Friday, December 31, 2010

Soft Butter Bun- Kembang Setaman @ mat gebu n mamafami

Makluman.... ini adalah draft yang ditaip 2 minggu lepas...baru sempat siapkan hari ni- 14 Januari 2011..mmmph... sempatkan juga ni...

Assalamuaalaikum semua dan salam tahun baru... Moga tahun 2011 akan membawa lebih kebahagiaan dan nikmat kepada semua...

Benarlah masa berlalu tanpa dirasa... macam baru je sambut tahun 2010, sambut baby baru, anak-anak periksa, dapat keputusan dan akhirnya dah kembali ke asrama masing-masing. 23 Disember lepas, kami sekali lagi menerima khabar gembira apabila anak sulung K.An dan Abang Azam- Iqbal mendapat 8A 1B dalam peperiksaan PMR 2010 yang lalu. Sekaligus melengkapkan pelbagai limpahan rezeki yang bertali arus di tahun 2010. Syukur alhamdulillah kami panjatkan kepada Allah SWT atas semuanya. Terasa berbaloi penat-lelah yang dicurahkan. Debaran sepanjang tahun pun reda akhirnya.....

Petangnya, dengan kelegaan yang nyata, K.an ke dapur menyiapkan Soft-Butter Bun- Kembang Setaman (nama yang diberi Mat Gebu) yang memang cantik jadinya... almaklum, mood memang berperanan dalam menyiapkan masakan yang enak dan indah rupanya. Cumanya kalau tengok Soft Butter Bun mamafami dan Mat Gebu punya, memang confirm sifu punya tangan... menjadi sentiasa...

Resepi asal boleh tengok di blog Mamafami atau yang rupanya macam kat sini di blog Mat Gebu . K.An suka sangat resepi ni sebab, kita boleh pelbagaikan rupa dan rasanya menggunakan adunan yang sama. Cuma tukarkan bentuk atau tukarkan inti (filling).... lepas tu, bagi le nama apa yang kita suka.. tak percaya?... cubalah sendiri..

Bahan-bahannya: (menghasilkan 12 biji bun yang mekar...)

140 ml air suam
1 biji telur, pukul sedikit
30 gm gula halus
1 ct garam halus
1 ct bread improver
250 gm tepung roti
50 gm tepung halus (boleh ganti tepung gandum biasa)
2 1/2 sb susu tepung
1 1/2 st yis kering
30 gm mentega
**** inti pilihan. K.An guna inti kegemaran anak-anak- inti kacang merah
Cara membuatnya:

1.Jika menggunakan bread maker: Masukkan semua bahan kecuali telur dan inti ke dalam bread maker. Pilih setting doh, biar diuli hingga menjadi doh yang , lembut dan licin. Masukkan ke dalam mangkuk, tutup dengan cling wrap, perap 45 minit.

Jika menguli menggunakan tangan:

1. Masukkan air suam ke dalam mangkuk. Masukkan yis dan 1 sudu teh gula. Biarkan sebentar hingga berbuih.
2. Satukan tepung di atas tempat menguli (meja atau magkuk) Buatkan lubang di tengah dan masukkan campuran yis, sebahagian gula, garam, susu tepung dan bread improver. Uli menggunakan kedua belah tangan selama 15 minit hingga adunan kenyal. Campurkan mentega dan uli lagi hingga doh tidak melekat di tangan selama 10-15 minit. (untuk mudah, masukkan doh ke dalam plastik dan uli hingga doh tidak melekat). Bulatkan, masukkan ke dalam mangkuk, tutup dengan cling wrap dan perap 45 minit.

3. Selepas 45 minit keluarkan doh, tumbuk untuk mengeluarkan angin dan uli sebentar.
4. Bahagikan doh kepada saiz pilihan. K.An buat 12 bulatan kecil. Mat Gebu buat 55 gm setiap bulatan.
5. Leperkan dengan tangan, isikan inti. Cantumkan dan letakkan di atas loyang yang telah dilenser dengan mentega. Canai leper sedikit doh dengan berhati-hati. Kelar seperti di dalam gambar menggunakan pisau. Gunting sedikit di bahagian tepi untuk menjadikan bentuk bunga.
6. Panaskan oven pada suhu 190 darjah Celsius. Sapukan telur yang dipukul tadi pada permukaan roti dan hias dengan ceri. Bakar roti selama 40 minit atau roti keperangan.

