Monday, February 28, 2011

Banana Puff


Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Setelah K.An cuba sendiri menghasilkan pastri puff untuk croissant, barulah K.An pergi menjelajah pasaraya besar bagi mencari 'pastry puff' yang dah siap. Almaklum, dah terbukti, tak cukup masa nak buat sendiri sedangkan ingin sangat nak buat danish dan aneka paf pastri yang jadi kegemaran K.An.

Kebetulan masa keluar bawak Asma' beli barang keperluan di Tesco Kajang, terjumpalah puff pastry jenama Kawan yang dah lama k.An cari. (di C4 Putrajaya sebelum ni tak pernah ada. Di Mydin pun tak ada) Mat Gebu dan Kak Rinn pun gunakan jenama yang sama dalam menghasilkan pastri puff mereka. Memang betul, mudah sangat dan hasilnya sangat
memuaskan. harga pun murah... Kalau ada stok di dalam 'freezer', kalau ada tetamu datang terkejut, tergempar, boleh sediakan juadah istimewa dalam masa yang singkat.Untuk cubaan pertama, K.An buat puff pisang ni.. atau kata 'omputih'... banana puff.

Bahan-bahannya:

1 peket 'puff pastry' jenama Kawan- 10 keping semuanya
5 biji pisang emas, awak atau pisang yang tidak berair
2-3 sudu besar gula- tambah jika ingin lebih manis
1 biji telur- dipukul sedikit

Cara membuatnya:

1. Lecek pisang hingga halus dan gaulkan dengan gula. Keluarkan pastri dari freezer dan susun di dalam loyang yang telah dilengser mentega.

2. Isikan inti pisang secukupnya. Lipat 2 pastri dan tekan kelilingnya dengan garpu. Sapukan telur yang telah dipukul sedikit di permukaan paf.

3. Panaskan oven ke suhu 200 darjah Celsius. Bakar paff selama 10-15 minit atau sehingga permukaan paf keperangan.
****intinya boleh dipelbagaikan.. nak yang manis, masin mahupun pedas.. sehingga hari ni K.An dah buat 2,3 jenis.. nanti K.An kongsi di sini..


Wednesday, February 23, 2011

Nasi Goreng Pancarona... Rumah kedua dan Kes tak Ada bahan

Di musim cuti Tahun Baru China lepas, macam-macam perkara berlaku dan macam-macam aktiviti telah dijalankan.. Kami sekeluarga tak balik kampung kali ni sebab nak meluangkan masa bersama anak-anak sendiri pulak. Almaklum, bila dah masuk asrama, makin sedikit masa yang dapat dikongsi bersama. Selalunya kami suka jalan-jalan sambil makan-makan di rumah kedua kami...
K.An pernah cerita dulu yang kalau ada makanan yang macam tak habis tu, K.An akan bungkus. Ajak anak-anak naik kereta, pergila 'ronda' mana-mana.. Tak sempat ke mana, habislah bekalan makanan yang dibungkus tadi... Tak kisahlah apa, mee/ mihun/kue-teow goreng, cekodok, sandwich ataupun nasi goreng.. Memang tak rugi. Itu sebabnya K.An gelarkan kereta kami tu, rumah kedua.. tempat di mana kami sekeluarga berkumpul dan beramah mesra gitu...hehehheh..

Alkisah Nasi Goreng pancarona ni, tercipta disebabkan banyak bekalan bahan memasak terputus kerana Cuti Tahun Baru Cina. K.An kehabisan bawang merah dan minyak masak... sudahnya di petang Isnin selepas Cuti tahun Baru Cina, K.An masak nasi goreng ni dan ajak anak-anak naik kereta ke Bangi.. Walaupun bahan ala kadar, tapi laku nasi ni sebab dimakan di dalam kereta... perut pun dah terisi, hati pun senang.

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3 orang)

3 cawan nasi putih
1 keping dada ayam- didadu kecil
2-3 tangkai cili api akar- diketuk (boleh lebihkan jika suka lebih pedas)
1 labu bawang besar holland- dihiris
3 ulas bawang putih diketuk
1 tangkai cili merah dan 1 tangkai cili hijau- dihiris serong
1 sudu teh sos tiram
2 biji telur kecil
sedikit sayur campur atau kacang panjang dan lobak merah dihiris kecil-kecil
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak gorengan ikan

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak gorengan ikan di dalam kuali. Masukkan ayam dan goreng sebentar hingga terbit bau harum.

2. Masukkan bawang besar, cili api, cili merah dan hijau dan tumis lagi hingga layu. Masukkan pula bawang putih. Kacau sebentar dan masukkan sos tiram juga sayuran.

3. Tambah sedikit air agar sayuran masak. Setelah sayuran masak, pecahkan telur. Biar sebentar agar telur masak sedikit. Masukkan garam dan sedikit gula.

4. Akhir sekali, masukkan nasi dan gaul rata semua bahan. Sedia dibungkus dan dimakan bersama keluarga.

*** istimewanya nasi ni ialah rasa bawang besar,cili merah dan cili hijau serasi dikunyah bersama ketulan ayam dan nasi yang enak.

Tuesday, February 22, 2011

Iklan daripada Munirah... sayang semua..


Assalamualaikum...

Ramai yang bertanyakan khabar Munirah.. Munirah sihat-sihat je.. Munirah dah pandai makan. Ummi masak bubur nasi + kentang.. Menu yang paling disukai.. Munirah sedang membina badan.. Tak percaya? tengoklah sendiri..

Berkelah dengan ummi, abi, kakak2 dan abg Iqbal (takde kat gambar)
Munirah dah boleh ikut makan kat luar.. dah boleh duduk kat 'baby chair'
Orang lain main-main, Munirah rehat jelah...

