Sunday, November 20, 2011

Mushroom Soup untuk 'Aisyah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani......


Pagi-pagi di hari minggu ni, K.An hidangkan 'Mushroom Soup' untuk hidangan sarapan pagi. Boleh dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan roti. Roti Perancis boleh, roti bawang putih boleh atau roti putih biasa, dibakar sebentar dan gunting panjang-panjang... nak lagi sedap, sapukan roti dengan sedikit mentega, tumbukkan sedikit bawang putih dan bakar... hmmm...memang sedap... Dah berpuluh kali buat sup ni sebab mudah dan lebih enak berbanding yang di dalam tin atau di kedai... Nak resepi klik sini ye..


Yang ini kegemaran 'Aisyah..... Kalau K.An tengah reneh sup di dapur, dia akan datang jenguk sambil hidung ke depan... hmmmm.. sedapnye bau suuuup... bila nak siap ni ummi?.. Kali ni K.An gunakan low fat milk.. bagi K.An lebih sedap dan halus teksturnya berbanding full-cream atau fresh milk... ikut citarasa masing2 ye..

Monday, November 14, 2011

Nasi Goreng Ladna

Alhamdulillah, berlalu sudah 2 minggu yang panjang dan padat dengan pelbagai aktiviti... Balik kampung, menyambut Hari Raya AidilAdha, bercuti bersama keluarga dan kembali ke Putrajaya... 

Seperti biasa bila pulang ke kampung, tutup laptop. facebook dan juga blog..... sepenuh masa dicurahkan untuk berbakti kepada mak K.An, ibu dan bapa mertua dan ahli keluarga tercinta. Tambahan pula seminggu sebelum raya, K.An dimaklumkan, mak kurang sihat dan kurang selera makan. Begitu juga mak dan ayah mertua.  Maka, tugas K.An adalah untuk menyediakan aneka juadah yang bakal melahirkan kembali selera makan mereka. Alhamdulillah walaupun cuma 3 hari bersama, sempat K.An masakkan sesuatu yang mereka suka...


Untuk 'warm-up' bulan November, K.An mulakan dengan resepi ringkas dan mudah Nasi Goreng Ladna kegemaran K.An, 'Aisyah dan Sarah.... bukan sahaja ringkas tapi penuh khasiat.

Bahan-bahannya (hidangan untuk 3-5 orang)

3 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih- ditumbuk kasar
1/4 cawan sotong yang telah dihiris kecil
sedikit isi ayam dipotong kecil
5 ekor udang harimau
serba sedikit sayuran- Pak-choi, jagung muda, karot, bunga kobis, dihiris ikut citarasa
1 tangkai cili merah dihiris serong
3 tangkai cili padi akar diketuk- tambah jika suka lebih pedas
2 cawan air rebusan ayam (jika tiada gantikan dengan air biasa dan 1/2 ketul kiub ayam)
2-3 sudu besar tepung jagung  (bancuhkan dengan 1/2 cawan air)
1 sudu besar sos tiram
3 cawan nasi sejuk 
1-2 sudu besar kicap manis
minyak untk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan 1 sudu besar minyak didalam kuali. Masukkan nasi. Renjiskan kicap dan gaul nasi bersama kicap hingga sebati. Ketepikan dahulu.

2. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam kuali atau periuk  lain. Masukkan isi ayam, udang dan sotong. Goreng seketika hingga naik bau wangi. (tak perlu diangkat)

3. Masukkan bawang yang ditumbuk, cili api, cili merah dan tumis lagi hingga terbit bau wangi. (1 minit) Seterusnya masukkan batang pak-choy, karot, bunga kobis, jagung muda. 

4. Masukkan sos tiram, air rebusan ayam dan sedikit garam. Biarkan mendidih. Akhir sekali, masukkan bancuhan tepung jagung dan daun Pak-choy. Kacau hingga kuah agak pekat. Matikan api.

5. Cedokkan nasi ke dalam pinggan dan tuang kuah bersama bahan lain ke atas nasi. Sedia dinikmati.



****Tips K.An :   

*   Untuk kuah yang sedap,  pastikan sayuran yang digunakan segar, bahan mentah dimasak sempurna tetapi tidak terlalu lama dan gunakan api perlahan ketika mereneh kuah.

*   Aneka sayuran lain boleh digunakan seperti cendawan tiram, kailan dan kobis untuk menambah rasa manis kuah.