***K.An bakar tak sampai perang sangat sebab anak-anak K.An suka roti yang tak berapa garing....

Sunday, December 26, 2010

Laksam Seri Mutiara



Tetiba teringin nak makan Laksam buatan sendiri. Sebelum-sebelum ni, cuma abang Azam yang makan laksam dan laksam tu dibeli dari kedai. K.An cuma tumpang sesudu dua. Mungkin sebab jemu dengan menu yang serupa, K.An saja suka-suka buat laksam ni minggu lepas. Rupanya bila dah siap, ramai juga peminatnya. Habis licin laksamnya. Kuahnya yang sengaja dibuat lebih ada berbaki sedikit.Tapi maknanya, bolehlah dibuat lagi lain kali...

Resepi laksam ni kak An dapat dari adik K.An- Mun. Katanya dia ambik dari MyResipi.Net. Resepi kuahnya pulak, k.An ambik dari majalah Rasa Edisi AidilFitri 2008. resepi sumbangan sekumpulan chef dari Kelab Golf Perkhidmatan Awam Bukit Kiara. Memang sedap dan berbaloi mencubanya.
Jom kita tengok resepi.

Laksam:

3 cawan tepung beras
6 sudu besar tepung jagung
6 cawan air
1 sudu besar pati santan
1 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan di dalam mangkuk. Gaul rata menggunakan whisk. Tapis adunan ke dalam mangkuk lain. Rehatkan adunan selama 30 minit sebelum dikukus.
2. Panaskan pengukus dan sediakan tudung periuk atau loyang utnuk memasak.
3. Lenserkan loyang dengan sedikit minyak. Tuangkan adunan secukupnya (nipis) hingga menutupi keseluruhan dasar loyang atau tudung periuk. Masak selama 3-5 minit.

4. Keluarkan loyang dan gulung laksam seperti di dalam gambar.Ulang proses hingga habis adunan. Gunting laksam sepanjang 1 sm dan hidangkan bersama kuah, ulaman dan sambal belacan.

Bahan kuah:

1 kg ikan kembung- K.An gunakan campuran ikan kembung dan sardin
(k.An rebus bersama asam keping dan asingkan isi dan tulang macam buat laksa utara)

Bahan dikisar:
10 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sm halia
1 batang serai

750 ml santan
3 keping asam keping
1/2 sudu teh lada hitam
20 gm tauge- buang ekornya
2 batang kacang panjang-hiris nipis
50 gm kobis bulat-hiris nipis
1 tangkai daun kesum
1.5 liter air
garam dan sedikit gula

Bahan sambal:

10 biji cili merah
3 biji cili padi
20 gm belacan
garam dan gula secukup rasa

Cara memasaknya:

1. Kisar isi ikan menggunakan air rebusan. Masukkan ke dalam periuk. Masukkan bahan kisar lain, santan, asam keping dan lada hitam.

2. Masak menggunakan api sederhana dan kacau hingga mendidih. Masukkan daun kesom, garam dan sedikit gula. Matikan api apabila kuah pekat. Sedia dihidang bersama laksam, ulaman dan sambal.


Saturday, December 25, 2010

Tepung Pulut Hitam

Assalamualaikum...

Memandangkan ramai yang bertanya, jadi, hari ni K.An tunjukkan rupa tepung pulut hitam yang digunakan untuk buat kuih koci tu.. Yang ini K.An beli di kedai runcit di pasar Presint 8 Putrajaya je. Siap dipeket 200gm. Boleh 4 kali buat kuih koci sebab guna sikit je dalam adunan. Tepung ni dari Melaka sebab kuih koci pun terkenal di Melaka kan... kalau di Perak, memang tak jumpa tepung ni. Nak cari kat mana tu, rasanya kenalah tanya tuan kedai. (runcit) Kadang-kadang, bila ada permintaan, barulah mereka ni ambik stok. Almaklum, benda macam ni tak berapa tahan lama. Beli, kena terus buat. Ataupun cuba tinjau di bahagian tepung di pasaraya besar... mungkin ada. Ok, kepada yang bertanya, selamat berjaya...

Tuesday, December 14, 2010

Krim Paf dan Krim Kastard- resepi Mat Gebu

Kepada peminat krim paf (cream-puff), wajib cuba resepi ni terutamanya resepi krim kastard Mat Gebu yang saaaangat sedap rasanya.... Kebetulan masa membalas kunjungan follower Periuktanah- Iemah di qt1878.blogspot.com , K.An ternampak resepi Mat Gebu yang dia poskan. Tanpa berlengah lagi terus K.An geledah dapur Mat Gebu- (pakar masak terkenal seantero dunia tu) dan terus cuba resepi ni.... Sedaaaap sangat sampaikan 2 adunan yang K.An buat-menghasilkan lebih kurang 70 biji krim paf, habis liciin dalam beberapa kelip mata sahaja...hahahhah....

Terima kasih sangat, kepada Mat Gebu yang sudi kongsi resepi dan Iemah yang tolong 'promote' Mat Gebu....