Friday, February 18, 2011

Kuih Bakar Bijan- Chef Hanieliza

Assalamualaikum semua... semoga ceria selalu di pagi Jumaat penghulu segala hari.. kepada kaum Adam, jangan lupa solat Jumaat hari ni ye.. Kaum Hawa, kalau ada yang bercadang nak window shopping tu, beringat-ingatlah.. kalau membeli tu, jangan membazir. Beli yang perlu sahaja, kalau ada duit lebih, sedekah je kat masjid dan kepada yang lebih memerlukan.

Beberapa minggu lepas, di majlis baca Yassin rumah rakan dan jiran K.An- Yana, para tetamu dijamu minum petang yang sungguh enak. Antara juadahnya ialah kuih bakar bijan... katanya, sumbangan tetamu yang hadir. Tak sempat bertanya, balik rumah K.An cari balik resepi-resepi yang disalin. Terjumpalah resepi yang K.An salin dari blog eiramalik.blogspot.com. Dah buat, memang sedap... apa taknya, resepi chef hanieliza yang dah buat banyak buku masakan tu.... cukup rasa lemaknya dan lembut teksturnya..

Terima kasih eiramalik dan chef Hanieliza...
Bahan-bahan:(menghasilkan 1 loyang bersaiz 8X8 inci)

2 cawan tepung gandum
2 cawan santan pekat (1 cawan pati santan + 1 cawan air)
3 cawan jus pandan (kisar 10 helai daun pandan dengan 3 cawan air- tapis)
1 cawan gula pasir- K.An buangkan 2 sudu besar untuk kurangkan manis
3 biji telur A
2 sudu besar margerin- kalau nak senang sebati, cairkan dulu- **boleh kurangkan sikit
1 sudu teh garam
beberapa titik pewarna hijau
2 sudu besar bijan

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven ke suhu 180 darjah Celsius. Gunakan api atas dan bawah.
2. Campurkan semua bahan ke dalam mangkuk. Gaul sebati menggunakan whisk. Tapiskan ke dalam loyang yang telah dilengser dengan margerin. Tabur bijan dan bakar selama 1 jam atau kuih masak. Sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

**K.An letakkan loyang di rak bawah oven agar kuih masak elok atas dan bawah. K.An juga gunakan 2 sudu besar penuh margerin. Bila kuih masak minyak naik ke permukaan kuih, terpaksalah K.An lap dengan kertas tisu. Jadi, bila buat nanti, kurangkan margerin tu ye sebab santan dah berminyak. Tapi kuih ni memang menjadi elok dan sedap.

Bila kawan-kawan Telefon....

Akhir bulan Januari, K.An dan anak-anak diserang demam selsema dan batuk... Dah lama tak kena.. Bila tukar musim je.... tak tahan badan ni... Malaysia pulak dilanda banjir di sana-sini. kali ni Pahang dan Johor pula Allah turunkan hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir besar. Itulah peringatan Allah sebenarnya.. ambil pengajaran, jaga alam sekitar dan tunaikan tanggungjawab sebagai insan khalifah di muka bumi. Dalam demam-demam pun, ada pulak rakan-rakan dan saudara-mara yang telefon.. macam biasalah... nak tempah..

Buat masa ni K.An memang cuma memenuhi tempahan rakan-rakan dan saudara-mara terdekat je. Almaklum, anak-anak kecik lagi ni agak susah nak buat projek besar-besaran. Tak terdaya.. lagipun K.An pentingkan kualiti dan rasa masakan. Bila masak ni, hati kena tenang, baru jadi elok..
Masalode dan kuih keria ni, kawan baik K.An, Linda yang tempah untuk majlis baca yasin di tempat kerjanya.. terima kasihlah sudi menempah dengan periuktanah..
Pada hari Jumaat yang sama, K.An buatkan juga tempahan ikan Bakar dengan air Asam untuk 30 orang, tempahan Nazirah sepupu K.An untuk makan tengahari di pejabat dia...(kalau nazirah telefon, memang tak tolak rayuan manis dia...hihihi).... dan hari tu juga K.An bawak tentera kecik pergi ambik kakak Asma' dari asrama.... fuhhh... hari yang padat, walaupun demam..

Wednesday, February 2, 2011

Croissant dan chicken-mayo sandwich

Idea nak buat croissant sendiri ni dah laaaama sangat dipendam.... almaklum, tak pernah pergi kelas atau kursus membuat croissant ni.. harapkan belajar dari blogger lain dan buku masakan je. Kena pulak masa yang terhad... asal nak buat, ada je halangannya. Tapi bulan Disember lepas, masa cuti sekolah panjang, sempatlah K.An mengumpul tenaga bagi menjayakan projek menghasilkan croissant sendiri. Walaupun tak secantik yang dibuat professional chef, tapi rasanya sungguh sedap. (sebab boleh ulang buat lagi) Agak rumit dan susah tapi berbaloi mencuba jika ada masa lapang. Kali pertama buat, saiznya agak kecil, jadi bila kali ke dua, K.An besarkan sikit dan alhamdulillah adalah rupa croissant...

Sebenarnya K.An suka sangat chicken-mayo sandwich menggunakan roti croissant yang dibeli di Dunkin Donut. Puas makan... siapa yang belum cuba, cubalah beli.. rasa sendiri kesedapannya..
Bila sebut Dunkin Donut pulak, teringat adik-adik junior K.An di Aisyah College, UIA yang rajin buat kerja part-time di Dunkin Donut- Hospital Universiti, setiap hari lepas kuliah. Ita, Atie, Sher dan Liza.... selalu juga bawak balik bekalan lepas habis kerja. Rajin adik-adik K.An ni.. walaupun penat tapi enjoy je. Pengalaman dapat, duit extra pun dapat. Dah lebih 15 tahun tak jumpa mereka ni... rindu rasanya...

