Friday, October 29, 2010

Kuih Lopes


Assalamualaikum dan salam penuh kerinduan untuk semua.... Hampir sebulan mendiamkan diri, bukanlah kerana merajuk, tidak sihat atau K.An pergi ke luar negara...(ye lah tu...) Cumanya kurang bermotivasi nak mengemaskini periuktanah dek peralatan yang sakit semuanya. Kamera belum dibaiki atau diganti, skrin lap top jadi putih, broadband pulak rosak.... masih sama keadaannya hingga ke saat ini (ni tumpang lap-top abg Azam kejap)..

Apa pun,..... tak sibuk di periuktanah, K.An sangaaat sibuk hampir setiap hari memenuhi tempahan daripada rakan-rakan, saudara-mara dan rakan sekerja A.Azam di IPG. Rentetan daripada tempahan rumah terbuka Hari Raya.. terus bersambung dengan tempahan jamuan dan makan hari-hari.Yang paling selalu ditempah, macam dulu-dulu jugak, nasi lemak daun pisang.. Nanti K.An buat 'entry' khusus pasal tempahan....Hari ni kita cerita pasal kuih untuk minum petang dulu ye...
Kali ni, K.An nak kongsi resepi kuih tradisi mudah yang terkenal di seluruh Malaysia.. Namanya Kuih Lopes. walaupun sama nama tapi cara membuatnya mungkin berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain. Ada yang dibuat dibalut di dalam daun palas dan dibentuk 3 segi macam ketupat palas, ada juga yang dibuat bentuk 3 segi juga tetapi dibalut didalam daun pisang. K.An pernah tengok YM Tengku Puan Pahang buat macam tu dalam satu rancangan masakan di TV. Di tempat K.An biasanya kami balut dalam daun pisang dan dipotong bulat seperti dalam gambar tu.

Tapi ada yang paling 'M_' macam kat pasar malam atau gerai-gerai tu, yang cuma tepek pulut kat dalam loyang, lepas tu di terap bulat guna cawan... tak suka betul K.An kalau kuih lopes versi camni... rasa pun ala kadar je.

Kalau nak sedap, kena rajin sikit, barulah puas hati. Macam mak kita dulu-dulu. Kalau bab memasak, walaupun nak kena parut kelapa, cari kayu api, giling cili, tak pernah cari alasan untuk mengabaikan tugas hakiki memasak untuk keluarga.
oklah ye.. tak payah celoteh panjang lagi, Kita ke bahan-bahannya: (hidangan untuk 5 orang- 8 orang)

3 cawan beras pulut- dibersihkan dan ditoskan
6 helai daun pandan - dipotong 1 inci dan dikisar dengan 3 cawan santan cair- tapiskan,
1/2 sudu teh garam
sedikit pewarna hijau

10helai daun pisang berukuran 8 x 7 inci= siap dilayur
minyak secukupnya- untuk disapu pada daun

1 cawan kelapa parut putih- digaul dengan sedikit garam
2 cawan air gula melaka- 1 ketul gula melaka dimasak dengan 2 cawan air hingga cair
Cara membuatnya:

1. masukkan beras pulut, santan yang telah dikisar bersama daun pandan , sedikit pewarna hijau dan garam ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa. Jika ada periuk tekanan, gunakan periuk tekanan untuk hasil yag lebih baik.

2. Sediakan daun pisang dan tali pengikat. Ratakan sedikit minyak di atas daun. Sendukkan pulut yang dah masak tadi dan tekan padat berlapikkan daun pisang dengan ke dua belah tangan. Bentukkan seperti silinder dan ikat di tengah dan kedua-dua hujung daun seperti di dalam gambar. Buat sehingga habis pulut. Susun di dalam periuk kukusan.

3. Panaskan pengukus dan kukus kuih lopes selama 15- 20 minit. Angkat dan sejukkan. Buka pembalut dan potong kuih lopes setebal 1 sm. Gaulkan dengan kelapa parut yang telah digaul dengan garam. Hidangkan bersama gula melaka untuk hidangan petang yang menyelerakan.

