Monday, March 8, 2010

Mee Kari


Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah, beberapa hari ni, hujan turun membasahi bumi Putrajaya yang agak kontang sebelum-sebelum ni. Walaupun di dalam rumah masih terasa bahang panasnya, tetapi sekurang-kurangnya turun sedikit suhu di luar.
Dan entah kenapa, bila hujan, perut ni mudah je terasa laparnya... Beberapa hari lepas, walaupun dah menjamah hidangan petang dan anak-anak dah makan nasi lepas pulang dari sekolah, lepas Maghrib, perut ni mendendangkan lagu merdu pulak.

Dengan masa yang singkat dan bahan caca-marba yang ada dalam peti ais, maka terhasillah mee kari ekspress ni.

Sebenarnya mee kari ni adalah antara hidangan yang paling mudah disediakan juga, jika ada tetamu terkejut-tergempar datang mengetuk pintu rumah kita..... Lagipun bahan yang digunakan selalunya ada dalam simpanan kebiasaan orang yang memasak di rumah.


Ok kita tengok resepinya.. boleh tukar atau tambah bahan ikut citarasa:

Bahan-bahan:( hidangan untuk 5 orang)

1 peket mee kuning- celur dan toskan
200 gram ayam dipotong kecil
4 ulas bawang merah, 3 ulas bawang putih dan sedikit halia- hiris nipis
sekuntum bunga lawang, 3 kuntum bunga cengkih sedikit kulit kaytu manis
3 sudu besar rempah kari ayam/daging- bancuh dengan 1 cawan air
3 cawan santan sederhana pekat

bahan2 lain ikut citarasa:

1 biji kentang, kupas kulit dan potong 8
5 biji fish-ball
1 batang fish-cake
2 ketul tauhu gabus goreng- yang bulat2 tu
sayuran seperti sawi, kobis bulat, bunga kobis, kacang panjang serba sedikit
minyak untuk menumis, garam dan gula secukup rasa

segenggam kerang rebus untuk lagi sedap- kalau tak ada , tak apa

bahan taburan- bawang goreng, buah tomato, limau kasturi , tauge dan telur rebus dibelah 2

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak dalam periuk. Gunakan api perlahan. Tumis, bawang merah, putih, halia dan rempah ratus hingga bawang keperangan dan wangi.Masukkan rempah kari dan tumis hingga pecah minyak.

2. Masukkan ayam dan santan. Didihkan. Masukkan kentang, fish-ball, fish-cake, sayuran seperti sawi, kobis, bunga kobis, kacang panjang dan tauhu. Masukkan juga air rebusan kerang jika ada.

3. Masukkan garam secukup rasa. Kalau nak ada rasa manis, masukkan sedikit gula. Setelah mendidih, padamkan api dan sedia dihidang bersama mee dan bahan taburan.

*** melalui pengalaman merasa pelbagai versi mee kari, mee kari yang sedap mempunyai pelbagai bahan campuran seperti fish-ball, fish-cake, pelbagai sayuran dan kerang. Ini kerana jus sayuran dan air rebusan kerang yang manis, menambah keenakan kuah kari.

Friday, March 5, 2010

Harsh Brown Selera Malaysia

Dah selalu buat kentang bakar, potato wedges dan kentang putar, teringin pulak nak makan benda lain berasaskan kentang ni. Lagipun, anak-anak K.An semuanya suka segala yang berasaskan kentang. Kalau dalam sup ayam atau daging pun, selalunya kentang dihabiskan dulu.

Belek-belek majalah lama, terjumpalah resepi harsh brown ala Malaysia... asalnya nak ikut resepi dalam majalah tu, tapi sudahnya diubahsuai, sebab ikut resepi asal agak 'lembek' dan susah dibentuk. Mungkin kentang yang K.An gunakan jenis berair kot.. tapi tak apalah, kalau nak cuba ikut resepi K.An pun silakan. Di tekak kami sekeluarga sedap je sebab liciiin tak berbaki pun harsh brown ni...

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-5 orang)
(idea asal oleh chef Nicholas E Pillai- Majalah Rasa Januari 2006)

500 gm kentang- rebus empuk dan buang kulitnya, sebahagian k.An lecek dan sebahagian K.An potong dadu kecil
1/2 labu bawang besar putih- dicincang
sedikit daun kucai- potong kecil
1 sudu teh paprika- boleh ganti dengan sedikit serbuk cili jika suka
1 biji cili merah- dicincang
sedikit garam
secubit serbuk lada hitam
150 gm serbuk roti
1 biji telur
2 sudu besar tepung gandum.
sedikit minyak untuk menggoreng

***sos thousand island, mayyonaise dan sos cili untuk dihidang bersama

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan kecuali serbuk roti di dalam mangkuk. Gaul rata. Kalau terlalu lembut, tambah sikit lagi tepung gandum.
2. Bentukkan mengikut citarasa. Selalunya rupa harsh brown bujur leper. Kalau nak buat bulat leper pun boleh....heheh..
3. Panaskan kuali leper dengan sedikit minyak. Letakkan serbuk roti di dalam pinggan. Golekkan kepingan kentang agar serbuk roti rata di semua bahagian. Goreng harsh brown hingga keperangan.

Hidangkan ketika panas ataupun sejuk... sedap juga.

*** nanti nak cuba sos cheese yang ada kat dapur K.Rinn pulak. Rupa macam thousand island, tapi nampak lebih sedap.

Thursday, March 4, 2010

Baby-Kailan ikan Masin

Dua hari lepas, K.An ke pasar Presint 8 ni... nasib tak pengsan je nengok harga ikan melambung tinggi. Katanya cuma ikan import yang naik harga.. tapinya ikan bawal 'kecik' yang rasanya datang dari Kuala Selangor pun mencecah RM 20 sekilo. Belum lagi tenggiri, siakap dan ikan Merah.
Sudahnya, K.An balik dengan sayur-sayuran, telur ayam sepapan dan 4 biji telur itik. Semalam, buat masak lemak cili api telur itik dengan belimbing buluh, goreng baby-kailan, dan goreng ikan tamban masin..... Biarkanlah ikan naik harga, kita cari le makanan lain buat sementara waktu ni.

Kebetulan juga, ada kawan pejabat abang Azam yang tanya resepi kailan ikan masin. Almaklum dah tua, K.An rasa macam dah letak.... rupa-rupanya belum, walaupun dah berpuluh kali buat... Sori ye... disebabkan pemintaan, K.An masak 'spesel' punya sebab guna 'baby-kailan' yang lebih rangup dan sedap.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

200 gm baby-kailan (potong 1 inci panjang)
1 keping ikan tenggiri masin
3 ulas bawang putih dan 2 ulas bawang merah ditumbuk kasar
1 sudu teh sos ikan
**1 sudu teh sos tiram
**1 sudu besar kicap manis
garam jika perlu.
sedikit minyak masak.
Baby-kailan yang telah dicelur
Cara membuatnya:

1. Didihkan 2 cawan air bersama 1 sudu besar minyak masak di dalam periuk. Apabila mendidih, padamkan api dan masukkan sayur baby- kailan yang telah dibersihkan. Biar 3 minit. kemudian toskan. Proses ini adalah bagi mengekalkan kerangupan dan warna hijau sayur yang akan dimasak nanti.