Oklah... bernostalgia la pulak. Resepi kali ni sekadar berkongsi je.. tak payahle buat kalau tak ada masa... remeh sikit kerjanya.. Tukang masak pro yang baca entry ni janganle gelakkan K.An ye.. almaklum, belajar sendiri.."idakle cantik ghupe croissant teman nih..hihiihi.."

Resepi asal dan teknik membuat dari buku Aneka Roti oleh Saadiah Mohamad terbitan Alaf 21 Sendirian Berhad.

Bahan-bahan:

125 gm tepung berprotein tinggi (tepung roti)
100 gm tepung gandum
1/2 sudu teh garam
25 gm mentega dicairkan
120 gm margerin pastry(untuk lipatan)- boleh beli dari kedai bahan-bahan bakeri
1 biji kuning telur- untuk disapu di permukaan croissant

Bahan (A) dilarutkan
100 ml susu segar
50 gm gula kastor
7 gm yis segera

1biji telur

Cara membuatnya:

1. Ayak tepung roti dan garam ke dalam mangkuk adunan. Masukkan telur dan margerin. Gaulkan hingga rata.

2. Tuangkan bahan A. Uli doh hingga lembut dan kenyal. (uli selama lebih kurang 15 minit) . Bulatkan doh, masukkan ke dalam mangkuk. Tutup dengan tuala dapur atau cling wrap. Biar doh naik selama 40 minit atau dua kali ganda.
3. Canaikan doh sekali lagi hingga lembut. Masukkan margerin pastri seperti gambar di atas. Margerin pastri juga perlu dicanai beralaskan plastik supaya sesuai besar dan lebarnya dengan doh. Buat proses lipatan seperti di atas.

4. Balut dengan cling wrap dan rehatkan selama 20 minit di dalam freezer. Selepas 20 minit canai leper doh bentuk segiempat panjang dan ulang melipat seperti di atas.(tak perlu letak margerin pastri lagi). Rehatkan lagi di dalam freezer. Ulang proses sama selama 3 kali.
5. Setelah dikeluarkan dari freezer, canai doh pastri seperti gambar. Lebar yang dicadangkan ialah 25 sm dan 2 mm tebal. Boleh ikut saiz yang dikehendaki juga.

6.Potong doh menjadi bentuk segi tiga seperti gambar. gulung dan bentukkan seperti bulan sabit. Letakkan di dalam loyang pembakar dan biarkan croissant naik dua kali ganda. Panaskan ketuhar ke suhu 200 darjah Celcius dan bakar croissant hingga ke perangan.

***hati-hati ketika proses membakar. kurangkan sedikit suhu kalau rasa nak terhangit croissant tu mcm K.An punya... huhuhu...
Dah siap... dapat banyak jugak... tapi sekejap je habis bila dah dijadikan chicken-mayo sandwich. Yang pasti, saki baki lebihan doh tu, K.An gulung dan bakar sekali. Makan macam tu saja pun sedap.
Nak buat sandwich senang je. .. boleh guna isi ayam goreng, salad, sos, mayonaise. Belah dua roti dan isikan semuanya. K.An perapkan dada ayam dengan sedikit paprika, lada hitam, rosemary kering,garam dan madu. Panggang dan hiris nipis. sedap tau...

Thursday, January 27, 2011

Sotong Tiga Rasa

Sesuai sangat dipadankan dengan tomyam, kerabu mangga dan kailan ikan masin, sotong 3 rasa ni melengkapkan lagi hidangan untuk seisi keluarga. Makan tengahari boleh, makan malam pun boleh juga.

Kita tengok resepinya:

Sumber: Encik Mohd Naim bin Omar dan Puan Hazura binti Kusman dari Medan Ikan Bakar, Jalan Jati Pantai Jeramn, Kuala Selangor- disiarkan dalam majalah Rasa Edisi AidilFitri 2008 (terima kasih banyak En. Naim n Puan Hazura, sedap sotong 3 rasa ni..)


500 gm sotong sederhana besar- bersihkan, potong ikut citarasa
3 ulas bawang putih dihiris halus
1 labu bawang besar dicincang
5 biji cili api akar-dicincang ***ikut ketahanan pedas
4 tangkai cili merah dibuang biji dan dicincang
1 sudu makan cuka
3-5 sudu makan sos Thai- K.An gunakan sos Thai Maggie
garam dan gula secukup rasa
minyak masak
sayuran seperti bunga kobis, kacang buncis dan jagung manis-ikut citarasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng sebentar sotong untuk mengeluarkan airnya. Angkat dan ketepikan.

2. Gunakan minyak dan kuali yang sama, tumis bawang putih dan bawang besar hingga wangi.
3. Masukkan cili merah dan cili padi. Kacau sebentar.Masukkan sayuran dan sedikit air. Biarkan sayuran masak sedikit.
4. Masukkan cuka dan sos Thai. Masukkan sotong yang telah digoreng tadi. Perlahankan api dan gaul sebati. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Sedia dihidang bersama nasi putih dan lauk-pauk lain.


****Tambahkan sos Thai jika ingin kuah yang lebih banyak..

Kudapan Minum Petang- Kek Cawan Pandan dan Mangga

Salam penuh keceriaan daripada K.An untuk semua... terutamanya kepada yang masih setia melayari Periuktanah dan mencuba resepi-resepi yang ada di sini. Walaupun terkejar-kejar dengan tugas seharian, jangan biarkan dapur di rumah tak berasap... almaklum, kemahiran memasak ni, kalau tak digilap, berkarat juga akhirnya nanti..

