Wednesday, March 6, 2013

Rocher Praline Chocolate

Salam ukhuwwah semua...

Kebiasaannya, apabila selesai tugas memasak untuk tadika di petang hari, K.An sangat-sangat memerlukan kerehatan minda dan fizikal. Sam bil mengemas dapur dan segala peralatan memasak, K.An akan mengunyah sesuatu yang manis sebagai terapi.. adakalanya roti, biskut ataupun baki kuih yang digoreng untuk minum petang.. terasa kelegaannya.

Hari ini K.An akan kongsikan salah satu kudapan enak dan mudah disediakan.. Selain dijadikan hidangan petang, boleh dijadikan juadah di musim perayaan ataupun buahtangan di majlis perkahwinan.

Resepi sumbangan Pengeluar coklat Beryl's Gourmet yang dipromosikan di Kedai barangan Bakeri, Yummys Bandar Baru Bangi... Promoter tu hulur sepotong kepada K.An... hmmm sedap..sedap..sedap.. dengan resepi yang diberi, maka terhasillah coklat yang sedap ini.
Rocher Praline Chocolate
Bahan-bahannya:

200 gm Kacang Badam- dipanggang
100 gm kacang Pistachio- dipanggang
30 gm bijirn nestum
30 gm rice bubbles
30 gm wafer- k.An guna wafer dalam peket perisa original
200 gm Beryl's Gourmet White/ Dark/ Milk Compund Chocolate - K.An gunakan white choc.

Cara membuatnya:

1. Cincang kasar semua kekacang. Cairkan coklat menggunakan teknik double boiling ataupun cairkan dalam ketuhar gelombang mikro.

2. Menggunakan mangkuk berlainan, campurkan kesemua bahan kering dan gaul rata.

3. Tuangkan coklat yang telah dicairkan ke dalam bahan kering dan gaul rata.

4. Menggunakan sudu, cedok dan jatuhkan campuran coklat ke dalam paper cup. Hias ikut citarasa dan sejukkan sebelum dihidang.


*** simpan di dalam peti ais dan keluarkan apabila ingin dinikmati..
Suhu simpanan 16- 20 darjah C

Selamat mencuba

Ayam Panggang bersama Cendawan Shitake

Cuaca di luar agak panas dan berbahang... tidak senyaman dan sesejuk cuaca petang beberapa minggu lepas... namun alhamdulillah, itulah nikmat Allah yang patut kita fikirkan hikmah kejadiannya.. Hujan, panas, ribut, tenang, aman dan  kacau, pasti ada sebab dan musababnya..

Begitulah juga dengan kekalutan yang berlaku di Sabah ketika ini. Apapun, doa K.An agar Allah memberi kita jalan keluar yang terbaik dan memelihara umat Islam semua.. Takziah kepada semua ahli keluarga pejuang kita yang terkorban. Percayalah, tidak sia-sia pengorbanan mereka itu...

Bila berlakunya situasi begini, Terasa betapa masa yang kita ada tidak tentu bila hujungnya.. mungkin esok, mungkin minggu depan... maka cepat-cepat K.An kembali menulis supaya lebih banyak resepi dapat K.An kongsikan dengan semua... mata dah nak pejam, tapi caiyo-caiyo... teruskan usaha ....

Hari ni, K.An kogsi resepi mudah ayam panggang bersama cendawan shitake.




Cendawan shitake segar ini adalah buah tangan Abang Azam ketika bermesyuarat di Gunung Jerai Kedah Darul Aman.. Dipetik dari ladang dan dipek cantik seperti di dalam gambar. Menurut pemilik ladang, cendawan shitake ini banyak khasiatnya dan boleh merawat pelbagai penyakit seperti tertulis di kotak tersebut. Kalau nak tahu, cendawan ni boleh dimakan mentah atau dimasak mengikut citarasa masinbg-masing.

Puas juga kami makan cendawan sebab Kak An keluarkan cendawan dari kotak dan simpan dalam bekas kedap udara (tupperware) kemudian baru disimpan di dalam peti sejuk. Tahan sebulan lamanya..

Diringkaskan cerita, ini resepi ayam panggang bersama cendawan shitake..

Bahan-bahan:

1 kg ayam (K.An ambil bahagian pinggan ke peha ayam)
1 sudu teh rempah campuran arab (abaikan jika tiada)
1 sudu teh paprika
1 sudu teh oregano kering (ikut citarasa)
1 sudu teh lada hitam segar dikisar
3-5 sudu besar minyak zaitun
sedikit garam dan kuyit secukup rasa
sedikit (1/8 st) serbuk kulit kayu manis)
Cendawan shitake ikut suka banyaknya

Cara membuatnya:

1. Gaulkan semua bahan perapan bersama minyak zaitun di dalam mangkuk. Ratakan ke seluruh bahagian ayam dan perap 15 minit.

2. Panaskan kuali pemanggang dan gliskan sedikit dengan minyak zaitun. Masukkan ayam dan tuangkan sebahagian bahan perapan bersama. Tutup kuali pemanggang agar ayam dimasak tidak kering. Masak selama 15 minit setiap bahagian. Cucuk bahagian peha ayam dengan pisau untuk mengetahui ayam sudah cukup masak atau tidak. Bahagian dalam ayam sudah masak jika air yang keluar adalah jernih dan tidak berwarna merah bila dicucuk dengan pisau.

3. Masukkan cendawan yang telah dihirs ke dalam mangkuk bahan perapan dan perap sementara ayam dipanggang.

4. Keluarkan ayam daripada kuali dan terus gorengkan cendawan selama 3- 5 minit kerana khasiatnya akan hilang jika dimasak terlalu lama. Hidangkan bersama nasi dan lauk-pauk lain atau enak dimakan begitu sahaja bersam sos cili, sos thai atau sos lada hitam.

Thursday, January 31, 2013

Wajik Warisan Jangan Dilupa

Assalamualaikum pembuka bicara..

Semenjak akhir-akhir ini, kenduri kahwin tidak lagi terhad diadakan di musim cuti sekolah sahaja. Malahan, hampir setiap hujung minggu, di sana-sini kita akan melihat papan tanda tunjuk arah majlis perkahwinan di simpang-simpang jalan. Almaklum, kalau dulu, orang kampung akan mengadakan kenduri bila selesai musim menuai padi, sebab masa itulah baru ada duit lebih sikit untuk belanja kenduri kendara. Berbanding sekarang, semuanya dah `makan gaji' dan gaji ada setiap hujung bulan. Tak perlu juga tunggu cuti sekolah kerana, tak perlu banyak tenaga untuk gotong-royong. Sediakan duit, cari 'caterer', insyaAllah adalah hidangan untuk tetamu...

Banyak yang sudah berubah, termasuklah hidangan untuk tetamu, kuih-muih pencuci mulut dan juga buah tangan yang dijadikan hantaran. Sudah jarang kelihatan dodol, halwa maskat ataupun wajik di majlis kenduri kahwin. Yang 'popular' adalah aneka biskut, 'cupcakes' dan coklat. Sedih juga sesekali bila mengenangkan anak-anak kita sudah tidak mengenali kuih-muih tradisional yang tidak kurang enaknya.

Maka, bila jiran K.An- Suhaida minta tolong buatkan satu hidangan untuk hantaran kahwin adiknya, teringat K.An untuk buatkan Wajik, kuih warisan Melayu. Kalau tak kenal,  jom kita tengok resepinya...

Bahan-bahan (hidangan untuk 20 orang)

Resepi rujukan: Chef Agustina Aming dari PPR Beringin, Kepong. Disiarkan dalam majalah Rasa Mei 2012- K.An dah ubahsuai sedikit ikut citarasa

1 kg beras pulut
500 gm gula merah
100 gm gula pasir
1 liter santan pekat
sedikit garam

Cara memasak:

1. Rendam beras pulut selama 4 jam dalam air secukupnya. (1 jari lebih daripada paras beras) Toskan dan kukus selama 30 minit.

2. Angkat dari kukusan. Gaul sedikit dan kukus lagi selama 15 minit.

3. Sementara pulut dikukus, didihkan gula merah dan gula pasir bersama 2 cawan air sehingga sebati kemudian tapis.

4. Masak semula air gula bersama santan dan garam. Didihkan. Kacau air gula sekali-sekala hingga menjadi agak pekat dan berkilat.

5. Masukkan pulut yang telah dikukus tadi dan gaul rata sehingga air gula kering dan pulut nampak berkilat. Angkat dan sejukkan.

6. Masukkan pulut ke dalam acuan pilihan dan hiaskan mengikut citarasa anda.
Alhamdulillah, wajik ni disukai Su,  dan semua yang menjamahnya... anak-anak K.An pun suka sebab K.An kurangkan kemanisannya dan pulut dikukus lebih lama agar lebih lembut.

Selamat mencuba


Wednesday, January 23, 2013

Sekilas sebelum kembali bersiaran....


Assalamualaikum wrt...

Seingat K.an, dalam setahun lepas,  cukup sedikit penampilan K.An di ruang periuktanah dek kesibukan tugas seharian dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Hari ini pada tanggal 23 Januari 2013, genaplah usia K.An - 41 tahun... K.An pilih tarikh ini untuk kembali aktif menulis atas permintaan ramai rakan Periuktanah.. Walaupun tetap dengan ruang masa yang terhad, insyaAllah K.an akan cuba sesekali berkongsi resepi baru (walaupun ada yang dah lama k.An cuba) agar bertambah ilmu yang ada.

Diringkaskan cerita, K.An taklah berhijrah ke mana pun, cuma di usia 40 tahun, terasa begitu banyak tanggungjawab yang perlu dipikul seiring kematangan usia. Di usia itu K.An pilih untuk lebih fokus kepada keluarga. Kesihatan ibu-bapa, kesihatan dan pelajaran anak-anak, dan juga perkembangan sosial mereka. Tak kurang juga kesibukan seharian memasak untuk pelanggan-pelanggan setia K.An.. Terima kasih rakan-rakan surau Al-Mizan, Kak Ani, Kak Mai, kak saba, kak Ton, pemilik BBIM Saadiah dan suami yang memberikan pengalaman baru, Tadika anak Soleh-Waridah dan guru-guru dan murid-murid yang tak jemu dengan masakan K.An , Lina  -Nexus School dan ramai lagi yang sentiasa setia dengan K.An.. sesungguhnya banyak pengalaman manis telah terukir.

Ringkasnya, sebahagian detik-detik kehidupan ini dirakamkan melalui foto-foto berikut:


menghirup cocochino panas, menyegarkan diri dari penat seharian
bijaknya pembuat roti salad ni yang sempat menghiburkan kami dengan hiasan ringkas tapi menarik ini
antara kenangan yang sempat dirakamkan ketika almarhum bapa mertua  K.An berada di  Putrajaya
cucu-cucu yang tak jemu menghiburkan Tok Wan
di tingkap inilah K.An menyedut udara petang Putrajaya yang sungguh segar dan nyaman... sambil tangan sibuk menyiapkan hidangan petang tadika
dalam kesibukan, sempat berkumpul dengan rakan-rakan sekolah lama yang sangat dirindui
penyejuk mata
kelahiran baby Muna Zafirah yang ditunggu selama lebih 10 tahun, sungguh bermakna kepada adik K.An , Mun dan suami -Zul
Yang ini, gambar raya tahun lepas....