Nak tengok hasil tuan punya resepi, boleh klik kat sini ye.... Dapur Tanpa Sempadan

K.An pernah siarkan resepi K.An sebelum ni yang menggunakan margerin, tapi yang ni lebih gebu dan coraknya lebih cantik

Bahan-bahan: (menghasilkan =/- 35 biji krim paf comel)


Doh/ 'butter':

50 gm mentega
125 ml air
1/3 st garam
75 gm tepung gandum- diayak
1 biji telur + 1 biji kuning telur
1/2 st esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Masukkan air ke dalam periuk. Didihkan di atas api sederhana. Masukkan mentega dan kacau hingga cair.
2. Perlahankan api. Masukkan garam dan tepung. Kacau cepat-cepat menggunakan senduk hingga campuran jadi doh. (proses sgt cepat, tak sampai seminit) Kalau kacau perlahan-lahan, adunan tak jadi doh tau....
3. Ketepikan sebentar hingga adunan suam. (gambar 1)

4. Masukkan doh ke dalam mangkuk adunan. Campurkan telur dan esen vanilla. Pukul hingga sebati menggunakan speed sederhana.

5. Sediakan loyang pembakar dan lenser dengan sedikit mentega. Masukkan adunan ke dalam piping bag dengan nozzle bintang. Paipkan adunan berdiameter 2-3 sm (ikut citarasa) ke dalam loyang. (gambar 2)

6. Panaskan oven pada suhu 180- 200 darjah Celcius ( ikut jenis oven)dan bakar selama 25 minit atau krim paf keperangan. KAn letakkan loyang di bahagian tengah oven agar krim-paf masak sekata...


Ingat ye... tak ada makna krim-paf gebu kalau kastardnya tak sedap... resepi krim kastard ni memang sesuai sangat dengan krim paf ni...

Bahan-bahan krim kastard:

1 bijikuning telur
150 ml krim putar (whipping cream)
1 1/4 sudu besar tepung kastard
25 gm gula halus
1 sudu besar parutan keju cheddar
1/2 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan kecuali keju cheddar di dalam periuk. Kacau sebati menggunakan whisk.
2. Hidupkan api perlahan dan biar panas. Masukkan keju cheddar dan terus mengacau adunan hingga bancuhan pekat.

3. Kata Mat Gebu, bila whisk diangkat, kastard jatuh bertali. Matikan api dan alihkan kastarddari dapur. Tutup bekas dengan cling wrap agar permukaan kastard tidak mengeras. Biar sejuk sebentar..

Belahkan krim paf dan isi krim kastard secukupnya... sedia dinikmati...

**** K.An buat 2 X kali ganda adunan, sepadan dengan isi rumah...(hiihihi...). K.An cuma ada 1 kotak 200ml krim putar. jadi K.An campurkan 200 ml krim putar dengan 100ml susu segar... rasa krim kastard tetap enak dan lemak berkrim. Jadi, kepada yang tak ada krim putar, boleh le cuba guna susu segar sebagai pengganti.
Kakak-kakak dan ummi terpaksa beralah sikit sebab 'Aisyah suuuka sangat krim-paf ni....

Saturday, December 4, 2010

Kuih Koci...ummph..nikmatnya terasa....

Tak sabar rasanya nak berkongsi resepi kuih koci ni yang menjadi kegemaran K.An, Asma' (anak kedua) Mun dan Nida (adik2 Kak An)dan mak Kak An sendiri. Selama ni dok makan yang orang lain buat je sebab kuih ni tak ada di kampung kak An dan tak pernah dibuat mak. Sebabnya lagi kuih koci ni ada di sebelah selatan Malaysia ni je. Dah lama duduk di KL dan selalu merasa samada yang dibeli di kedai atau dihidang di rumah yang dikunjungi... K.An sudah jatuh cinta dengan keenakan rasanya.

Banyak resepi yang Kak An semak- buku, online, blog dan majalah. Akhirnya berkenan dengan resepi Zaharum Uda Baharu dari Bandar Tasik Puteri yang disiarkan dalam majalah Saji Februari 2009.Cuma bezanya kuih koci Zaharum Uda mnggunakan tepung pulut biasa spenuhnya dan K.An ubahsuai sedikit dengan menambah tepung pulut hitam.

Bahan-bahannya: menghasilkan lebih kurang 25 biji kuih Koci.... banyak, tapi berebut juga kami anak-beranak..hihiihi..