Hampir sebulan anak kedua K.An (Asma') di asrama, K.An dah mula menyesuaikan diri dengan ketiadaan tangan kanan di rumah(hehehhehh...betul la tu..). Sebelum ni, kalau K.An sibuk di dapur, boleh juga Asma' tengokkan adik-adik, tapi sekarang...kenalah buat semuanya... almaklum Sarah bila balik sekolah..dah me'lepek' keletihan. Nak buat kerja sekolah lagi... abang Azam pun sama.. sibuk belajar lagi, aktiviti masyarakat lagi.... Macam tu lah ceritanya..

Dah puas melalut, pagi ni K.An nak kongsi resepi kek cawan yang mudah diingat, bahan pun senang dan rasanya sedap. Tidak kering dan tidak terlalu manis. Rasanya boleh dipelbagaikan ikut citarasa masing-masing.

Resepi ni K.An dapat daripada Majalah Rasa Edisi AidilFitri 2008. Sumbangan Puan Noraini Adnan. Macam-macam cup-cakes yang dia buat. Semuanya nampak sedap. Apa pun ini resepinya ye....

Bahan-bahan: (menghasilkan 8-10 kek cawan saiz M)

60 gm margerin
60 gm tepung berserbuk penaik (tepung kek)
40 gm gula halus (dah cuba nanti, boleh kurangkan gula jika ingin kurang manis)
1 biji telur
20 ml susu segar (k.An guna susu cair je)
1/2 sudu teh esen vanilla/ setitik perisa pandan dan pewarna hijau

Cara membuatnya:

1.Masukkan margerin dan gula ke dalam mangkuk adunan. Putar hingga kembang.
2. Masukkan telur dan tepung. Putar lagi hingga sebati.
3. Seterusnya, masukkan susu dan perisa pandan. Putar sebati.
4. Panaskan oven ke suhu 180 darjah celsius. Masukkan adunan ke dalam mangkuk kertas yang diletak didalam bekas tahan panas atau dalam mangkuk kek cawan 3/4 penuh.
5. Bakar selama 15-20 minit. Sedia dinikmati. Kalau suka boleh hias dengan krim mentega.

****nanti K.An masukkan entry yang ada krim mentega pulak ye...
Yang ini K.An campurkan 1 sudu besar pati Mangga Sunquick ke dalam adunan. Siap le cup-cake mangga...yummy..
Anak-anak tak suka krim mentega, tu sebabnya buat kosong begini... sekejap je hilang dari pandangan..

Friday, December 31, 2010

Soft Butter Bun- Kembang Setaman @ mat gebu n mamafami

Makluman.... ini adalah draft yang ditaip 2 minggu lepas...baru sempat siapkan hari ni- 14 Januari 2011..mmmph... sempatkan juga ni...

Assalamuaalaikum semua dan salam tahun baru... Moga tahun 2011 akan membawa lebih kebahagiaan dan nikmat kepada semua...

Benarlah masa berlalu tanpa dirasa... macam baru je sambut tahun 2010, sambut baby baru, anak-anak periksa, dapat keputusan dan akhirnya dah kembali ke asrama masing-masing. 23 Disember lepas, kami sekali lagi menerima khabar gembira apabila anak sulung K.An dan Abang Azam- Iqbal mendapat 8A 1B dalam peperiksaan PMR 2010 yang lalu. Sekaligus melengkapkan pelbagai limpahan rezeki yang bertali arus di tahun 2010. Syukur alhamdulillah kami panjatkan kepada Allah SWT atas semuanya. Terasa berbaloi penat-lelah yang dicurahkan. Debaran sepanjang tahun pun reda akhirnya.....

Petangnya, dengan kelegaan yang nyata, K.an ke dapur menyiapkan Soft-Butter Bun- Kembang Setaman (nama yang diberi Mat Gebu) yang memang cantik jadinya... almaklum, mood memang berperanan dalam menyiapkan masakan yang enak dan indah rupanya. Cumanya kalau tengok Soft Butter Bun mamafami dan Mat Gebu punya, memang confirm sifu punya tangan... menjadi sentiasa...

Resepi asal boleh tengok di blog Mamafami atau yang rupanya macam kat sini di blog Mat Gebu . K.An suka sangat resepi ni sebab, kita boleh pelbagaikan rupa dan rasanya menggunakan adunan yang sama. Cuma tukarkan bentuk atau tukarkan inti (filling).... lepas tu, bagi le nama apa yang kita suka.. tak percaya?... cubalah sendiri..

Bahan-bahannya: (menghasilkan 12 biji bun yang mekar...)

140 ml air suam
1 biji telur, pukul sedikit
30 gm gula halus
1 ct garam halus
1 ct bread improver
250 gm tepung roti
50 gm tepung halus (boleh ganti tepung gandum biasa)
2 1/2 sb susu tepung
1 1/2 st yis kering
30 gm mentega
**** inti pilihan. K.An guna inti kegemaran anak-anak- inti kacang merah
Cara membuatnya:

1.Jika menggunakan bread maker: Masukkan semua bahan kecuali telur dan inti ke dalam bread maker. Pilih setting doh, biar diuli hingga menjadi doh yang , lembut dan licin. Masukkan ke dalam mangkuk, tutup dengan cling wrap, perap 45 minit.