*** K.An buat lopes ni dengan kerjasama Adik K.An- Mun yang bawak beras pulut baki raya dulu dan mak K.An yang bawakkan daun pisang dari kampung. Mak datang ke sini sebab adik K.An - Nida dah selamat melahirkan anak sulungnya yang diberi nama Muhammad.. Tahniah untuk Nida dan Jeffrey

****dah tak kuasa nak susun gambar2 tu sb komputer ni perlahan sikit. Inipun dah masuk 5 hari mengerjakan entry ni.. baru siap

Friday, October 15, 2010

Acar Rampai

Lebih kurang 16 tahun lepas, masa kenduri kahwin K.An, acar rampai ni adalah antara menu yang dihidangkan untuk semua tetamu. 'Favourite' K.An dan siap bagitau arwah ayah awal-awal, lauk ni wajib ada masa K.An kahwin....hihihii.. suka sangat sampai boleh ratah macam tu saja sebab ada rasa rangup-rangup gitu ketika dikunyah...

Ada yang mintak resepinya dan kebetulan lepas raya hari tu, K.An tertengok satu rancangan masakan berbahasa Cina di TV2..kikikih... semua rancangan masakan K.An tengok tau...Kalau tak silap nama rancangan tu Selera tradisi.. Auntie tu masak rendang ayam dan Acar macam acar rampai ni... Macam biasa, ingat langkah-langkahnya dan bila dicuba, alhamdulillah memang sedap dan tak kurang rasanya dengan yang dimasak tukang masak kenduri kahwin K.An dulu-dulu tu... (pakcik tu dah tak ada juga, macam arwah ayah- rindu dengan masakan mereka sebenarnya)

Bahan-bahannya boleh ditambah atau dikurangkan ikut citarasa.
Bahan-bahan: (satu hidangan untuk 3 orang)

1/4 batang timun- dibelah, buang bijinya dan potong memanjang- tak perlu kupas kulit
1/4 batang karot- potong 1 inci panjang
1 urat kacang panjang- potong 1 inci panjang
sedikit kobis- jika suka
sedikit nenas- dipotong kecil
1 sudu besar kismis
1 sudu besar bijan- disangrai dahulu
1 sudu besar kacang tanah yang disangrai dan ditumbuk
1 sudu besar cili kisar
1 sudu teh rempah kari
4 ulas bawang merah dihiris
2 ulas bawang putih dihiris
1/2 inci halia dihiris halus
2 sudu besar cuka
garam dan 2 sudu besar gula
minyak untuk menumis

*** K.An tambah jeruk buah salak yang dihiris kecil sebagai penambah bahan. boleh juga ditambah jeruk buah yang lain ikut citarasa...

Cara membuatnya:

1. Didihkan 2 cawan air di dalam periuk. Celur sayuran berasingan di dalam penapis. Karot selama 1 minit. Kacang panjang, 2 minit. Kobis- 1/2 minit. Toskan.

2. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam kuali . Tumis bawang merah, bawang putih, halia hingga wangi. Masukkan cili kisar dan rempah kari. Tambah sedikit air dan tumis hingga pecah minyak.

3. Masukkan cuka dan semua sayuran. Masukkan juga kismis, bijan,kacang tanah, garam dan gula. Gaul sebati. Matikan api dan sedia dihidang bersama nasi minyak/putih, ayam masak merah dll....

selamat Mencuba

Wednesday, October 13, 2010

Kek Buah Kukus

Setiap kali makan atau sebut kek buah kukus, pastinya ramai yang teringat gambar kek buah Cik Mat Gebu yang di 'copy' tanpa izin dan disiarkan dalam majalah masakan terkenal beberapa bulan lepas. Apa taknya, dah buat salah besar, memang susah orang nak lupakan. Nasib la dapat Mat Gebu yang baik hati, tak saman... kena kat orang yang suka buat kecoh... haaaa... baru tau si pencilok gambar tu...

Sebenarnya buat kek buah ni bukannya susah, kena rajin je. K.An dah pernah siarkan satu resepi kek buah yang dibakar masa raya tahun lepas... makcik K.An punya resepi... senang, sedap dan kurang manis.

Kali ni, K.An kongsi resepi klasik daripada Kak Fauziah-isteri sepupu Abg azam yang juga pandai memasak aneka masakan...

