Thursday, December 11, 2008

Yang manis dan menawan..Murtabak Nangka

Buah nangka; antara buah tempatan tidak bermusim yang sedap dimakan begitu sahaja..tetapi kalau makan banyak, boleh sakit perut dibuatnya.. angiiin. Disebabkan buah nangka ni besar dan orang dulu-dulu takde peti sejuk nak simpan lama, maka terciptalah murtabak nangka yang sangat sedap ni.. Resepi orang Banjar turun temurun.

Balik kampung baru-baru ni, mak K.An (Hjh Selamah) sempat buat kuih ni, tapi masa tu K.An di rumah mertua. Jadi tak dapat sukatannya.. sebelum-sebelum ni (sebelum ada blog) K.An selalu juga buat murtabak nangka ni sebab anak-anak suka.. tapi main agak-agak macam mak K.An, sebab dah biasa. Tapi untuk 'periuktanah', K.An kena sukat betul-betul supaya pembaca dapat manfaatnya sekali.. (boleh buat sendiri di rumah)

Alhamdulillah, dalam kesempatan cuti sekolah, mak K.An sempat datang bertandang ke Putrajaya dan sempat menghabiskan 4 hari 4 malam di rumah K.An. Sempat juga K.An menyiapkan beberapa projek makanan tradisional Banjar yang K.An janjikan.

Bahan-bahan kulitnya: (Hidangan untuk 5-8 orang)

2 1/2 cawan tepung gandum

1 mangkuk air yang dicampur 1/2 sudu teh garam

Cara membuatnya.

1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil diuli dengan tangan seperti menguli doh roti sehingga licin dan lembut. Proses memakan masa lebih kurang 10 minit supaya doh betul-betul lembut.



2. Sediakan mangkuk leper diisi dengan 1/2 cawan minyak masak. Bulat-bulatkan doh sebesar bola tenis dan gentel hingga licin.



3. Masukkan kesemua bebola doh ke dalam mangkuk berisi minyak.Golek-golekkan agar doh disaluti minyak. Tutup dan biarkan sejam.

Bahan-bahan inti murtabak:

2 paket nangka masak

2 biji telur

1/2 cawan gula pasir

Cara-caranya:

1. Keluarkan biji nangka dan gunting atau hiris isi nangka nipis-nipis. Buat sehingga habis. 2 paket nangka menghasilkan 3 cawan isi nangka yang digunting atau dihiris.

2. Masukkan isi nangka, gula dan telur ke dalam mangkuk. Gaul dengan senduk sehingga gula hancur dan telur berbuih. Ketepikan.


Cara membuat murtabak:

1. Sediakan tempat menebar samada talam ataupun meja marmar atau aluminium.

2. Sediakan sekeping daun pisang berukuran 15 sm X 15 sm. Letakkan di atas tempat menebar doh. Letakkan doh di tengah-tengah dan mula menebar. Tekan dan tarik tepung sambil dicelup hujung jari ke dalam minyak agar doh licin dan tidak koyak.


3. Buat sehingga kulit murtabak nipis dan luas melebihi daun pisang tadi. Letakkan inti di tengah-tengah dan lipat empat penjuru murtabak sebesar saiz daun pisang.

4.Panaskan kuali leper dan letakkan 1 sudu kecil minyak. pegang murtabak berlapikkan daun pisang dan telangkupkan di atas kuali. Gunakan api sederhana dan sekata di bawah kuali. Kawal api agar murtabak tidak hangus.

5. setelah 3-5 minit, terbalikkan murtabak dan masak setiap bahagian hingga keperangan. Sambil memasak, bolehlah menebar doh yang lain.

Ulang proses hingga doh dan inti habis. Setelah masak, angkat, sejukkan seketika dan gunting murtabak empat persegi kecil-kecil. Enak dimakan waktu pagi atau minum petang.



No comments:

Post a Comment