Jika menguli menggunakan tangan:

1. Masukkan air suam ke dalam mangkuk. Masukkan yis dan 1 sudu teh gula. Biarkan sebentar hingga berbuih.
2. Satukan tepung di atas tempat menguli (meja atau magkuk) Buatkan lubang di tengah dan masukkan campuran yis, sebahagian gula, garam, susu tepung dan bread improver. Uli menggunakan kedua belah tangan selama 15 minit hingga adunan kenyal. Campurkan mentega dan uli lagi hingga doh tidak melekat di tangan selama 10-15 minit. (untuk mudah, masukkan doh ke dalam plastik dan uli hingga doh tidak melekat). Bulatkan, masukkan ke dalam mangkuk, tutup dengan cling wrap dan perap 45 minit.

3. Selepas 45 minit keluarkan doh, tumbuk untuk mengeluarkan angin dan uli sebentar.
4. Bahagikan doh kepada saiz pilihan. K.An buat 12 bulatan kecil. Mat Gebu buat 55 gm setiap bulatan.
5. Leperkan dengan tangan, isikan inti. Cantumkan dan letakkan di atas loyang yang telah dilenser dengan mentega. Canai leper sedikit doh dengan berhati-hati. Kelar seperti di dalam gambar menggunakan pisau. Gunting sedikit di bahagian tepi untuk menjadikan bentuk bunga.
6. Panaskan oven pada suhu 190 darjah Celsius. Sapukan telur yang dipukul tadi pada permukaan roti dan hias dengan ceri. Bakar roti selama 40 minit atau roti keperangan.

***K.An bakar tak sampai perang sangat sebab anak-anak K.An suka roti yang tak berapa garing....

Sunday, December 26, 2010

Laksam Seri Mutiara



Tetiba teringin nak makan Laksam buatan sendiri. Sebelum-sebelum ni, cuma abang Azam yang makan laksam dan laksam tu dibeli dari kedai. K.An cuma tumpang sesudu dua. Mungkin sebab jemu dengan menu yang serupa, K.An saja suka-suka buat laksam ni minggu lepas. Rupanya bila dah siap, ramai juga peminatnya. Habis licin laksamnya. Kuahnya yang sengaja dibuat lebih ada berbaki sedikit.Tapi maknanya, bolehlah dibuat lagi lain kali...

Resepi laksam ni kak An dapat dari adik K.An- Mun. Katanya dia ambik dari MyResipi.Net. Resepi kuahnya pulak, k.An ambik dari majalah Rasa Edisi AidilFitri 2008. resepi sumbangan sekumpulan chef dari Kelab Golf Perkhidmatan Awam Bukit Kiara. Memang sedap dan berbaloi mencubanya.
Jom kita tengok resepi.

Laksam:

3 cawan tepung beras
6 sudu besar tepung jagung
6 cawan air
1 sudu besar pati santan
1 sudu teh garam

Cara membuatnya:

1. Campurkan kesemua bahan di dalam mangkuk. Gaul rata menggunakan whisk. Tapis adunan ke dalam mangkuk lain. Rehatkan adunan selama 30 minit sebelum dikukus.
2. Panaskan pengukus dan sediakan tudung periuk atau loyang utnuk memasak.
3. Lenserkan loyang dengan sedikit minyak. Tuangkan adunan secukupnya (nipis) hingga menutupi keseluruhan dasar loyang atau tudung periuk. Masak selama 3-5 minit.

4. Keluarkan loyang dan gulung laksam seperti di dalam gambar.Ulang proses hingga habis adunan. Gunting laksam sepanjang 1 sm dan hidangkan bersama kuah, ulaman dan sambal belacan.

Bahan kuah:

1 kg ikan kembung- K.An gunakan campuran ikan kembung dan sardin
(k.An rebus bersama asam keping dan asingkan isi dan tulang macam buat laksa utara)

Bahan dikisar:
10 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 sm halia
1 batang serai

750 ml santan
3 keping asam keping
1/2 sudu teh lada hitam
20 gm tauge- buang ekornya
2 batang kacang panjang-hiris nipis
50 gm kobis bulat-hiris nipis
1 tangkai daun kesum
1.5 liter air
garam dan sedikit gula

Bahan sambal:

10 biji cili merah
3 biji cili padi
20 gm belacan
garam dan gula secukup rasa

Cara memasaknya:

1. Kisar isi ikan menggunakan air rebusan. Masukkan ke dalam periuk. Masukkan bahan kisar lain, santan, asam keping dan lada hitam.

2. Masak menggunakan api sederhana dan kacau hingga mendidih. Masukkan daun kesom, garam dan sedikit gula. Matikan api apabila kuah pekat. Sedia dihidang bersama laksam, ulaman dan sambal.


Saturday, December 25, 2010

Tepung Pulut Hitam

Assalamualaikum...

Memandangkan ramai yang bertanya, jadi, hari ni K.An tunjukkan rupa tepung pulut hitam yang digunakan untuk buat kuih koci tu.. Yang ini K.An beli di kedai runcit di pasar Presint 8 Putrajaya je. Siap dipeket 200gm. Boleh 4 kali buat kuih koci sebab guna sikit je dalam adunan. Tepung ni dari Melaka sebab kuih koci pun terkenal di Melaka kan... kalau di Perak, memang tak jumpa tepung ni. Nak cari kat mana tu, rasanya kenalah tanya tuan kedai. (runcit) Kadang-kadang, bila ada permintaan, barulah mereka ni ambik stok. Almaklum, benda macam ni tak berapa tahan lama. Beli, kena terus buat. Ataupun cuba tinjau di bahagian tepung di pasaraya besar... mungkin ada. Ok, kepada yang bertanya, selamat berjaya...

