Thursday, January 27, 2011

Sotong Tiga Rasa

Sesuai sangat dipadankan dengan tomyam, kerabu mangga dan kailan ikan masin, sotong 3 rasa ni melengkapkan lagi hidangan untuk seisi keluarga. Makan tengahari boleh, makan malam pun boleh juga.

Kita tengok resepinya:

Sumber: Encik Mohd Naim bin Omar dan Puan Hazura binti Kusman dari Medan Ikan Bakar, Jalan Jati Pantai Jeramn, Kuala Selangor- disiarkan dalam majalah Rasa Edisi AidilFitri 2008 (terima kasih banyak En. Naim n Puan Hazura, sedap sotong 3 rasa ni..)


500 gm sotong sederhana besar- bersihkan, potong ikut citarasa
3 ulas bawang putih dihiris halus
1 labu bawang besar dicincang
5 biji cili api akar-dicincang ***ikut ketahanan pedas
4 tangkai cili merah dibuang biji dan dicincang
1 sudu makan cuka
3-5 sudu makan sos Thai- K.An gunakan sos Thai Maggie
garam dan gula secukup rasa
minyak masak
sayuran seperti bunga kobis, kacang buncis dan jagung manis-ikut citarasa

Cara membuatnya:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Goreng sebentar sotong untuk mengeluarkan airnya. Angkat dan ketepikan.

2. Gunakan minyak dan kuali yang sama, tumis bawang putih dan bawang besar hingga wangi.
3. Masukkan cili merah dan cili padi. Kacau sebentar.Masukkan sayuran dan sedikit air. Biarkan sayuran masak sedikit.
4. Masukkan cuka dan sos Thai. Masukkan sotong yang telah digoreng tadi. Perlahankan api dan gaul sebati. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Sedia dihidang bersama nasi putih dan lauk-pauk lain.


****Tambahkan sos Thai jika ingin kuah yang lebih banyak..

Kudapan Minum Petang- Kek Cawan Pandan dan Mangga

Salam penuh keceriaan daripada K.An untuk semua... terutamanya kepada yang masih setia melayari Periuktanah dan mencuba resepi-resepi yang ada di sini. Walaupun terkejar-kejar dengan tugas seharian, jangan biarkan dapur di rumah tak berasap... almaklum, kemahiran memasak ni, kalau tak digilap, berkarat juga akhirnya nanti..

Hampir sebulan anak kedua K.An (Asma') di asrama, K.An dah mula menyesuaikan diri dengan ketiadaan tangan kanan di rumah(hehehhehh...betul la tu..). Sebelum ni, kalau K.An sibuk di dapur, boleh juga Asma' tengokkan adik-adik, tapi sekarang...kenalah buat semuanya... almaklum Sarah bila balik sekolah..dah me'lepek' keletihan. Nak buat kerja sekolah lagi... abang Azam pun sama.. sibuk belajar lagi, aktiviti masyarakat lagi.... Macam tu lah ceritanya..

Dah puas melalut, pagi ni K.An nak kongsi resepi kek cawan yang mudah diingat, bahan pun senang dan rasanya sedap. Tidak kering dan tidak terlalu manis. Rasanya boleh dipelbagaikan ikut citarasa masing-masing.

Resepi ni K.An dapat daripada Majalah Rasa Edisi AidilFitri 2008. Sumbangan Puan Noraini Adnan. Macam-macam cup-cakes yang dia buat. Semuanya nampak sedap. Apa pun ini resepinya ye....

Bahan-bahan: (menghasilkan 8-10 kek cawan saiz M)

60 gm margerin
60 gm tepung berserbuk penaik (tepung kek)
40 gm gula halus (dah cuba nanti, boleh kurangkan gula jika ingin kurang manis)
1 biji telur
20 ml susu segar (k.An guna susu cair je)
1/2 sudu teh esen vanilla/ setitik perisa pandan dan pewarna hijau

Cara membuatnya:

1.Masukkan margerin dan gula ke dalam mangkuk adunan. Putar hingga kembang.
2. Masukkan telur dan tepung. Putar lagi hingga sebati.
3. Seterusnya, masukkan susu dan perisa pandan. Putar sebati.
4. Panaskan oven ke suhu 180 darjah celsius. Masukkan adunan ke dalam mangkuk kertas yang diletak didalam bekas tahan panas atau dalam mangkuk kek cawan 3/4 penuh.
5. Bakar selama 15-20 minit. Sedia dinikmati. Kalau suka boleh hias dengan krim mentega.

****nanti K.An masukkan entry yang ada krim mentega pulak ye...
Yang ini K.An campurkan 1 sudu besar pati Mangga Sunquick ke dalam adunan. Siap le cup-cake mangga...yummy..
Anak-anak tak suka krim mentega, tu sebabnya buat kosong begini... sekejap je hilang dari pandangan..