2. Proses menggoreng memakan masa yang cukup singkat. Sediakan bahan secukupnya sebelum memasak.

3. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng ikan masin hingga separa garing. padamkan api. Angkat, buang tulangnya dan hancurkan. Ketepikan dahulu.

4. Gunakan kuali dan minyak yang sama untuk menumis bawang sebentar sahaja. Masukkan sos ikan, kicap dan sos tiram. Tambahkan sedikit air jika ingin sayur berkuah sedikit. Masukkan ikan masin dan sayur. Tambah garam jika perlu. Padamkan api dan gaul sebati. Hidangkan bersama nasi dan lauk-pauk lain.

*** jika menggunakan kailan biasa, asingkan batangnya dan hiris nipis. Jika tidak dicelur, masak batangnya dahulu hingga lembut dan kemudian baru masukkan bahagian daun agar daun tidak terlalu layu.

Wednesday, March 3, 2010

Lempeng Pisang dengan Kelapa


Malas masak, tak bererti tak perlu masak. Kalau dah perut lapar minta diisi, masak je yang mudah-mudah. Yang penting dapat juga jimat masa (keluar dan beli kat kedai) dan jimat belanja.

Banyak jenis masakan yang mudah... contohnya lempeng macam ni. Lagipun ni sajian tradisi yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Anak-anak suka dan bila buat, tak pernah tak habis...

Bahan-bahannya: (menghasilkan 5 keping lempeng)

5 biji pisang masak (awak, emas , abu atau berangan)
1/3 cawan gula pasir
1/2 sudu teh garam
1/2 cawan kelapa parut putih
1 cawan tepung gandum
1/2 cawan - 3/4 air- bergantung kepada jenis pisang

sedikit minyak untuk memasak

Cara membuatnya:

1. Kupas kulit pisang dan lecek halus bersama gula pasir. Masukkan tepung, kelapa, garam dan air dan kacau sebati.

2. Panaskan kuali dan renjiskan sedikit minyak masak. Ambil 1 senduk kecil adunan dan ratakan secara membulat di atas kuali. Tebalnya lebih kurang 1/2 sm. Gunakan api sederhana. Biar lebih kurang 3-5 minit. Terbalikkan dan masak lagi. Angkat apabila lempeng keperangan.

3. Ulang proses hingga adunan habis. Gunting kecil lempeng agar mudah dimakan.Hidang ketika minum petang.

*** lempeng ni tak perlu dicicah kerana sudah cukup rasa lemak kelapa dan manis pisang.

Sunday, February 28, 2010

Kenduri Kahwin dan hari Bersama Keluarga

Dulu-dulu, orang buat kerja kahwin masa cuti sekolah atau cuti panjang sahaja, tapi sekarang dah berbeza. Hampir setiap hujung minggu ada jemputan majlis atau kenduri kahwin. Bila dah masuk kategori 'usia matang' ni, maka tibalah masa kita pulak yang akan memenuhi aneka jemputan sebagai penghubung silaturrahim sesama ahli masyarakat.

Cuma yang berbeza di bandar dengan kampung, di kampung masih banyak lagi yang buat gotong-royong, rewang dan sebagainya. Di bandar, semuanya dijalankan dengan bantuan 'catering' dan dibuat di dewan. Tetamu, hanya datang menjamu selera dan memeriahkan majlis. Sungguh mudah kan... jadi apa salahnya, jika ada jemputan sebegini, luangkanlah masa... nanti bila tiba masa kita nak buat majlis... barulah ramai tetamu yang hadir..


Bersempena cuti Maulidurrasul, baru-baru ni, kami menerima 3 jemputan. 2 kenduri kahwin dan 1 lagi kenduri Aqiqah. Walaupun berada di 3 lokasi yang berbeza, dapat juga kami pergi kesemuanya. Alhamdulillah.
Yang kat atas tu, kenduri rakan lama kami.. Dr Tahir dan Puan Muzlipah Aishah di Shah Alam yang meraikan perkahwinan anak ke-3 mereka, Jehan.

Yang ini kenduri di Dewan De' Seri Endon, Presint 10 Putrajaya.
12 Rabi'ul Awwal, kami makan-makan di Kelab Tasik Putrajaya. Pertamanya, kerana meraikan Abang Azam yang lulus periksa, kedua, hari lahir Iqbal adalah pada 12 Rabi'ulAwwal dan ketiga, hari jadi Asma' adalah pada 13 Rabi'ul Awwal...
Memang senang nak ingat tarikh lahir mereka ikut bulan Hijrah ni.

Minggu depan dan minggu cuti sekolah, dah berbaris juga jemputan kenduri kahwin.... kena susun jadual betul-betul agar semuanya dapat dipenuhi.

Thursday, February 25, 2010

Bun Manis

Assalamualaikum dan Salam Maulidurrasul semua...

K.An doakan moga semuanya sihat walafiat dan berbahagia selalu di samping keluarga dan rakan-rakan. Hari ni baru sempat menulis sebab 2 hari lepas sibuk melayan keluarga dan sibuk memenuhi undangan kenduri kahwin.

Sejak kebelakangan ni memang agak 'malas' nak mencuba resepi baru dan berjalan-jalan juga mengembara di alam cyber ni. K.An cuma masak lauk-pauk dan kuih-muih biasa je. Yang pasti buat masakan yang disukai anak-anak agar tak membazir. Almaklum anak-anak K.An ni, kalau sibuk dengan sekolah, makan pun ala-kadar je. Yang penting makan nasi tengahari, lewat petang lepas KAFA pun cari nasi lagi. Abang Azam pun balik dari pejabat dah lewat. Sudahnya makan nasi juga. Maka jarang le K.An sediakan minum petang. Tak ada siapa yang nak jamah...

Di hujung bulan Februari ni, K.An kongsikan resepi Bun Manis ni yang K.An dah buat lama dulu. Berkenan dengan rupa dia di dapur Ros yang dok kat Tokyo tu... Lagipun K.an memang suka bun manis macam ni. Nak membuatnya pun senang...
Boleh rujuk kat resepi asal dari dapur Ros kat sini ..

Bahan-bahan:

150 gm tepung roti
100 gm tepung gandum
140 ml susu segar (boleh ganti air suam + 2 sb susu tepung)
2 sb gula
1 st yis kering
1/2 sb garam- k.An letak 1 st je
2 sb margerin
1 st bread improver
**** K.An suka kismis, jadi k.An tambah 1/2 cwn kismis

Cara membuatnya: sama dengan teknik membuat roti yang lain juga.. yang detail daripada ros dah hilang la...sori

1. Masukkan semua bahan kecuali margerin ke dalam mangkuk. Uli hingga menjadi doh. Campurkan margerin dan uli lagi selam 10-15 minit hingga menjadi doh yang licin, kenyal dan tidak melekat di tangan. (ikut petua Ros, masukkan doh ke dalam plastik bersih dan uli selam 10-15 minit. Keluarkan dan ikut langkah seterusnya)

2. Bulatkan doh, masukkan ke dalam mangkuk dan tutup dengan cling wrap. Biar doh mengembang selama 45 minit.

3. Selepas 45 minit, tumbuk doh untuk mengeluarkan angin. Uli sebentar. Bahagikan kepada bebola kecil. Leperkan sedikit dan susun di atas loyang yang dilengser dengan mentega. Biar lagi 40 minit.

4. Panaskan oven ke suhu 170 darjah Celcius. Bakar bun selama 15- 20 minit atau hingga permukaan keperangan. Sapukan mentega di permukaan bun sebaik dikeluarkan daripada oven.

Sedap dimakan bersama Milo panas....

Wednesday, February 24, 2010

Jeruk Buah Cermai

Mai-mai...... sapa nak makan jeruk cermai, datang sini cepat. Ada semangkuk lagi tinggal kat dalam peti ais K.An tu... Nak dua, tiga mangkuk, kena tunggu K.An balik kampung lain kali pulak sebab buah cermai ni diangkut khas dari rumah mak K.An kat kampung kat Perak sana tu...

Masa dok meninjau keliling kampung hari tu, ternampak le buah cermai yang lebat yang dok memanggil-manggil.... petikla aku... sedap buat jeruk ni...
Pagi terakhir di kampung, ajak Asma' tolong K.An mengait buah-buah cermai tu dari pokoknya. Boleh tahan gak hasil kami, tapi K.An tinggal sikit untuk adik-adik yang lain kot teringin nak buat jeruk jugak...
Walaupun kali ni buahnya tak semuanya cun, tak kisahlah kan... asal boleh buat jeruk.
Caranya senang je:

Bahan-bahan:

500 gm buah cermai segar
1 sudu teh garam (k.An guna yang tak berapa halus)
1 cawan gula pasir
1/2 cawan air

***2 sudu besar gula pasir untuk ditabur atas jeruk.

Cara membuatnya:

1. Cuci bersih buah cermai dan toskan. Masukkan ke dalam bekas boleh ditutup dan taburkan garam. Tutup bekas dan goncang agar garam rata. Boleh juga digaul dengan senduk atau sudu.

2. Perap selama 12 jam.

3.Selepas 12 jam, cuci buah cermai dengan air bersih dan toskan. Masak gula pasir dengan air hingga gula hancur dan mendidih. Tutup api dan sejukkan.

4. Masukkan buah cermai ke dalam balang dan tuangkan air gula yang telah sejuk tadi ke atasnya. Taburkan 2 sudu besar gula pasir ke atas jeruk. Tutup bekas dan biar di tempat bersuhu sderhana selama 1 hari.

5. Selepas satu hari, gaul lagi jeruk dan jika sudah sebati dan manis rasanya, bolehlah dimakan.

Apabila buah cermai, telah menjadi jeruk, bolehlah disimpan di dalam peti ais agar rasanya lebih enak kerana disejukkan.

*** teknik sama boleh digunakan untuk membuat jeruk mangga muda dan jeruk betik muda

Tuesday, February 23, 2010

Minggu Yang Panjang

'Aisyah dan Maryam nak ikut juga..
Kait kelapa pandan untuk hilangkan dahaga. Airnya saaangat sedap dan manis.

Bunga Kantan yang tak henti-henti berbunga
Pokok-pokok pisang dan kelapa pandan kami dah besar.... alhamdulillah

Assalamualaikum semua..
Itulah gambaran bagi minggu yang berlalu pantas tapi penuh dengan peristiwa bagi K.An sekeluarga.

11 Februari 2010- dapat sms daripada mak- ibu saudara masuk ICU di hospital Ipoh. Mak ke Ipoh bersama Kimi dan Ateh petang tu juga.

Kebetulan, kami pun nak balik kampung, jadi kami bercadang ke sana pada hari Sabtu, ketika dalam perjalanan balik.

12 Februari- Jemput Iqbal dari asrama, kemas barang, cuci pakaian sekolah anak-anak, bersiap untuk balik esoknya.

13 Februari- 8.30 pagi - bertolak ke Ipoh, alhamdulillah perjalanan lancar walaupun jalan agak sesak. Tapau siap-siap makanan.

1.00 tgh- sampai rumah K.N di Tanjung Rambutan. Rehat dan makan tengahari.
4.30 ptg- Kami sekeluarga dengan mak pergi ke hospital Ipoh. Mak memang tinggal di rumah K.N sejak Khamis.
5.00 ptg - 6.30 ptg- melawat MakNgah di ICU. Jumpa semua sepupu yang ada. Ramai yang melawat. K.T dan Abg Li sekeluarga pun datang.
7.00 mlm- bertolak ke Parit Buntar.

14 Februari- sempat ke Sg Petani Kedah bagi memenuhi jemputan kenduri kesyukuran beserta aqiqah cucu Pak Teh dan Mak Teh di sana. Lepas tu terus balik ke rumah mertua di Bagan Serai.
16 Februari_ balik ke Putrajaya- Perjalanan yang panjang kerana kesesakan lalulintas. Tengah malam baru sampai.. Capeeeeek bangat.

18 Februari- terima berita Mak Ngah telah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.
Ambik anak-anak dari sekolah dan kami bergegas ke Batu Gajah bagi menghadiri pengkebumian arwah. Alhamdulillah sempat sampai dan dapat berkumpul dengan ramai ahli keluarga. Sekali lagi lewat tengah malam baru tiba di Putrajaya.

19 Februari- walaupun penat, tapi terpaksa juga mengemas barang dan pakaian yang belum habis dikemas.

21 Februari- ke Pusat Rawatan Putra Sg Buloh untuk 'monthly check-up'. Alhamdulillah kandungan berusia 3 1/2 bulan sihat walaupun dalam kepenatan. Tekanan darah pun lebih rendah daripada biasa sebab jadual padat sangat minggu ni.

23 Februari- baru boleh bernafas sikit dan sempat update periuktanah. Tapi masih ada problem nak upload gambar. Tak boleh 'drag' dan susun gambar macam sebelum2 ni. Kenapa ya...???



Thursday, February 11, 2010

Ikan Merah dengan Sambal Goreng


Sekitar tahun 1991, masa tu K.an masih belajar di Pusat Matrikulasi UIA Lembah Pantai. Kolej kediaman kami bertempat di apartment di atas bukit pantai sebaris dengan kolej kediaman siswa-siswi Akademi Islam Universiti Malaya.

Memang seronok waktu tu sebab kolej kami sangat selesa dengan kemudahan ruang dapur untuk memasak. Tapi kami cuma dibenarkan masak nasi menggunakan periuk nasi elektrik atas sebab-sebab keselamatan.