Tuesday, December 14, 2010

Krim Paf dan Krim Kastard- resepi Mat Gebu

Kepada peminat krim paf (cream-puff), wajib cuba resepi ni terutamanya resepi krim kastard Mat Gebu yang saaaangat sedap rasanya.... Kebetulan masa membalas kunjungan follower Periuktanah- Iemah di qt1878.blogspot.com , K.An ternampak resepi Mat Gebu yang dia poskan. Tanpa berlengah lagi terus K.An geledah dapur Mat Gebu- (pakar masak terkenal seantero dunia tu) dan terus cuba resepi ni.... Sedaaaap sangat sampaikan 2 adunan yang K.An buat-menghasilkan lebih kurang 70 biji krim paf, habis liciin dalam beberapa kelip mata sahaja...hahahhah....

Terima kasih sangat, kepada Mat Gebu yang sudi kongsi resepi dan Iemah yang tolong 'promote' Mat Gebu....

Nak tengok hasil tuan punya resepi, boleh klik kat sini ye.... Dapur Tanpa Sempadan

K.An pernah siarkan resepi K.An sebelum ni yang menggunakan margerin, tapi yang ni lebih gebu dan coraknya lebih cantik

Bahan-bahan: (menghasilkan =/- 35 biji krim paf comel)


Doh/ 'butter':

50 gm mentega
125 ml air
1/3 st garam
75 gm tepung gandum- diayak
1 biji telur + 1 biji kuning telur
1/2 st esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Masukkan air ke dalam periuk. Didihkan di atas api sederhana. Masukkan mentega dan kacau hingga cair.
2. Perlahankan api. Masukkan garam dan tepung. Kacau cepat-cepat menggunakan senduk hingga campuran jadi doh. (proses sgt cepat, tak sampai seminit) Kalau kacau perlahan-lahan, adunan tak jadi doh tau....
3. Ketepikan sebentar hingga adunan suam. (gambar 1)

4. Masukkan doh ke dalam mangkuk adunan. Campurkan telur dan esen vanilla. Pukul hingga sebati menggunakan speed sederhana.

5. Sediakan loyang pembakar dan lenser dengan sedikit mentega. Masukkan adunan ke dalam piping bag dengan nozzle bintang. Paipkan adunan berdiameter 2-3 sm (ikut citarasa) ke dalam loyang. (gambar 2)

6. Panaskan oven pada suhu 180- 200 darjah Celcius ( ikut jenis oven)dan bakar selama 25 minit atau krim paf keperangan. KAn letakkan loyang di bahagian tengah oven agar krim-paf masak sekata...


Ingat ye... tak ada makna krim-paf gebu kalau kastardnya tak sedap... resepi krim kastard ni memang sesuai sangat dengan krim paf ni...

Bahan-bahan krim kastard:

1 bijikuning telur
150 ml krim putar (whipping cream)
1 1/4 sudu besar tepung kastard
25 gm gula halus
1 sudu besar parutan keju cheddar
1/2 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan kecuali keju cheddar di dalam periuk. Kacau sebati menggunakan whisk.
2. Hidupkan api perlahan dan biar panas. Masukkan keju cheddar dan terus mengacau adunan hingga bancuhan pekat.

3. Kata Mat Gebu, bila whisk diangkat, kastard jatuh bertali. Matikan api dan alihkan kastarddari dapur. Tutup bekas dengan cling wrap agar permukaan kastard tidak mengeras. Biar sejuk sebentar..

Belahkan krim paf dan isi krim kastard secukupnya... sedia dinikmati...

**** K.An buat 2 X kali ganda adunan, sepadan dengan isi rumah...(hiihihi...). K.An cuma ada 1 kotak 200ml krim putar. jadi K.An campurkan 200 ml krim putar dengan 100ml susu segar... rasa krim kastard tetap enak dan lemak berkrim. Jadi, kepada yang tak ada krim putar, boleh le cuba guna susu segar sebagai pengganti.
Kakak-kakak dan ummi terpaksa beralah sikit sebab 'Aisyah suuuka sangat krim-paf ni....

Saturday, December 4, 2010

Kuih Koci...ummph..nikmatnya terasa....

Tak sabar rasanya nak berkongsi resepi kuih koci ni yang menjadi kegemaran K.An, Asma' (anak kedua) Mun dan Nida (adik2 Kak An)dan mak Kak An sendiri. Selama ni dok makan yang orang lain buat je sebab kuih ni tak ada di kampung kak An dan tak pernah dibuat mak. Sebabnya lagi kuih koci ni ada di sebelah selatan Malaysia ni je. Dah lama duduk di KL dan selalu merasa samada yang dibeli di kedai atau dihidang di rumah yang dikunjungi... K.An sudah jatuh cinta dengan keenakan rasanya.

Banyak resepi yang Kak An semak- buku, online, blog dan majalah. Akhirnya berkenan dengan resepi Zaharum Uda Baharu dari Bandar Tasik Puteri yang disiarkan dalam majalah Saji Februari 2009.Cuma bezanya kuih koci Zaharum Uda mnggunakan tepung pulut biasa spenuhnya dan K.An ubahsuai sedikit dengan menambah tepung pulut hitam.

Bahan-bahannya: menghasilkan lebih kurang 25 biji kuih Koci.... banyak, tapi berebut juga kami anak-beranak..hihiihi..

Inti:

4 sudu besar gula merah
3-4 sudu besar gula putih
1/2 biji kelapa parut putih- seeloknya kelapa yang tidak tua- kulitnya masih belum keras
1/2 cawan air

Cara menyediakan:

1. Masak gula merah, putih dan air di dalam periuk dan kacau hingga gula hancur. Tapiskan dan buang hampas. Masukkan semula ke dalam periuk dan masukkan kelapa parut. Masak menggunakan api perlahan sambil dikacau sehingga inti kering dan berkilat. Inti yang cukup masak akan tahan lebih lama. Matikan api dan Sejukkan.