Inti:

4 sudu besar gula merah
3-4 sudu besar gula putih
1/2 biji kelapa parut putih- seeloknya kelapa yang tidak tua- kulitnya masih belum keras
1/2 cawan air

Cara menyediakan:

1. Masak gula merah, putih dan air di dalam periuk dan kacau hingga gula hancur. Tapiskan dan buang hampas. Masukkan semula ke dalam periuk dan masukkan kelapa parut. Masak menggunakan api perlahan sambil dikacau sehingga inti kering dan berkilat. Inti yang cukup masak akan tahan lebih lama. Matikan api dan Sejukkan.

Bahan doh:

1 1/2 cawan tepung pulut
1/2 cawan tepung pulut hitam
1 cawan santan cair
1/2 sudu teh garam

1 cawan santan pekat + 1 sudu besar tepung gandum dimasak dengan api perlahan sambil dikacau hingga campuran agak pekat.

25 helai daun pisang berukuran 5 inci X 5 inci- dilayur

Cara membuat doh.

Masukkan kedua-dua jenis tepung ke dalam mangkuk dan gaul dengan garam. Tambahkan santan cair, sedikit-demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh lembut ketika di tekan. Tambah 1- 2 sudu besar air, jika doh belum cukup sebati. Uli dan bulatkan.
Cara membuat kuih koci:

1. Sapu permukaan daun dengan sedikit minyak. Bulatkan doh saiz kecil sedikit daripada bola ping-pong.
2. Leperkan dan nipiskan di atas tapak tangan. Isikan inti. Cantumkan bahagian tepi, bentukkan seperti bantal dan letak di atas daun pisang yang telah disapu dengan minyak.

3. Curahkan 1 sudu teh santan pekat yang telah dimasak dengan tepung gandum tadi dan bungkus kuih seperti di dalam gambar.

4. Susun di dalam pengukus dan ulang proses hingga habis adunan. Panaskan pengukus dan kukus kuih selama 15- 20 minit.

Angkat kuih dari kukusan dan sedia dihidang....
Lepas ni, tak beli dah la kuih koci kat kedai.... buat sendiri, puas makan...Asalnya kat rumah ni cuma kak An dan Asma' yang suka kuih koci, tapi kali ni bertambah saingan Sarah dan Maryam pulak... sahih kena buat sendiri lagi...

Kek Pisang Epal

Assalamualaikum ... selamat berhari minggu dan bersantai bersama keluarga, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang bersama anda semua... semoga ceria selalu...

Hari ni kak An nak kongsi resepi mudah hasil bahan lebihan yang ada dalam simpanan dapur periuktanah.

Bulan Oktober dan November lepas, Kak An menerima banyak tempahan kek pisang daripada rakan sekerja abang Azam. Terima kasih Datin Salbiah, Kak Nani, Dr. Jami'ah, Kak Rosni, Dr.Norlida, Kak Kamsiah, Kak Is dan Kak yati yang gemarkan rasa kek pisang yang kak An buat. Kepada yang nak cuba sendiri boleh klik resepi di Periuktanah... insyaAllah kalau ikut langkah yang sama, hasilnya pun tak berbeza...

Sempat juga kak An bekalkan kek pisang ni untuk mak kak An yang balik kampung selepas lama di Shah Alam sebab menjaga adik Kak An-Nida yang berpantang lepas bersalin. Ada sedikit baki pisang dan epal merah dalam peti ais... Jadinya.. Kak An campurkan dan terhasil kek pisang epal yang enak rasanya....
Bahan-bahan: (menghasilkan 2 biji kek dengan loyang 8 inci X 3 ini X 4 inci)

2 biji pisang awak/ emas (masak) saiz sederhana- kupas kulit dan lecek
2 biji epal merah- kupas dan potong dadu kecil
1 1/2 cawan tepung gandum diayak bersama 1 sudu teh baking powderdan 1 sudu teh soda bikarbonat
1 cawan gula pasir
1 cawan minyak masak
4 biji telur gred A
2, 3 titik esen pisang

Cara membuatnya:

1. Masukkan telur, gula dan minyak ke dalam 'blender'. Kisar adunan selama 3 minit hingga campuran kembang (warna kuning cair)

2. Masukkan adunan ke dalam mangkuk. Masukkan tepung dan gaul menggunakan whisk hingga sebati. Masukkan pisang dan epal dan esen pisang. Gaul sebati. Sementara tu, panaskan oven ke suhu 180 darjah Celsius.

3. Tuangkan adunan ke dalam loyang yang dilenser dengan minyak/ mentega dan dialas kertas minyak. Bakar dalam oven menggunakan api atas dan bawah selama 40 minit atau hingga kek masak. Cucuk dengan lidi dan jika keluar bersih maka kek masak sempurna.

Keluarkan daripada loyang dan sedia dinikmati panas-panas atau sejuk.
Yang ni, kek pisang yang ditempah sebelum dipek.
Sedia untuk dihantar kepada pelanggan....