Yang paling 'best' masa tu, kami ada banyak pilihan tempat makan. Daripada kafe di Blok akademik, kafe kolej kediaman hinggalah ke gerai-gerai yang berderet di sepanjang jalan di hadapan kolej Akademi Islam.

Untuk menjimatkan belanja, K.An selalunya beli lauk berasingan untuk makan tengahari secukupnya sekali untuk makan malam. Nasi- K.An kongsi dengan kawan-kawan masak sendiri di asrama.

Kepada rakan-rakan yang membaca entry ni, tentu ingat gerai Makcik dan Pakcik pelakon -mereka ni pelakon drama TV tau... kerja tetapnya jual nasi campur kat Lembah Pantai. Satu lagi Gerai adik 'Manja'- gelaran makcik gerai tu untuk anaknya yang jadi pembantu kat situ. Yang lain dah tak ingat.

Timbul cerita ni sebab, d isinilah K.An mula kenal sambal goreng. Hampir tiap hari K.an beli samada ikan atau ayam dengan sambal goreng dan sayur campur untuk lauk makan K.An. Sebabnya sambal goreng ni tahan lama dan boleh disimpan juga untuk sahur jika di bulan puasa. Yang pastinya memang sedap dan menyelerakan sambal goreng makcik adik Manja tu...

Kebetulan, semalam kami JJCM di restoran berhampiram kediaman kami dan Sarah ambik nasi berlaukkan ikan keli dengan sambal goreng. Terkenangkan nostalgia dulu tu, hari ni... k.An pun teringin nak kongsi resepi mudah ni.

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3-orang)

300- 500 gm ikan merah bahagian isinya dipotong jadi 3 keping- kepalanya K.An buat sup, sesuai dipadankan dengan sambal ni

5 tangkai cili kering- saiz XL
1 labu bawang besar- hiris bentuk gelang
3-4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
minyak untuk menggoreng cili dan untuk menumis
garam dan gula secukup rasa
1 keping asam keping

Cara membuatnya:

1. Panaskan 3 sudu besar minyak di dalam kuali. Goreng cili kering sebentar sahaja (30 saat je) sebab cili mudah hangus. Sebaiknya gunakan api perlahan. Angkat.

2. Gaulkan ikan dengan garam dan kunyit dan goreng berasingan. Ikut citarasa nak garing atau separa garing ye.... letakkan di dalam pinggan

3. Sementara tu, masukkan bawang merah dan cili kering tadi ke dalam pengisar kering dan kisar kasar.
4. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk- (baki menggoreng cili tadi). Tumis bawang besar hingga layu dan wangi. Masukkan cili dan bawang kisar tadi. Masukkan 1/4 cawan air beserta asam keping. Masak hingga sambal pekat dan pecah minyak. Tambah garam dan gula ikut citarasa. Bila siap, curahkan sambal ke atas ikan goreng tadi.

Sedap dimakan dengan nasi panas bersama kicap manis... yummmy...

*** ikan tu boleh ganti dengan ikan lain dan antara yang sedap, tentunya ikan keli...

Tuesday, February 9, 2010

Sambal Tempoyak Pucuk Ubi


Pertengahan bulan lepas telah dilangsungkan majlis kenduri kahwin adik K.An yang ke 9 daripada 10 beradik kami di sebelah keluarga lelaki di Negeri Sembilan. Yang K.An nak ceritakan selain majlis tu, ialah juadah yang dihidangkan kepada kami.

Dalam banyak-banyak lauk, yang paling K.An suka ialah sambal tempoyak pucuk ubinya yang sangat sedap.... Kalau tak kerana pedaaas yang amat, pasti licin mangkuk lauk tu K.An dan abang Azam kerjakan... heheh... Psst.. Jefrey, nanti kalau kami pergi sana lagi, k.An nak lauk ni ye..

Disebabkan dok teringat-ingat je, minggu lepas, masa ke pasar ternampak kelibat pucuk ubi. Kebetulan ada lagi bekalan tempoyak buatan sendiri dalam peti ais.. maka k.An tak lepaskan peluang buat sambal tempoyak pucuk ubi ni. Sebenarnya lain tempat, lain namanya. K.An pun tak tak pasti, orang Negoghi panggil apa ye...??

Sesuai dengan perut k.An yang tak berapa tahan pedas, resepi disesuaikan dengan citarasa K.An.. Kalau nak pedas lagi, tambah je cilinya lagi ye.

Bahan-bahan:

1 ikat pucuk ubi- tak timbang pulak berapa beratnya- secekak lebih kurang
7 biji cili padi akar
2 sudu besar penuh tempoyak
2 genggam ikan bilis siap kopek
sedikit kunyit hidup
1 cawan santan pekat
garam dan gula jika perlu

Cara membuatnya:

1. Buang pucuk ubi yang tua dan asingkan yang muda sahaja. Kalau tangkainya berwarna merah, dan dikepak patah, ambil daunnya sahaja. yang hijau sahaja ambil kesemuanya. Hiris halus dan rebus hingga lembut. Pucuk ubi agak liat dan perlu direbus lama. Biar mendidih selama 10 minit sebelum ditutup api.

2. Toskan pucuk ubi dalam penapis.

3. Sementara pucuk ubi direbus, tumbuk atau kisar, cili padi, segenggam ikan bilis dan kunyit. Masukkan ke dalam periuk bersama santan pekat, segenggam lagi ikan bilis yang tidak ditumbuk dan juga pucuk ubi. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih. Kacau dan tambah garam dan gula jika perlu. (tempoyak yang k.An buat sendiri dah cukup masin dan manisnya, jadi K.An tambah sikit je garam.)

4. Kacau sebati dan apabila sambal berbau wangi, tutup api dan sedia dihidang.

Saturday, February 6, 2010

Bubur Gunting

Alhamdulillah, hari ni Subuh lagi K.An jenguk Periuktanah sebab dah 2 hari tertangguh nak menaip resepi Bubur Gunting ni. Almaklum, bila anak-anak bersekolah hingga hari Sabtu (ganti cuti Tahun Baru China).... alamatnya, hari Ahad kenalah bersilat dari Subuh hingga ke tengah malam...

Mana nak mengemas, menyediakan pakaian sekolah, melawat Iqbal kat asrama, memasak lagi... hmmm.. memang sakit pinggang dibuatnya..
Apapun, pagi ni K.An bangun pagi dengan segar dan cuaca pun alhamdulillah, bagus sekali..

Kembali kepada resepi kita..

Bubur Gunting ni memang nostalgia zaman K.An 'kecik-kecik' dulu. Mudah membuatnya sebab ramai yang tolong gunting (anak mak ramai kan..heheh) dan belanjanya pun murah. Tapi hasilnya... satu periuk besar..

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 10 orang sebagai minum petang)

1 1/2 cawan tepung gandum
sedikit garam dilarutkan di dalam 1/2 cawan air

Bahan kuah:

2 helai daun pandan-dicarik dan simpul
2 sudu besar gula merah
3 cawan air
1 cawan santan sederhana pekat
gula putih jika perlu
sedikit garam

Cara membuatnya: Ada masalah nak upload gambar hari ni- nanti K.An masukkan kemudian, bila dah ok ye.,. (blogspot ni pun bermasalah juga sejak akhir-akhir ni)

1. Campurkan tepung dengan air bercampur garam tadi di dalam mangkuk. Uli dengan tangan hingga menjadi doh.(lebih kurang 10 minit) Tambah 1 sudu teh air jika terlalu keras. Adunan memang lebih liat dan kenyal berbanding adunan roti canai.

2. Bahagikan kepada 5 bahagian dan bulat-bulatkan. Bentukkan bujur seperti sosej menggunakan dua tapak tangan dan leperkan setebal 1/2 cm. (semua proses ada dalam gambar yang belum diupload ye)

3. Panaskan kuali leper dengan api perlahan. Letakkan kepingan kuih di atas kuali dan masak selama 2-3 minit untuk setiap bahagian.

4. Angkat dan gunting kecil-kecil. Buat hingga habis adunan.

5. Masak gula merah bersama 1/2 cawan air hingga gula larut. Tapis dan masukkan semula ke dalam periuk. (kadangkala gula merah yang dibeli ni, berserat sikit) Tmbah lagi 2 1/2 cawan air dan didihkan. Masukkan bubur gunting bersama daun pandan. Biarkan api sederhana. Didihkan selama lebih kurang 15 minit sambil dikacau sekali sekala agar bubur tidak melekat di dasar periuk.

6. Setelah bubur masak, masukkan santan dan sedikit garam. Tambahkan gula pasir jika belum cukup manis. Terus mengacau sekali-sekala hingga bubur mendidih sekali lagi. Padamkan api dan biar bubur seketika di atas dapur (5-10 minit)sebelum dihidang. (supaya kuah meresap elok ke dalam bubur)

*** seperti pengat dan bubur jenis lain, kuah akan memekat dan meresap ke dalam kuih setelah bubur sejuk. Jika inginkan kuah cair semula ketika disajikan, campurkan 1/2 cawan- 1 cawan air biasa dan panaskan bubur hingga mendidih. Kacau sentiasa dan gunakan api perlahan. Bubur lebih sedap sebab dah sebati dengan kuah

Thursday, February 4, 2010

Laksa Utara II

Assalamualaikum... salam penuh keriangan untuk semua....

Yang ini menu minum petang Jumaat lepas ye... kepada yang teringin tu, ampun maaf le... dah 'abish'... kalau nak, lain kali kita buat lagi..


Laksa utara ni memang mudah nak membuatnya sebab main campak-campak je, kalau dah selalu buat. Didihkan semua bahan dalam periuk... dah siap.. lagi lama dipanaskan... lagi KAU...

Untuk resepi kali ni: (boleh tengok juga resepi laksa yang lepas kat sini atau kat sini....)

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5-8 orang)

1 peket laksa basah (beli kat pasar)
***tak perlu direbus, cuma celur sebentar dalam air mendidih dan toskan. Kalau beli laksa beras basah, cuma lalukan dengan air panas dan toskan)

3 ekor ikan sardin dan 2 ekor ikan kembung- itu stok yang ada..heheh..
-rebus bersama 3 keping asam keping hingga masak

5 biji cili kering- celur
2-3 biji cili padi
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 sudu besar belacan- boleh tambah kepada yang suka rasa belacan
air secukupnya bersama air rebusan ikan
secekak daun kesum
bunga kantan dihiris nipis- jika ada
Garam secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Keluarkan ikan dari periuk. Asingkan isi dengan tulang. Masukkan ke dalam pengisar bersama 1 cawan air rebusan.
2. Masukkan cili padi, cili kering, belacan, bawang besar, bawang putih dan kisar halus.
3. Masukkan semua bahan kisar ke dalam periuk. Tambah air lebih kurang 2 cawan lagi (termasuk air rebusan ikan bersama asam kepingnya). Masak hingga mendidih.

4. Masukkan daun kesum, bunga kantan dan garam secukupnya. Jika kita menggunakan ikan yang segar, kuah laksa akan terasa manisnya. Tapi kalau rasa kuah tu tak berapa manis, boleh tambah sikiiiit gula. Biar kuah mereneh di atas dapur dan bolehlah diceduk kuah untuk dihidang bersama laksa dan bahan taburan .

Bahan taburan:

daun selom- hiris halus
bawang besar-hiris halus
timun- hiris panjang
nenas muda
limau kasturi/ nipis
telur rebus

**** dah lama teringin nak makan laksa.. 'order' kat Mun tak sampai-sampai..heheh... terpaksalah k.An buat sendiri....

Wednesday, February 3, 2010

Masak Tempoyak Ikan Kembung

Cuaca tak menentu sejak seminggu, dua ni.... panas sangat waktu pagi, menjelang tengahari pulak hujan lebat mencurah-curah. Walaupun hujan, waktu malamnya tetap panas membahang... Namun begitu alhamdulillah, kita kena sentiasa bersyukur sebab di tempat kita ni tak ada gempa bumi ke , puting beliung ke, mahupun banjir besar macam di negara lain...

Sikit-sikit panas ni, bukankah ujian Allah untuk hambaNya kan...

Dalam keadaan begini, selera pun lebih kepada sup-sup, rebus-rebus dan yang tak berempah. Anak-anak pun bila dah letih balik dari sekolah masakan macam masak tempoyak ni je yang kena dengan selera mereka...


Setiap kali buat masak tempoyak, K.An pasti teringat dengan keluarga angkat K.An di Layang-layang Kiri, Parit, Perak. Di kampung ni, kalau musim 'deghoyan' memang hampir setiap hari makan gulai 'poyak'... yang hairannya, tak ada pulak jemu. Senang sangat menunya, gulai tempoyak, ikan goreng, sambal tempoyak, sambal ikan bilis dengan kelapa, ulam petai, jering, timun- makan dengan nasi putih..... fuhhh... rasa tak nak balik dibuatnya.

Masak tempoyak atau gulai tempoyak ni bukan sahaja sedap, tapi nak membuatnya pun senang 'bebenor yoep...!!'

Resepi ni versi K.An punya ye.. 'belajor' dari mak angkat...ada juga versi lain

Bahan-bahan( hidangan untuk 3 orang)

3 ekor ikan kembung
2 sudu besar tempoyak
1 sudu besar cili kisar
sedikit daun kesom
5 biji belimbing buluh- boleh ganti dengan timun tua- kupas kulit, buang biji dan hiris setebal 1 sm
3 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
sedikit halia diketuk
garam, gula secukup rasa
2 cawan air

Cara membuatnya:

1. Masukkan air ke dalam periuk. Masukkan semua bahan kecuali ikan dan garam dan biar mendidih di atas dapur.
2. Masukkan ikan dan garam. biar seketika hingga ikan masak. Tutup api dan sedia dihidang.