Bahan doh:

1 1/2 cawan tepung pulut
1/2 cawan tepung pulut hitam
1 cawan santan cair
1/2 sudu teh garam

1 cawan santan pekat + 1 sudu besar tepung gandum dimasak dengan api perlahan sambil dikacau hingga campuran agak pekat.

25 helai daun pisang berukuran 5 inci X 5 inci- dilayur

Cara membuat doh.

Masukkan kedua-dua jenis tepung ke dalam mangkuk dan gaul dengan garam. Tambahkan santan cair, sedikit-demi sedikit sambil diuli hingga menjadi doh lembut ketika di tekan. Tambah 1- 2 sudu besar air, jika doh belum cukup sebati. Uli dan bulatkan.
Cara membuat kuih koci:

1. Sapu permukaan daun dengan sedikit minyak. Bulatkan doh saiz kecil sedikit daripada bola ping-pong.
2. Leperkan dan nipiskan di atas tapak tangan. Isikan inti. Cantumkan bahagian tepi, bentukkan seperti bantal dan letak di atas daun pisang yang telah disapu dengan minyak.

3. Curahkan 1 sudu teh santan pekat yang telah dimasak dengan tepung gandum tadi dan bungkus kuih seperti di dalam gambar.

4. Susun di dalam pengukus dan ulang proses hingga habis adunan. Panaskan pengukus dan kukus kuih selama 15- 20 minit.

Angkat kuih dari kukusan dan sedia dihidang....
Lepas ni, tak beli dah la kuih koci kat kedai.... buat sendiri, puas makan...Asalnya kat rumah ni cuma kak An dan Asma' yang suka kuih koci, tapi kali ni bertambah saingan Sarah dan Maryam pulak... sahih kena buat sendiri lagi...

Kek Pisang Epal

Assalamualaikum ... selamat berhari minggu dan bersantai bersama keluarga, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang bersama anda semua... semoga ceria selalu...

Hari ni kak An nak kongsi resepi mudah hasil bahan lebihan yang ada dalam simpanan dapur periuktanah.

Bulan Oktober dan November lepas, Kak An menerima banyak tempahan kek pisang daripada rakan sekerja abang Azam. Terima kasih Datin Salbiah, Kak Nani, Dr. Jami'ah, Kak Rosni, Dr.Norlida, Kak Kamsiah, Kak Is dan Kak yati yang gemarkan rasa kek pisang yang kak An buat. Kepada yang nak cuba sendiri boleh klik resepi di Periuktanah... insyaAllah kalau ikut langkah yang sama, hasilnya pun tak berbeza...

Sempat juga kak An bekalkan kek pisang ni untuk mak kak An yang balik kampung selepas lama di Shah Alam sebab menjaga adik Kak An-Nida yang berpantang lepas bersalin. Ada sedikit baki pisang dan epal merah dalam peti ais... Jadinya.. Kak An campurkan dan terhasil kek pisang epal yang enak rasanya....
Bahan-bahan: (menghasilkan 2 biji kek dengan loyang 8 inci X 3 ini X 4 inci)

2 biji pisang awak/ emas (masak) saiz sederhana- kupas kulit dan lecek
2 biji epal merah- kupas dan potong dadu kecil
1 1/2 cawan tepung gandum diayak bersama 1 sudu teh baking powderdan 1 sudu teh soda bikarbonat
1 cawan gula pasir
1 cawan minyak masak
4 biji telur gred A
2, 3 titik esen pisang

Cara membuatnya:

1. Masukkan telur, gula dan minyak ke dalam 'blender'. Kisar adunan selama 3 minit hingga campuran kembang (warna kuning cair)

2. Masukkan adunan ke dalam mangkuk. Masukkan tepung dan gaul menggunakan whisk hingga sebati. Masukkan pisang dan epal dan esen pisang. Gaul sebati. Sementara tu, panaskan oven ke suhu 180 darjah Celsius.

3. Tuangkan adunan ke dalam loyang yang dilenser dengan minyak/ mentega dan dialas kertas minyak. Bakar dalam oven menggunakan api atas dan bawah selama 40 minit atau hingga kek masak. Cucuk dengan lidi dan jika keluar bersih maka kek masak sempurna.

Keluarkan daripada loyang dan sedia dinikmati panas-panas atau sejuk.
Yang ni, kek pisang yang ditempah sebelum dipek.
Sedia untuk dihantar kepada pelanggan....

Friday, November 26, 2010

Ikan Tilapia Goreng Belado (berlada)

Assalamualaikum..... salam Jumaat kepada semua..
Cuaca sejuk segar di luar rumah, dengan anak-anak yang masih lena dibuai mimpi membolehkan K.An 'mengerah tenaga'(hihihih... malas je sebenarnya) mengemaskini periuktanah yang disayangi....
Cuti sekolah dah bermula, makanya sibuk tak habis juga... sibuk tak sibuk,kena tunaikan tanggungjawab menambah koleksi resepi untuk semua...

Dah lama tak kongsi resepi lauk, hari ni, K.An bawakan resepi mudah tapi enak dan boleh dimasak berulangkali tanpa jemu... Tilapia goreng belado (berlada) ni resepi kampung je, tapi tak jemu dimakan dan boleh dipelbagaikan jenis ikannya...

Bahan-bahan:

2 ekor ikan tilapia saiz sederhana (hitam atau merah...dua-dua boleh)- siang dan bersihkan dengan asam jawa atau limau kasturi
**4 biji cili merah saiz XL
**4 biji cili hijau saiz XL
**3- 5 biji cili padi akar -ikut citarasa pedasnya
Bertnda** biarkan sebiji-sebiji, tak perlu dipotong

1 sudu teh asam jawa Xtra Adabi
1/2 sudu teh belacan siap dibakar
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih- kupas kulit sahaja, tak perlu dihiris
1 labu bawang besar- hiris bentuk gelang

sedikit minyak dan air
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Lumurkan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng dalam minyak yang banyak hingga separa garing. Angkatdan ketepikan

2. Menggunakan minyak yang sama, goreng cili merah, cili hijau, cili padi, bawangmerah dan bawang putih selama 3 minit atau bahagian luar cili dan bawang layu. Angkat dan kisar bersama belacan menggunakan pengisar kering. Kalau ditumbuk lagi bagus sebab kita tak nak tekstur sambal terlampau halus.

3. Panaskan 3 sudu besar minyak di dalam kuali dan tumis bawang besar hingga layu. Masukkan sambal yang telah ditumbuk tadi dan tambahkan sedikit air. Masukkan asam jawa xtraAdabi (atau 1 sudu besar air asam jawa) dan tumis hingga sambal pekat dan agak kering. Tambah garam dan gula secukup rasa.

4. matikan api dan tuangkan sambal goreng di atas ikan... sedia dihidang..

***** K.An juga goreng ikan keli dan gaulkan dengan sambal lada ni..Buat sekali masak lemak kobis...berebut-rebut anak beranak makan... hihiihi.... alhamdulillah

Thursday, November 11, 2010

Kek Oren dengan Krim keju di hari ulangtahun

Alhamdulillah hari ni telah diumumkan keputusan UPSR bagi tahun 2010 dan Asma'- anak kedua K.An bersama 38 lagi rakan-rakannya dari SK Putrajaya Presint 8 (1) telah mendapat 5A untuk kesemua mata pelajaran yang mereka ambil. Taniah kepada anak-anak semua dan terima kasih kepada guru-guru yang bertungkus lumus mengajar di kelas dan juga kelas tambahan yang diadakan khas untuk pelajar tahun 6.Semuanya telah bekerja keras hingga ke saat akhir dan alhamdulillah berbaloi...

Gembira dengan keputusan tu, maka k.An pun bersemangat nak up-date blog hari ni... Resepi pun istimewa daripada biasa bersempena hari ulangtahun kelahiran Maryam yang ke-3 yang sama tarikh dengan ulangtahun perkahwinan k.An dan Abang Azam yang ke 16 iaitu pada 11 November yang lalu.

Memandangkan Maryam sendiri buat pilihan nak kek oren dengan hiasan 'kaler'purple kesukaan dia, makan terhasillah kek oren dengan hiasan krim keju ni... Resepi asal k.An ambil dari Saji Online dengan sedikit perubahan...


Bahan-bahan Kek Oren:

Bahan A:

200 gm mentega-suhu bilik
1 sudu besar ovelette

Bahan B:
5 biji telur gred A- asingkan kuning dan putih
225 gm gula kastor
35 gm susu cair
1 sudu besar perisa oren- k.An gunakan sunquick limau mandarin

Bahan C:
250 gm tepung superfine-
1/2 sudu teh garam
1 1/2 susu teh baking powder

****k.An gunakan 225gm tepung kek ditambah 1/2 sudu teh baking powder sebab adunan dah nampak pekat sebelum tepung dihabiskan.

Cara membuatnya:

K.An gunakan teknik buat kek macam zaman dulu-dulu sebab K.An agak fobia kek tak naik jika menggunakan teknik yang ditunjukkan kat resepi asal,

1. Pukul bahan A hingga kembang.
2. Pukul putih telur di dalam mangkuk berasingan hingga berbuih kental
3. Pukul kuning telur bersama gula hingga kembang. Cedokkan putih telur( yang kembang sahaja- sebab yang tertinggal tu adalah air yang selalu menyebabkan kek tak naik sempurna) dan masukkan ke dalam adunan kuning telur. Gaul rata. Masukkan adunan A dan pukul sebati menggunakan speed sederhana.

4. Akhir sekali campurkan pati oren, susu cair dan bahan C yang telah diayak bersama. Gaul rata. Masukkan adunan ke dalam loyang yang teah dilengserdan dialas kertas minyak dan bakar pada suhu 160 -180 darjah Celcius hingga kek masak. (K.An gunakan loyang bulat berukuran 24 sm.) Sejukkan sebelum disapu krim keju.
Krim:

A) 250 gm krim keju Philadelphia
50 gm mentega
100 gm susu pekat
1 sudu teh perisa oren sunquick

Cara membuatnya: pukul semua bahan dengan kelajuan tinggi hingga kembang. Asingkan sedikit untuk diwarnakan mengikut warna kegemaran. Sapukan pada kek dan hias ikut citarasa.
K.An memang sukakan kek ni yang cukup sesuai dengan krimnya... Abang Azam yang tak suka kek pun, kali ni dapat menikmati keenakan kek sebenar... alhamdulillah...

Selamat mencuba.

Thursday, November 4, 2010

Rehat dan main-main dengan Munirah...

Assalamualaikum semua.... Munirah dah pandai main-main, usik-usik kakak, kacau ummi masak dan kacau ummi update blog..hihiihi... jadi sekarang, ummi asyik layan Munirah sampai tak sempat mengadap komputer...

Memang tak boleh tinggal si Munirah ni bila dia saja-saja tersengih-sengih kat ummi.. taksampai hati juga nak tinggal kalau dia merengek... pipi tembam.. cukup best dipicit-picit.hehhehh. Untuk pengetahuan semua, umur Munirah dah masuk 3 bulan..






Pose ala anak dara..

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin