Thursday, January 31, 2013

Wajik Warisan Jangan Dilupa

Assalamualaikum pembuka bicara..

Semenjak akhir-akhir ini, kenduri kahwin tidak lagi terhad diadakan di musim cuti sekolah sahaja. Malahan, hampir setiap hujung minggu, di sana-sini kita akan melihat papan tanda tunjuk arah majlis perkahwinan di simpang-simpang jalan. Almaklum, kalau dulu, orang kampung akan mengadakan kenduri bila selesai musim menuai padi, sebab masa itulah baru ada duit lebih sikit untuk belanja kenduri kendara. Berbanding sekarang, semuanya dah `makan gaji' dan gaji ada setiap hujung bulan. Tak perlu juga tunggu cuti sekolah kerana, tak perlu banyak tenaga untuk gotong-royong. Sediakan duit, cari 'caterer', insyaAllah adalah hidangan untuk tetamu...

Banyak yang sudah berubah, termasuklah hidangan untuk tetamu, kuih-muih pencuci mulut dan juga buah tangan yang dijadikan hantaran. Sudah jarang kelihatan dodol, halwa maskat ataupun wajik di majlis kenduri kahwin. Yang 'popular' adalah aneka biskut, 'cupcakes' dan coklat. Sedih juga sesekali bila mengenangkan anak-anak kita sudah tidak mengenali kuih-muih tradisional yang tidak kurang enaknya.

Maka, bila jiran K.An- Suhaida minta tolong buatkan satu hidangan untuk hantaran kahwin adiknya, teringat K.An untuk buatkan Wajik, kuih warisan Melayu. Kalau tak kenal,  jom kita tengok resepinya...

Bahan-bahan (hidangan untuk 20 orang)

Resepi rujukan: Chef Agustina Aming dari PPR Beringin, Kepong. Disiarkan dalam majalah Rasa Mei 2012- K.An dah ubahsuai sedikit ikut citarasa

1 kg beras pulut
500 gm gula merah
100 gm gula pasir
1 liter santan pekat
sedikit garam

Cara memasak:

1. Rendam beras pulut selama 4 jam dalam air secukupnya. (1 jari lebih daripada paras beras) Toskan dan kukus selama 30 minit.

2. Angkat dari kukusan. Gaul sedikit dan kukus lagi selama 15 minit.

3. Sementara pulut dikukus, didihkan gula merah dan gula pasir bersama 2 cawan air sehingga sebati kemudian tapis.

4. Masak semula air gula bersama santan dan garam. Didihkan. Kacau air gula sekali-sekala hingga menjadi agak pekat dan berkilat.

5. Masukkan pulut yang telah dikukus tadi dan gaul rata sehingga air gula kering dan pulut nampak berkilat. Angkat dan sejukkan.

6. Masukkan pulut ke dalam acuan pilihan dan hiaskan mengikut citarasa anda.
Alhamdulillah, wajik ni disukai Su,  dan semua yang menjamahnya... anak-anak K.An pun suka sebab K.An kurangkan kemanisannya dan pulut dikukus lebih lama agar lebih lembut.

Selamat mencuba


2 comments:

  1. Salam perkenalan K.an, alhamdulillah saya dah cuba beberapa resepi dr blog K.an ni..alhamdulillah semuanya menjadi dan sedap belaka.Tkasih sbb sudi dan ikhlas kongsi resepi2 yg sgt2 menarik.

    ReplyDelete
  2. salam k.an..
    sedapnya k.an.. mmg sedap mkn wajik ni.. kdg2 leh lupa yg tak elok mkn manis byk2.. hehe.. tp takperlah kan bukan selalu pun jumpa wajik. biasanya kat kenduri kawin di kampong2 je yg ada hidang wajik.. sy nak simpan resepi ni ye kak.. mintak halal kalau2 akan dtg sy gunakan utk tujuan bisnes ke... awal2 mintak izin dulu ni.. hehe.. mekasih k.an..

    ReplyDelete