Sejukkan kuih sebelum dipotong dan dihidangkan.