Thursday, January 28, 2010

Kuih Keria

Assalamualaikum... selamat menjalankan tugas seharian kepada semua... kalau lapar tu, cepat-cepat pergi makan sebelum perut masuk angin ye... walau macamana sibuk bekerja pun, kesihatan diri perlu dijaga juga.

Hari ni, K.An kongsi siarkan hidangan petang yang mudah dan dah banyak kali buat. Resepi pun dah ada. Cumanya ada beberapa rakan yang pernah bertanya cara menyira kuih keria ni sebab
ramai yang buat tak menjadi.
Ada jugak yang kata, adunan tepung dan keledek tu, lembik, jadi dia tambah tepung dan uli... haaa.. apa lagi, keras dan liat le kuih tu..

Lain kali, tanya cikgu dulu ye, kalau nak ubah resepi tu... heehheh

Boleh juga tengok resepi kat sini ye....
Bahan kuih, sama resepi yang dulu:

250 gm keledek, (k.An suka yang warna merah/ oren sebab rasanya manis.- Kupas kulit, potong kecil dan rebus empuk. Boleh juga dikukus ye... Lepas tu toskan.

1/2 cawan tepung gandum

*** tepung gandum secukupnya ditabur di talam untuk membentuk kuih.

Cara membuatnya:

1. Lecek halus ubi keledek yang telas ditoskan tadi ketika masih panas. Apabila cukup halus,
sejukkan sebentar.
2. Masukkan tepung dan uli rata hingga menjadi doh. Ingat ye, dohnya memang lembut dan melekat di tangan, kerana doh yang begini menghasilkan kuih keria atau cucur badak yang lembut.
3. Taburkan tepung di talam dan tapak tangan. Bentukkan kuih menjadi gelang, mengikut saiz kegemaran masing-masing. Buat hingga habis.
4. Panaskan minyak dan goreng kuih hingga keemasan. Sejukkan sebentar sebelum disira.


Cara menyira kuih:

1. kuih keria yang siap digoreng perlu disejukkan
dahulu sebelum disira.

2. Untuk 8-10 ketul kuih keria saiz sederhana kecil, K.An gunakan 2 sudu besar gula dicampur. dengan 1/4 cawan air.







2. Masukkan ke dalam kuali. Didihkan menggunakan api sederhana.




3. Apabila air gula berbuih pekat, perlahankan api dan masukkan kuih.
Gaul rata. Apabila gula mula melekat pada kuih, padamkan api dan terus menggaul kuih, hingga gula menjadi sira.

Monday, January 25, 2010

Kek Ulangtahun Kelahiran ke-38

Dua hari lepas, pada tanggal 23 Januari 2010, genaplah 38 tahun umur K.An mengikut perkiraan tahun Masihi. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan kehidupan bahagia bersama suami anak-anak, kaum keluarga dan rakan-rakan tercinta.

Pada tahun ini, buat pertama kalinya dengan kemajuan teknologi, K.An menerima ucapan bukan sahaja dari rakan terdekat, tetapi rakan-rakan dari seluruh pelusuk Malaysia dan dunia. Bagus juga ada Facebook yang menghubungkan tali silaturrahim yang dulunya mungkin mustahil di fikiran kita kan. Terima kasih tak terhingga K.An ucapkan atas ingatan semua teman-teman.

Kali ni, memandangkan Iqbal di asrama, maka kami beli kek dan bawak makanan ke sekolah Iqbal dan makan sama-sama. Yang betul punya tunggu minggu depan bila Iqbal balik bermalam. Kek German Blackforest ni kami beli di Baker's Cottage dekat rumah kami tu... Puas hati dan memang sedap. Liciiiin tanpa berbaki sikit pun. K.An pilih kek dari Baker's Cottage sebab kalau disemak sijil halal JAKIM yang diterimanya sangat menyeluruh meliputi setiap jenis roti, kek dan bahan-bahan mentah yang digunakan. Jadi selain sedap dimakan, hati pun lapang sebab tahu halalnya....

Friday, January 22, 2010

Triffle Coklat

Dalam seminggu dua ni, K.An masak hidangan biasa-biasa je untuk keluarga ikut selera dan permintaan anak-anak. Menu ulangan macam sup, kari ikan, kuih goreng-goreng, tomyam, ayam merah dan yang sepertinya, yang dah ada resepinya kat blog ni.. kepada yang nak resepi yang 'debbomm' bolehlah jenguk blog rakan-rakan chef dan tukang masak yang kepakarannya ala-ala chef juga ye...

Dalam dok belek folder gambar yang ada ternampak gambar triffle coklat ni yang belum K.An masukkan.

Sekarang ni bukan sahaja Iqbal, Sarah dan Asma' yang pandai 'request' nak makan itu ini, 'Aisyah pun dah pandai. Satu hari tu, banyak kali dia sebut nak makan kek 'chocholate' (dalam pelat dia sebenarnya)... maka terbuatle kek coklat lembab kegemarannya.

K.An buat adunan penuh dan sebahagiannya K.An buat triffle bagi memenuhi permintaan si kakak pulak.

Resepinya dah pernah siar sebelum ni... boleh tengok kat sini ye... Kali ni tak ada stok fruit cocktail, K.An ganti dengan buah laici dalam sirap je....
Untuk kek coklat boleh tengok resepi kat sini...

Tuesday, January 19, 2010

Layan Tekak Pahit dengan Kerabu Sotong

Assalamualaikum wrt... sejuk segar hari ni sebab pagi tadi hujan turun dengan lebatnya di Putrajaya. Petang ni, hujan turun sekali lagi membasahi bumi... barulah ada 'mood' nak mengemaskini periuktanah... Almaklum, sekarang ni baby Maryam ngan 'Aisyah tu, pantang je tengok K.An bukak komputer, budak berdua ni pun sibuk nak 'buat kerja' juga.. nak main 'lukish-lukish', main 'ketok-ketok', tengok gambarlah dan macam-macam lagi...

Terpaksalah bagi laluan kat budak-budak ni....

Hari ni, ada peluang sikit dan 'trick' budak-budak tu suruh main benda lain... haaa.. kita layan resepi..
Ini resepi popular untuk menghilangkan rasa tekak pahit... banyak kali dah buat dan dah ada dalam N3 terdahulu.. kali ni, Kerabu Sotong versi ekspress dan mudah..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 3 orang)

200 gm sotong- dipotong cincin kecil-kecil
2 batang serai- ambil bahagian lembut je- batang keras buang ye
3 biji cili padi akar (cukup pedasnya)
1/2 labu bawang holland- dibelah 2 dan hirins membujur nipis
1/4 biji timun- buang biji dan hiris panjang, halus
1/2 biji tomato- hiris nipis
1 biji limau nipis - perah jusnya
garam, 1/2 sudu besar gula
cili merah dan hijau, hiris halus untuk mencantikkan warnanya
1 sudu teh kacang tanah yang telah disangrai dan tumbuk kasar

Cara membuatnya:

1. Didihkan 1/4 cawan air di dalam periuk. Masukkan sotong dan terus tutup api. Kacau sotong hingga lembut. Sejukkan sebentar.

2. Tumbuk serai (yang telah dihiris nipis) dan cili padi hingga halus. Masukkan ke dalam mangkuk. Masukkan hirisan tomato, timun, bawang besar holland, cili merah, cili hijau dan kacang tanah. Gaul rata.

3. Masukkan isi sotong dan 3 sudu besar air rebusan. Masukkan jus limau nipis, garam dan gula. Gaul sebati dan sedia dihidang.

Yang ini kerabu mangga yang selalu juga K.An buat...tak jemu-jemu.... boleh rujuk resepi kat sini ye...

Thursday, January 14, 2010

Sup Ikan Nyok-Nyok

Assalamualaikum...

Masak apa hari ni Siti, Moon, Hana, Ijan, Fida, Sue, Kak Ina... dlll...? Kalau belum ada idea, jenguk-jengukle dapur K.An ni.. kot ada yang berkenan di tekak, bolehlah cuba...
Hari ni, K.An kongsi resepi sup Ikan Nyok-Nyok yang saaangat mudah... Tapi ramai yang tak pernah masak malah makan sup ikan sebab takut tak sedap dan berbau.

Sebenarnya, kalau kena caranya, sup ikan boleh jadi lebih sedap daripada sup ayam, daging dan tulang.
Sup ikan nyok-nyok ni kegemaran K.An masa dalam pantang. Makan hari-hari pun tak apa.. Dulu masa arwah ayah K.An ada, dia selalu pastikan ada stok ikan nyok-nyok dan ikan haruan kat peti ais masa anak-anak perempuannya dalam pantang lepas bersalin. Boleh dibakar, dibuat kari, kukus ataupun sup. Semuanya sedap...

Dulu-dulu K.An gunakan rempah sup serbuk yang biasa tu je untuk buat sup ikan.. tapi sejak ada sup bunjut ikan Adabi, memang senang sangat nak buat sup ikan. Rasanya pun lebih sedap sebab menggunakan rempah segar asli.

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 3-5 orang)

3 ketul ikan nyok-nyok, ada kepala lagi sedap- ikan boleh ganti dengan ikan merah atau jenahak
3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, 1/2 inci halia dihiris halus
1 peket sup bunjut ikan Adabi
1 biji tomato yang masak, belah 6
5 inci batang seleri- dihiris nipis
1 tangkai cili padi diketuk- tambah kalau suka pedas
3 cawan air
1 sudu besar air asam jawa (ikut citarasa)
garam secukup rasa, minyak untuk menumis
daun sup dan bawang secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, putih, halia dan kulit kayu manis (ada dalam peket sup bunjut) hingga keperangan dan wangi. Masukkan air, tomato, seleri, cili padi sup bunjut dan rempah lain bersamanya. Biar mendidih.

2. Masukkan ikan dan kepala ikan. Masukkan air asam jawa dan garam secukup rasa. Didihkan hingga ikan masak. Masukkan daun sup dan bawang. Tutup api dan periuk. Biar lebih kurang 5 minit dalam periuk sebelum dihidang agar rasa sup sebati dengan ikan.

**Tips penting: Ikan yang digunakan untuk dibuat sup mestilah ikan segar agar sup enak dan rasa manisnya.

Selamat Mencuba.

Dalam mangkuk ni ada juga kepala ikan, tapi tak nampak...heheh


Tuesday, January 12, 2010

Sajian Seimbang dengan Sayur Rampai

Kalau nak tahu, inilah lauk makan tengahari K.An hari ni... Tak perlu lauk lain, walaupun ada (masak ayam untuk anak-anak).. K.An makan sayur rampai dengan nasi panas... Ringkas, tapi lengkap dan seimbang.. sesuai sungguh untuk ibu-ibu hamil macam K.An ni..

Bahan-bahan: (hidangan untuk 5 orang)

2 ulas bawang merah dan 1 ulas bawang putih dihiris halus
1 tangkai cili merah dihiris nipis
1 sudu teh cili kisar
segenggam udang putih
1/2 keping tempe (daripada sekeping 4 persegi dalam peket tu)- potong kecil
10 biji bebola ikan- belah 2



sedikit fucuk dan suun- rendam dalam air biasa selama 15 minit
(K.an letak banyak suun sebab anak-anak suka)
sedikit kobis, karot dan 2 tangkai kacang panjang- potong ikut
citarasa
garam secukup rasa
minyak untuk menumis



Cara membuatnya:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk atau kuali. Masukkan tempe. Goreng sekitar 2 minit sehingga tempe wangi. Masukkan bawang, udang, cili merah dan cili kisar. Tumis hingga wangi.

3. Masukkan 1/4 cawan air. Masukkan semua sayuran, bebola ikan, suun dan fucuk. Gaul rata dan tutup periuk selama 2 minit.

4. Masukkan garam dan gaul rata. Jika semua bahan cukup masak, bolehlah ditutup api dan hidang bersama nasi panas..

Kuih ketayap ni hidangan minum petang kami sekeluarga... jemput makan semua..
Resepi ketayap kat sini ye..

Monday, January 11, 2010

Roti Putih Berkismis

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera semua... moga semua sihat dan ceria dan berselera nak makan hari ni ye...
Semenjak dua menjak ni, perut K.An ni kerjanya 'lapooor' je.. rasanya macam baru sudah makan, tapi berbunyi-bunyi lagi minta diisi... bukan setakat K.An, baby Maryam ngan 'Aisyah pun lebih kurang sama... kejap-kejap nak makan. Kenalah K.An sediakan banyak sikit kudapan..

Selain kuih dan biskut, kudapan yang senang disediakan, apa lagi roti le... macam-macam jenis boleh dibuat.. Macam roti putih ni, dah banyak kali buat, cuma kali ni K.An tambah sikit kismis, gula dan ganti air suam dengan susu. Jadi rasanya lemak-lemak manis.. memang sedap..

Resepinya dah pernah letak sebelum ni.. boleh tengok kat sini ye..

Resepi asal daripada kawan lama K.An- Bani nun jauh di Malaysia Timur tu...

Bahan-bahan: (separuh daripada resepi asal sebab yang asal banyak..)

250 gm tepung roti
1 1/2 sudu besar minyak masak
1 sudu teh penuh yis mauripan
1/2 sudu teh garam
1 sudu besar gula pasir
1 cawan susu segar suam
segenggam kismis

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan kecuali susu suam ke dalam mangkuk. Campurkan susu sedikit demi sedikit sambil uli bahan hingga menjadi doh yang licin dan kenyal. Kalau nak doh yang elok uli dengan teknik tarik dan tolak guna dua-dua belah tangan. Ataupun guna tips Ros Tokyo, masukkan doh ke dalam plastik bersih dan uli selama 10-15 minit. Keluarkan dan uli lagi hingga doh licin.