Resepi asal menggunakan sukatan kati dan menggunakan mentega golden churn (betul ke ejaannya ni..?) mentega dalam tin yang dulu-dulu tu... orang kaya-kaya je yang mampu guna mentega untuk buat kuih raya dan kek ni zaman dulu-dulu ni...
Tapi alkisahnya, sekarang pun harga setin mentega ni dah mencecah tahap orang kaya-kaya juga... hmmm fikir dua tiga kali, sudahnya K.An guna mentega biasa je macam Buttercup/ butterlite je... Kata Kak Fauziah, kalau nak paaaaling sedap, kena guna mentega tin tu juga.. Apapun, setelah siap, alhamdulillah... kek buah kukus ni sangat sedap, lembab, lembut dan kurang manis setelah k.An 'adjust' ramuannya...
Bahan-bahan: (menghasilkan 1 loyang kek bulat berukuran 20 sm)

100 gm buah-buahan campuran kering- ikut citarasa
**250 gm tepung gandum
**1/2 sudu teh baking powder
**1/2 sudu teh soda bikarbonat

Ayak bersama bahan bertanda **

3 biji telur saiz B
1/2 cawan gula hangus (1/2 cawan gula pasir, dihanguskan dan dicampur 1/2 cawan air- biar cair)
1 cawan gula castor (K.An keluarkan 2 sudu besar untuk kurangkan manis)
170 gm mentega

Cara membuatnya:

1. Panaskan pengukus dan sediakan loyang. Lenser dan alas dengan kertas minyak.

2. Masukkan mentega dan gula pasir di dalam mangkuk. Gaul menggunakan belakang senduk mengikut arah jam hingga gula hancur.

3. Masukkan telur, gula hangus, tepung dan buah-buahan campuran. Gaul rata menggunakan whisk atau senduk hingga sebati.

4. Masukkan ke dalam loyang dan tutup dengan aluminium foil agar air kukusan tidak masuk ke dalam kek. Kukus selama 2 jam.

5. Setelah masak, keluarkan daripada loyang dan sejukkan sebelum dipotong.

*** kek ni sesuai untuk sesiapa yang tak ada oven dan tak ada mixer sebab tak perlu guna benda-benda tu....hhihiih...

Selamat mencuba...!!

Tuesday, October 5, 2010

Puding Jagung

Di sepanjang bulan puasa yang lalu, macam-macam permintaan resepi yang K.An terima tetapi memandangkan masa tu K.An masih dalam pantang, banyak yang tak dapat K.An tunaikan. Ada yang K.An dah tak ingat siapa yang mintak, tapi tak kisahlah kan... yang penting resepinya ada. Antara yang dah K.An buat selepas raya ni ialah puding jagung.

Ada 2 jenis puding jagung yang K.An biasa buat, satu jenis yang menggunakan tepung kastard dan santan/ susu cair dan satu jenis lagi yang dicampur agar-agar dan teksturnya lebih licin. Dua-dua sedap dan ada rasa tersendiri tapi memandangkan permintaannya yang jenis ala agar-agar gitu, K.An kongsi resepi versi yang dicampur agar-agar lah....

Bahan-bahan: (k.an gunakan loyang bulat berukuran 22 sm)

Bahan A:
6 gm agar-agar kering (1/2 peket agar-agar 12 gm)
2 cawan air
3 sudu besar gula pasir

**masak bahan di atas di dalam periuk hingga mendidih dan gula hancur. Jangan matikan api tetapi perlahankan sahaja.

Bahan B

1/2 cawan tepung kastard
1 cawan air
1 cawan jagung krim dalam tin
1 cawan susu cair/ sejat

sedikit pewarna kuning

Cara membuatnya:

1. Bancuhkan tepung kastard dengan air di dalam periuk hingga tepung larut. Hidupkan api perlahan. Masukkan jagung krim dan susu sejat.

2. Kacau campuran hingga campuran mula memekat. Masukkan bahan A tadi dan sedikit pewarna kuning, dan kacau lagi hingga puding pekat dan berkilat. Rasa manisnya dan tambah sedikit gula lagi jika perlu. Angkat daripada dapur dan tuangkan ke dalam acuan pilihan. sejukkan sebelum dipotong dan dihidang.

Sejak kamera K.An terjatuh dan tercedera... gambar pun kelabu je sebab guna kamera telefon untuk ambik gambar..huhuh.... tak pelah asal ada rupa puding boleh diterima...
***Masa balik raya hari tu, sempat merasa puding jagung air tangan watie sepupu abang Azam.. sedap rasanya walaupun dia sibuk kata lembek...K.An mintak resepi tapi tak sampai-sampai pun, jadinya K.An kongsi yang K.An punya resepi la... (lebih kurang sama ja Watie kan...) nanti kalau ada bahan lain yang tertinggal watie tolong tambah ok..