2. Kalau ada bread-maker, masukkan semua bahan ke dalam BM dan tekan setting doh. Tambah susu siskit demi sikit hingga doh siap diuli.

3. Perap doh selama 1 jam. Lepas 1 jam, tumbuk doh untuk mengeluarkan udara dan uli lagi. K.An bahagikan doh kepada 3 bahagian. Bentukkan bujur (ikut citarasa masing-masing) dan masukkan ke dalam loyang macam dalam gambar di bawah. Perap lagi 45 minit hingga roti kembang.

4. Panaskan oven ke suhu 190 darjah celsius. Letakkan loyang di tengah-tengah oven. Bakar roti selama 20-30 minit atau hingga roti keperangan...(ikut oven masing-masing)

5. Bila roti dah masak, keluarkan roti dan sapu margerin di atasnya agar permukaan roti cantik. (Ikut petua Mat Gebu)

Setelah dipotong, dapat satu bekas penuh roti ni... tapi sehari je dah habiiiis... sapa-sapa nak mintak tu.. sori ye, tempah untuk akan datang ye.. heheh..

Thursday, January 7, 2010

Chicken Chop With Black-Pepper Sauce

Sesekali kita tukar selera dari sajian Timur ke Barat pulak ye... almaklum ikut tekak tukang masaknya kan.. Asalnya nak makan chicken chop kat kedai, tapi nak jadi cerita, jumaat malam Sabtu lepas, kami tersinggah kedai yang tak sedia sajian Barat. Perut dah lapar dan malas nak cari kedai lain sebab hari dah nak hujan..

Sabtu malam, setelah mengumpul segenap tenaga yang ada, K.An pun singsing lengan buat sendiri je lah chicken chop ni.. Lagipun Ahad, Iqbal (anak sulung K.An) dah nak balik asrama.. kira masak 'spesel' sikit la untuk dia..
Tak sempat cerita panjang, kita terus ke resepinya... macam biasa, daripada K.An buat mudah, bahan mudah.... rasanya ummmph...

Bahan-bahannya: (hidangan untuk 6 orang dewasa)

1 ekor ayam (potong 6)- bersihkan dan gaul kan dengan sedikit garam

tepung goreng ayam (KFC- apa2 jenama)
1 biji telur
minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus. Masukkan ayam ke dalam loyang atau bekas tahan panas. Kukus selama 10 minit. Buka pengukus dan terbalikkan ayam. Kukus lagi selama 10 minit dengan api kuat. Keluarkan ayam dari pengukus dan toskan (ayam akan berair ketika dikukus)

2. Panaskan minyak yang banyak dalam kuali atau periuk. Celupkan ketulan ayam ke dalam telur hingga rata dan gaulkan ke dalam tepung gorengan. Goreng ayam hingga keemasan. Buat hingga habis.

3. Setelah siap, ketuk ayam dan potong dengan pisau pemotong daging. Hidangkan bersama sos lada hitam dan hidangan sampingan

Sos Lada Hitam -sediakan sementara ayam dikukus- Resepi asal daripada Nita @ sudipkayu.blogspot.com (dah puas berehat, Nita dah kembali bersiaran....) Terima kasih banyak nita, sos ni memang sedap... 5*

Bahan-bahannya:

2 sudu besar mentega
2 sudu besar tepung gandum
2-3 cawan susu segar (boleh guna fresh-milk, low-fat atau full-cream)
1 sudu besar lada hitam- tumbuk halus
2 sudu besar sliced mushroom -tak letak pun tak apa
2 sudu besar kicap- K.An letak 4 sudu besar kicap manis untuk warna yang lebih gelap
garam secukup rasa
1/4 ketul kiub ayam

Cara membuatnya:

1. Cairkan butter dalam periuk. Masukkan tepung. Kacau rata. Bila dah berbuih, masukkan susu segar, lada hitam, cendawan dan kiub pati ayam. Kacau hingga pekat.

2. Masukkan kicap dan garam. Matikan api selepas mendidih. Hidangkan bersam ayam.

****masa snap gambar ni yang lain dah 'start' menjamu, yang ni pinggan k.An (part tulang-tulang- my fav.) part peha dan kepak... anak-anak n Abg Azam dah cop... heheh..

Tuesday, January 5, 2010

Lepat Pisang

Assalamualaikum dan salam tahun 2010 semua..
Alhamdulillah, minggu ni masa cergas K.An dah bertambah daripada 2-3 jam ke 4-5 jam di waktu siang... malam pun dah ok sikit... bolehlah masak lain sikit daripada hari biasa...

Tekak yang nak makan macam-macam ni pun bolehlah dilayan. Sebenarnya bukan K.An je yang ada permintaan, tapi anak-anak pun mintak macam-macam. Abg. Azam tu 'toksah' cakap le... dah le demam mengalahkan K.An, dah sihat sikit ni, teringin nak makan itu-ini.... bagus juga, boleh kami menumpang sekaki.. heheh..

Beberapa hari lepas, sempat K.An buat lepat pisang untuk minum petang. Lepat ni pastinya versi mak K.An yang dah berpuluh tahun kami adik-beradik makan. Saiznya kurus-kurus dan comel, tak sama dengan lepat kat KL ni yang agak lebar dan leper. Tapi apa pun rupanya, asal sedap, boleh saja....

Resepi agak-agak selama ni, dah K.An sukat dan mudahkan untuk semua mencuba...
Bahan-bahan: (menghasilkan 12-15 bungkus lepat bergantung saiz masing-masing)

10 biji pisang awak masak- hiris kecil dan lecek halus
3 sudu besar gula pasir
1 1/2 cawan santan sederhana pekat
1 cawan tepung beras
1/4 sudu teh garam (tak letak pun tak apa)

** 1/2 biji kelapa putih digaul sedikit garam sebagai inti
15 keping daun pisang bersaiz 5 X 7 inci- dilayur sedikit

Cara membuatnya:

1. Gaulkan semua bahan kecuali inti di dalam mangkuk. Gaul hingga sebati. Adunan agak cair ye.. jangan risau.
2. Sambil tu, panaskan pengukus. Sediakan daun pisang, adunan kuih dan inti. Sendukkan 1-2 sudu besar adunan ke atas daun pisang. letakkan 1/2 sudu teh inti( ikut citarasa) dan gulung kemas. Lipatkan bahagian kiri daun pisang ke bawah dan tegakkkan lepat. Kemuadian baru lipat bahagian kanan agar adunan tidak terkeluar.
3. Susun di dalam pengukus. Buat proses hingga habis adunan.

4.Kukus kuih dengan api kuat selama 15 minit. Angkat dan sejukkan sebelum dihidang.

*** Lepat versi kami berwarna putih kerana pisang awak yang digunakan. Warna lepat yang gelap terhasil jika pisang emas atau pisang berangan digunakan. Ada juga sesetengah orang yang mencampurkan gula merah di dalam adunan. Ikutlah citarasa masing-masing ye... K.An memang suka versi yang ini... hmmm...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin