Sunday, November 30, 2008

Nasi Lemak Telur Mata

Bahan-bahan dan cara masak nasi:

***untuk makan 6 orang
2 cawan beras dibasuh dan ditoskan
4 cawan santan (kalau suka nasi yang peroi, kurangkan 1/4 cawan)
1 helai daun pandan dicarik dan diikat
1 inci halia diketuk
2 sudu teh garam
sedikit jintan putih dan jintan manis

Campurkan kesemuanya di dalam periuk nasi dan masak seperti biasa. Bila dah masak gaul dengan senduk agar santan sekata.

Sambal ikan bilis.

1 cawan ikan bilis yang telah dikopek dibasuh dan toskan
5 ulas bawang merah dan 1/2 labu bawang besar dikisar
3 ulas bawang putih ditumbuk atau kisar bersama bawang merah
3 cawan cili kisar/ cili boh
3 sudu besar air asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar dihiris membujur

Cara-cara:

1. Panaskan 1/2 cawan minyak dalam kuali. Goreng ikan bilis menggunakan api perlahan hingga ikan garing. Angkat dan ketepikan.
2. Ambil 5 sudu besar minyak gorengan ikan bilis tadi dan panaskan di dalam periuk. Tumis bawang kisar hingga wangi. (5 minit+/-)
3. Masukkan cili kisar dan masak hingga pecah minyak. Tambah sedikit air jika terlalu pekat dan sambal belum pecah minyak. Kacau selalu.
4. Masukkan air asam jawa, bawang hiris, garam dan gula. Masak hingga sambal pekat.
5. Buangkan lebihan minyak sebelum dicedok untuk dimakan bersama nasi lemak dan ikan bilis goreng dan telur mata kerbau. (***kurangkan minyak dalam masakan...)
"Sarah dah makan nasi lemak kat dalam gambar tu.. sekejap je dah nak habis..."

Sarapan ala hotel.. Omelette

Jemu dengan sarapan berat...? Jemu dengan roti canai..? Jemu dengan roti bakar..? Cubalah omelette... ala-ala hotel gitu..!
Apa taknya, kalau rumah kita dah dihias lebih cantik daripada hotel, apa salahnya hidangan di dapur pun sama 'class' dengan hotel. Lagipun bukannya susah nak disediakan, cuma dengan teknik berbeza, dah jadi hidangan berbeza.



Bahan-bahan:

100 gm isi ayam dicincang(boleh tambah udang yang dibuang kulit atau isi ketam)
1/2 labu bawang besar didadu
1 sudu besar susu segar (kalau takde, tak payah letak)
2 sudu besar margerin
3 biji telur
sedikit garam
Sedikit cendawan didadu
1/4 biji tomato didadu
sedikit daun sup dihiris halus
sedikit cili merah dicincang

Cara-cara:

1. Panaskan kuali tidak melekat (non-stick pan). Masukkan 2 sudu besar margerin.

2. Masukkan isi ayam, goreng seketika. Jangan keluarkan, terus masukkan bawang, cili, cendawan dan cili merah. Kacau hingga bawang agak kekuningan.

3. Pecahkan telur di dalam mangkuk. Campurkan secubit garam, susu segar, daun sup dan tomato. Pukul sedikit guna garpu.

4. Masukkan dalam kuali. Kacau cepat-cepat agar bahan rencah rata.. sekejap je... dan ratakan telur dengan mengangkat kuali seperti mendadar ketayap.

5. Bila nampak bahagian atas telur dah masak, lipat telur seperti apam balik. terbalikkan dan biar sebentar sebelum diangkat..
6. Hidang bersama sos cili dan mayonaisse.

Resepi ni pun direka selepas tengok chef kat hotel masak masa sarapan...

Citarasa pedas,masin dan manis..Pau Goreng Sambal

Satu adunan boleh dibuat dua jenis kuih sekaligus.. Kan senang dan jimat masa. Resepi donut ni K.An pelajari daripada Kak N (kakak sulong K.An). Dia ni pandai buat macam-macam kuih. Daripada yang tradisi sampailah yang moden. Yang tradisi diwarisi daripada mak kami, dan yang moden dia belajar masa suka-suka kerja kat bakeri. Kalau musim raya, ambik tempahan untuk biskut-biskut raya. Bukan sahaja sedap tapi buatannya cermat dan cantik.



Bahan-bahan Doh:

3 cawan tepung gandum

2 sudu teh ragi kering(mauripan) dibancuh dengan 1/4 cawan air suam yang dicampur dengan 1 sudu besar gula. Biarkan dalam mangkuk hingga berbuih(5-10 minit)

2 sudu besar margerin

1 biji telur

1 biji kentang, direbus dan dilecek halus

1/2 cawan air dicampur secubit garam

*** ada juga yang mencampur adunan dengan lemak sayuran ( boleh dapat di kedai bahan-bahan kek tapi K.An suka campur kentang je... dah cukup lembut)

Cara-cara:

1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar. Buat lubang di tengah-tengah. Masukkan telur, campuran ragi, margerin dan kentang ke dalam lubang tu.

2. Campurkan semua bahan menggunakan tangan dan uli perlahan-lahan. Uli hingga adunan licin dan tambah air sikit-sikit, jika adunan terlampau kental.

3. Uli lagi hingga adunan sebati dan licin. Biarkan di dalam mangkuk dan tutup dengan kain. Biar 15 minit.

4. Buka tutup dan tumbuk adunan untuk mengeluarkan udara. Uli lagi dan bentuk bulat-bulat dan tekan sedikit agar bentuk pau sedikit leper. Boleh juga dicanai setebal 1 sm dan diterap bulat-bulat.

5. Sediakan dulang yang ditabur rata sedikit tepung. Letakkan pau di dalam dulang dan biar 10 minit sebelum digoreng.

6. Panaskan minyak yang banyak di dalam kuali. Perlahankan api bila minyak panas. Goreng pau sambil diterbalikkan sentiasa agar pau masak rata. angkat bila warna pau keperangan.

7. Belah pau dan isikan sambal ikan bilis dan timun. (Sambalnya, macam biasa cuma ikan bilisnya ditumbuk halus sebelum dimasukkan ke dalam cili yang ditumis) ** Adik K.An, Raidah yang ajar.. dia jual pau sambal kat kampung

Yang manis... Donut


*** Proses dan adunan sama seperti pau sambal. Canai doh setebal 1 sm dan terap menggunakan acuan donut. Biar 10 minit dalam dulang dan goreng hingga keperangan. Salutkan dengan gula kastor.

*** apabila menggoreng pau dan donut, mestilah cepat diterbalikkan agar kuih tidak kembung sebelah sahaja.

Cantik di Mata..Sedap di Lidah.. Bawal Masam Manis

Kata orang, pandangan pertama tu amat penting sebab ianya menentukan langkah seterusnya.. Macam tu juga dengan selera makan.. Kalau mata yang memandang kata ..wau.. menarik, otak pun bagi signal sedap.. tangan pun laju la menyuap..

Jadi, jangan ambil ringan bab-bab menghidang makanan ni. Kalau tak sempat menghias, paling kurang, pilih menu yang menggabungkan pelbagai warna. Ada kuning, merah, hijau dan coklat misalnya.. Kalau makanan tu dah sedia pudar warnanya, letakkan di dalam pinggan yang bercorak warna-warni di kelilingnya..

Disebabkan warnanya yang menarik, dan rasanya sedap, ada pedas, masam dan manis, Bawal Masam Manis ni antara lauk kegemaran kami sekeluarga juga. Lagipun kalau di kedai dengan hidangan RM20 tak puas makan.. Masak sendiri, boleh ratah puas-puas..


Bahan-bahan:

1 ekor ikan bawal ( 500 gm)- dibersihkan, kelar serong

200 gm nenas dipotong kecil

Bahan dikisar (A)

1/2 labu bawang besar

4 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

Dikisar berasingan(B):

3 biji cili merah

1 biji tomato

1 inci halia dihiris halus

200 gm timun dibuang empulur/biji, dihiris memanjang-jangan kupas kulit

1/2 labu bawang holland dihiris membujur

3 sudu besar sos cili

1 sudu besar cili kisar/cili boh

Cara-cara:

1. Lumurkan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng ikan separa garing. Ketepikan.

2. Panaskan minyak dalam periuk.(boleh guna minyak gorengan ikan tadi). Tumis bawang yang dikisar dan halia yang dihiris hingga wangi.

3. Masukkan cili kisar, tumis sebentar. Masukkan bahan kisar (B). Tambah 1/4 cawan air. Tumis hingga pekat dan cili masak.

4. Masukkan sos cili, nanas dan timun. Tambah 1/4 cawan air lagi. Masukkan garam dan sedikit gula. Masak seketika lagi hingga kuah pekat. Tutup api dan curahkan ke atas ikan. Hias ikut citarasa.


Siapa kata sayur tak sedap...? Pak Choy Kacau Goreng

Anak-anak selalunya susah nak suruh makan sayur sebab katanya tak sedap.. Ada bebrapa resepi sayur yang anak K.An suka makan; antaranya pak choy kacau goreng ni... Sebab kuahnya pun sedap... jadi bila ambik kuah mereka akan cuba sayurnya sekali. Bila cuba, kan ke sedap..?


Bahan-bahan:

3 ikat sayur pakchoy- boleh dikopek sehelai sehelai dan ketuk batangnya dengan pisau macam kat gambar (boleh juga dipotong 1 inci kalau suka)

1 sudu besar udang kering direndam dan tumbuk halus

3 ulas bawang merah ditumbuk kasar

3 ulas bawang putih ditumbuk kasar

2 sudu besar kicap manis

1 sudu teh sos tiram

1 sudu teh tepung jagung dibancuh dengan sedikit air

sedikit garam jika perlu

Cara-cara:

1. Panaskan minyak kat dalam kuali. Gunakan api yang agak besar. tumis cepat-cepat bawang dan udang kering sampai wangi.

2. Masukkan kicap, sedikit air, sos tiram dan sayur. Kacau sayur dan lambung sayur guna kuali kalau pandai. Boleh juga tutup sekejap kuali agar sayur cepat lembut.

3. Rasa kuah dan kalau kurang masin, tambah sedikit garam. Masukkan tepung jagung, kacau dan tutup api. Siap untuk dihidang bersama nasi dan lauk lain.

Char Kuey Teow

Terkenang masa di sekolah asrama dulu-dulu; antara sarapan pagi yang mem'boringkan' dan rasanya 'kurreng' sikit.. kuey teow goreng la.. Rasanya macam makan plastik sebab tak berapa masak dan tak ada rasa langsung. Tapi memandangkan tak nak membazir, selalunya K.An dan kawan-kawan jamah juga dengan memilih bahagian yang ada rasa kicap sikit... Hu..huk.

Agaknya tukang masak Dewan Makan tu cuma masuk kicap, garam, kuey teow dengan taugeh. Kacau dan hidang kat kami.. kesiaan.. sejak tu K.An agak fobia dengan kuey teow sehinggalah K.An tahu dan belajar teknik menggoreng kuey teow yang betul dari...mana? Mana lagi kalau bukan 'pasar malam' (sekolah memasak tak rasmi terbesar).

Sekali lagi pasar malam seksyen 17 P.Jaya dekat kampus UIA memberi sumbangan besar dalam hidup K.An kerana mengubah perspektif tentang rasa kuey-teow yang sedap.
Ada satu gerai yang dikendalikan satu keluarga (anak-beranak) yang menjual mee goreng dan kuey teow kerang goreng dalam kuali bessaar tu. Gerai ni sentiasa jadi tumpuan ramai sebab aroma gorengan yang sedap menusuk hidung pengunjung pasar malam, termasuklah K.An dan kawan-kawan.

Kadang-kadang, dah beratur panjang, tapi tak dapat sebab ramai yang order bukan sebungkus je, tapi sampai 5 bungkus...! Kami sanggup tunggu adik tu (anak lelaki pakcik) goreng yang baru. K.An memang suka kerja tunggu ni sebab boleh belajar cara dia goreng kuey teow yang sedap. OOoo.. patutlah yang kat dewan makan dulu tu tak sedap dan yang ini... wajib beli...
Yang penting, jangan kedekut bahan; bawang, cili, kerang, telur, kucai, taugeh, kicap mesti banyak. mesti 'fresh' dan banyak.. baru kow..kow..

Sejak tu K.An akan buat kue-teow goreng bila balik kampung kalau ada peluang.. yang penting kalau ada bekalan kue teow halal. (di kampung susah nak dapat.. mee kuning ada la..)

Kue teow basah atau char kue teow ni pulak K.An belajar kat pakcik di Bdr Tasik Puteri. Mulanya dia jual kat atas motor je (gerai motor roda tiga). Lepas tu dia buka gerai kat medan puteri... (kemudiannya K.An pun buka gerai nasi campur kat situ). Yang lainnya cuma guna sup ayam atau air rebusan kulit udang dan cara gorengannya lebih cepat..
Anak-anak K.An suka yang basah macam ni... (Ada masa nanti K.An akan kongsi Kuey Teow kerang dan Kuey Teow sayur - Abg Azam belajar kat hotel tempat dia mesyuarat)

Char Kuey Teow Udang dan Kerang

Bahan-bahan: (5 orang dewasa makan)

1 bungkus kuey teow -dibasuh dengan air biasa, toskan

2 sudu besar cili kisar( tambah kalau suka lebih pedas)

5 ulas bawang merah ditumbuk kasar

2 ulas bawang putih ditumbuk kasar

3 sudu besar kicap manis

1/4 cawan kerang yang telah direbus dan dikopek kulit

1 cawan air rebusan kulit udang

5 ekor udang harimau

1 sudu teh sos tiram

5 tangkai kucai dipotong 1/2 inci panjang

1 cawan taugeh dibersihkan

2 biji telur

secubit garam

3 sudu besar minyak masak (kalau suka rasa berkacang boleh tambah/ ganti 1 sudu besar minyak bijan)

Cara-cara:

1. Gunakan api sederhana besar. Sediakan bahan siap-siap kat tepi kuali kerana proses memasak sangat cepat.

2. Panaskan minyak kat dalam kuali. Tumis bawang hingga wangi, masukkan cili. Tumis hingga masak. Masukkan kerang,udang dan kucai. kacau.

3. Masukkan kicap dan sedikit garam. Kacau lagi. Masukkan air rebusan / sup ayam. Didihkan. Masukkan kuey-teow, telur dan taugeh serentak. Kacau cepat-cepat hingga rata. Tutup api dan boleh dihidang dengan cili jeruk.

Cili Jeruk

Yang ni pun ada ceritanya... Kebetulan dah ditakdirkan, lepas Hari Raya Puasa hari tu ,kawan lama K.An, Linda telefon. Dia dapat no h/p K.An kat..ada la.. panjang cerita sebab dah lebih 10 tahun tak jumpa..

Kalau sebut Linda je K.An automatik kaitkan dia dengan cabai jeruk.. Ceritanya masa kat asrama dulu terutamanya bulan puasa, kami akan bawak bekal makanan yang tahan lama untuk sahur sebagai pembangkit selera dan penambah perisa... Ye la.. sahur kat asrama, mata pun separuh bukak je, muka pun sembab.. kalau takde yang sedap, minum air pun dah rasa kenyang. Jadinya mak K.An selalunya bekalkan acar limau, kawan K.An yang lain; Nurul dengan serunding, Linda dengan cili padi jeruk dan dua tiga orang lagi, K.An dah tak berapa ingat.. Baru lah berselera nak makan sahur.

Cili padi jeruk Linda ni bila makan meletup kat dalam mulut...fuii.. tu yang sedap. Jadi bila dia dah kat dalam kawasan, K.An mintak le petua dia buat cili jeruk ni... Senang je


Bahan-bahan:

1/2 kg cili hijau dipotong serong- basuh dan toskan

Cuka secukupnya

sedikit garam dan gula.

Cara-cara: Campurkan je semua bahan dan masukkan ke dalam botol. 3 hari lepas tu dah boleh makan dengan kuey-teow goreng.

TQ Linda...

Friday, November 28, 2008

Minum petang dengan Sandwich Sardin

Pagi tadi K.An buat penkek dengan sambal sardin.. Ada separuh periuk lagi sambal sardin, jadi petang ni bolehlah buat sandwich pulak.. Jimat masa sebab tinggal nak letak kat roti je lagi.
Seingat K.An kalau buat sandwich macam ni, tak pernah tak habis.. memang laku je.

Kalau nak pergi berkelah ke, nak musafir jauh ke, sesuai juga bawak bekal sandwich macam ni sebab senang nak makan kat dalam kereta. Lagipun lebih jimat sebab kalau beli dah siap kat bakery atau stesen minyak 1 set dah RM2..

Kalau tak ada sardin, boleh diganti dengan baki ayam goreng atau tuna dalam tin. Cuma sapukan margerin pada roti dan tambah dengan salad, timun dan tomato. Ayam goreng tu, hiris nipis dan buang tulang.. dan sapu sos dan mayonaise pada roti. Sedap..


Selera Thai lagi...Padprik Ayam

Masakan Thai ni memang senang dan cepat disediakan dan menggunakan bahan yang ringkas.. cukup sesuai masak waktu sibuk-sibuk balik kerja dan tak ada masa banyak nak sediakan bahan yang susah. Lagipun padprik ni dah ada kuah, lauk dan sayur. Bak kata mudahnya... 3 dalam 1. Masak pun tak sampai 15 minit dah siap.

Bahan-bahan:

1 cawan isi ayam dipotong kecil - senang anak-anak nak makan
3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
2 ulas bawang merah ditumbuk kasar
1/2 labu bawang besar (Holland) dihiris bujur
1 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis
1 biji cili merah dihiris serong
1 tangkai kacang panjang-potong 1 inci panjangnya
bunga kobis, karot dipotong ikut suka
3 helai daun limau purut dicarik kasar.
1 sudu teh tepung jagung dibancuh dengan sedikit air

Cara-cara:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng isi ayam hingga wangi dan masak (3-5 minit)- jangan angkat.
2. Masukkan bawang yang ditumbuk dan cili merah. Tumis hingga wangi. Masukkan cili kisar. Kacau. Masukkan sos cili, sos tiram dan kicap. Tambah sedikit air.
3. Masukkan sayuran. Tutup kuali seketika (2 minit)
4. Buka tutup. Masukkan sedikit garam dan gula (sedikit sahaja sebab sos dah ada rasa masin dan kicap ada rasa manis). Masukkan tepung jagung dan daun limau purut. Kacau.
5. Bila dah mendidih dan kuah pekat, tutup api dan hidangkan.

*** ada perbezaan rasa kalau kita tidak mengikut susunan memasukkan bahan ke dalam kuali.
Rasa ayam berbeza jika digoreng sebelum atau selepas bawang ditumis.

Elakkan pembaziran..Nasi Goreng Periuk Tanah

Dengan semangkuk nasi sejuk, boleh jadi hidangan yang sedap kalau rajin pelbagaikan bahan memasak. Kat Malaysia ni macam-macam nasi goreng ada. Bubuh itu,ini... taruk nama jadila resepi baru.

Dah umur macam K.An ni berpuluh jenis nasi goreng yang K.An dah rasa.. Yang sedap ada, yang tak sedap mestilah ada juga... he..heh. Antara kegemaran K.An, Nasi goreng Cina, Nasi Goreng Kampung, Nasi Goreng Kunyit mak K.An, Nasi Goreng Ladna (sbb banyak sayur) Nasi Goreng USA (terutama kat Zai Tomyam) dan Nasi Goreng Pattaya. (Dah selalu buat sendiri untuk keluarga kat rumah).

Yang penting jangan takut mencuba... Kurang pedas, makan dengan sambal belacan, kurang masin tambahle garam atau kicap.. tak siapa marah.

Yang ni pulak K.An reka je sebab perut dah lapar, 'baby' Maryam meragam, apa yang ada, campak je... jadilah Nasi Goreng Periuk Tanah.
Tengokla gambar 'Aisyah makan tu. Kejap-kejap tambah.." cedap umi, aicah ngke (suka) ummi.. aicah nak tambah agi.."

Bahan-bahan:
2 mangkuk nasi putih (sejuk boleh, tak sejuk pun boleh..)
3 ulas bawang merah ditumbuk kasar
2 ulas bawang putih ditumbuk kasar
2 sudu besar ikan bilis kopek - direndam air panas sekejap dan tumbuk halus
2 sudu besar sambal ikan bilis (baki buat nasi lemak semalam, simpan dalam peti ais)
sedikit sayuran, sawi, karot, kobis, bunga kobis dihiris halus
3 biji telur
3 sudu besar kicap manis (Tambah kalau suka warna lebih gelap)
Cara-cara:
1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumiskan bawang yang ditumbuk dan ikan bilis hingga wangi.
2. Masukkan sambal ikan bilis, sedikit air dan sayur-sayuran. Goreng hingga sayur layu.
3. Masukkan garam, kicap dan sebiji telur. Kacau rata. Masukkan nasi. Kacau lagi.
4. Tambahkan kicap lagi kalau suka. Gaul nasi hingga warna dan nasi masak sekata. Tutup api dan ketepikan dulu.
5.Panaskan kuali lain dan masukkan sedikit minyak. Pecahkan dua biji telur di dalam mangkuk dan campur sedikit garam. Pukul dengan garpu.
6. Tuangkan telur ke dalam kuali dan kacau hingga jadi 'scrambled egg'
7. Angkat dan hidang bersama nasi goreng Periuk Tanah....



Wednesday, November 26, 2008

Sarapan Ringan Tapi Kenyang... Penkek

Mengikut pakar pemakanan, sarapan adalah waktu makan yang paling penting dalam sehari kerana ia pembuka hari, penyegar minda dan pembekal tenaga untuk tubuh badan sebelum kita mulakan apa-apa aktiviti.


Ada banyak pilihan sarapan, tapi tak banyak yang mengenyangkan kalau ianya bukan nasi. Ye lah.. kalau setakat roti 2 keping, atau semangkuk bijirin, tak ramai antara kita orang Malaysia yang tahan.. kalau yang bekerja pejabat, sarapan pukul 7.30, pukul 10, perut dah bising kata lapar.

Ini cadangan K.An kepada isteri yang nak mudah sedia sarapan untuk suami dan anak-anak. Boleh bawak bekal sekali ke sekolah atau pejabat sebab senang nak buat..


Penkek dengan sambal sardin atau dengan madu..

Bahan-bahan Penkek:

2 cawan tepung gandum

1 cawan tepung naik sendiri (kalau takde stok, guna tepung gandum semua, + 2 sudu teh baking powder)

2 biji telur

2 cawan air

1/2 cawan susu segar/ susu cair

3 sudu besar gula

1/2 sudu teh garam

Cara-cara:

1. Pukul gula dengan telur hingga kembang. Gunakan pemukul atau blender.

2. Campurkan bahan lain ; susu, air, tepung, garam. Pukul lagi hingga adunan licin dan tak berketul.

3. Panaskan kuali dan letak sedikit margerin. Sendukkan adunan ke dalam kuali. Masak 2-3 minit atau penkek keperangan. Gunakan api perlahan. Terbalikkan dan masak lagi.

4. Ulang proses hingga habis adunan.

Sudah siap boleh dimakan dengan sambal sardin, madu atau susu pekat.

*** Adunan boleh dipelbagaikan dengan mencampur oat, nestum, kelapa parut atau pisang lecek.

Tak Cukup Bajet Lauk.... Buatlah Acar Telur

Kadang- kadang kita dah masak banyak lauk masa makan tengahari, tapi bila malam banyak yang dah kurang dan tak cukup tampung semua keluarga.. Nak masak lain dah malas. Nak makan kat luar, sayang pulak lauk-pauk yang ada.
Jangan risau, kalau masih ada kuah yang lain, tak kisahlah.. kari ke, masak lemak ke, kurma ke, sambal ke, semua ni boleh 'masuk' dengan acar telur ni. Senang dan jimat.

Acar telur ni dulu arwah ayah K.An pun pandai buat sendiri. Selalunya lepas maghrib kami dah siap mengaji, arwah ayah akan tolong sediakan makan malam dan tambah lauk-pauk yang kurang. Kadang-kadang goreng ikan masin, adakalanya buat telur dadar dan kadang-kadang buat acar telur...
Kepada suami-suami yang nak tolong isteri masak, boleh belajar buat, tak ada alasan susah..


Bahan-bahan:

3 biji telur digoreng ( telur mata pun boleh, garing pun boleh)
3 sudu makan cuka
1 labu bawang besar dihiris nipis melintang
1 biji cili merah dihiris serong
2 sudu teh gula
1/2 sudu teh garam

Cara-cara:
1.Masukkan telur ke dalam mangkuk.
2.Gaulkan bawang dengan cuka, garam, gula dan cili merah.
3. Curahkan campuran acar ke atas telur. Dah siap.

***tak tipu, memang mudah

Seringkas dan semudah Ayam Masak Kicap

Assalamualaikum..
Nak diceritakan asal resepi ni dari sebuah restoran di Kundang Selangor yang menjual makanan dan minuman dengan harga yang sangat murah.. Cotohnya air teh O- 50sen, teh tarik 70 sen dan nasi campur lauk RM2 je...
Masa tu kami dah pindah ke Bandar Tasik Puteri tapi A.Azam masih mengajar di Bukit Rahman Putra. Jadi, tiap-tiap hari lalu kat kedai tu dan sesekali singgah beli lauk untuk dibawa balik. Antaranya lauk Ayam Masak Kicap nilah.. Dua tiga kali rasa, taulah K.An macamana nak buatnya..

Bahan-bahan:

1/2 ekor ayam dipotong kecil

5 ulas bawang merah ditumbuk halus/kisar

2 ulas bawang putih ditumbuk halus

1 inci halia ditumbuk halus

1 biji cili merah dan 1 biji cili hijau dipotong serong

1 labu bawang besar dipotong melintang(1/2 sm tebalnya)

1/2 cawan kicap manis

1 sudu besar sos tiram

3 biji cili padi diketuk (tak perlu kalau tak suka pedas)

Garam, kunyit, minyak masak secukupnya

Cara-cara:

1. Bersihkan ayam dan gaul dengan garam kunyit.

2. Goreng separa garing. Ketepikan.

3. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang dan halia hingga wangi. Masukkan sedikit air.

4. Masukkan kicap dan sos tiram. Masukkan cili merah, cili hijau,cili padi dan bawang besar. Masukkan ayam. Masak hingga kuah pekat.

5. Tambah garam jika kurang masin. Tutup api dan sedia dihidang.

*** walaupun nampak tak 'glamer' tapi anak-anak suka dan walaupun ringkas tapi ada yang tak tau tapi segan nak tanya... jadi K.An memenuhi permintaan orang macam ni la..

Sunday, November 23, 2008

Resepi Turun Temurun-Kacang Panjang Goreng Telur

Mak kami Hajah Selamah ada banyak resepi sayur yang digoreng bersama telur. semuanya sedap. Kobis, kacang panjang, taugeh dan sawi. Semuanya boleh goreng macam ni.

Bahan-bahan:

5 urat kacang panjang segar- dipotong 1 inci (boleh minta tolong anak-anak potong)

1 biji telur

2 ulas bawang merah dihiris

minyak dan garam

Cara-cara:

1. Panaskan minyak dalam periuk. Tumis bawang merah seketika. Masukkan kacang panjang.

2. Tambah 1/4 cawan air. Tutup periuk. Biar 2 minit atau nampak kacang empuk (warna bertukar hijau pekat)

3. Buka tutup periuk, masukkan sedikit garam. Pecahkan telur ke dalam sayur. Biar seketika, (telur separa masak) baru kacau rata. supaya telur berketul-ketul cantik.

4. Tutup api dan sedia dihidang

***Cuti sekolah macam sekarang ni, latihlah anak-anak ke dapur. Walaupun kecil peranannnya, tetap bermakna bagi mereka.


Ayam Bakar Cikgu Aziz

Bercerita tentang keluarga K.An yang ramai (macam kat dalam slide tu...) memang meriah.. Bila balik berkumpul kat kampung, kami selalu buat BBQ. Sebab lagi ramai, lagi meriah..
Masa balik beraya 3 tahun lepas macam selalunya ada satu malam kami buka puasa ramai-ramai dan yang jadi ketua BBQ tak lain tak bukan.. abang ipar K.An -Abg Jis lah (cikgu Aziz). Kali ni dia guna resepi 'special'; memang lain dari yang lain.


Bahan-bahan: (makan 10 orang kalau makan dengan nasi)

1 ekor ayam dibersihkan, dipotong 10- direbus separa empuk

1/2 biji nanas muda -dikisar halus

5 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

1 inci lengkuas

1 inci halia

1/2 cawan cili kisar/ cili boh

Cara-cara:

1. Kisar bawang merah, putih, halia dan lengkuas.

2. Panaskan 3 sudu besar minyak di dalam periuk. Tumis bahan kisar hingga wangi.

3. Masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak. Masukkan nenas kisar tadi.

4. Masukkan garam dan gula. Masukkan ayam yang telah direbus tadi. Tambah sedikit air rebusan ayam. Gaul ayam agar sekata. Masak lebih kurang 5 minit atau kuah pekat.

5. Sediakan pemanggang atau kuali. Masak ayam sambil disiram kuah ke atasnya. Terbalikkan ayam dan masak hingga garing di luarnya.

6.Boleh dihidang bersama baki kuah tadi dan air asam.

Selera Thai -Daging Masak Merah

Restoran Thai menjadi pilihan ramai sekarang kerana menghidangkan masakan panas yang 'kena' dengan selera orang Malaysia. Malahan dah jadi fenomena di sana-sini, ramai yang mengusahakan Restoran Makanan Thai. Ada yang kekal lama dan maju dan tak kurang yang gulung tikar.. Semuanya bergantung kepada rezeki yang Allah beri. Ada rezeki, walau di ceruk mana pun orang cari.. dan ulang pergi.

K.An mula kenal makanan Thai sejak K.An belajar di UIA kampus P.Jaya dulu. Dah lebih 15 tahun.. ada banyak gerai Tomyam kat seksyen 17 dekat kolej UM dan kolej tumpang UIA. K.An sempat duduk di salah satu blok apartmen kat situ 2 semester. Seronok sebab macam rumah sendiri. 'House-mate' masa tu, K.Nor, Syikin, K.Oni, K.Zura, dan K.Kas. (Kat mana semua sekarang ye...?)


Masa tu kami sewa peti ais RM 30 sebulan, ada dapur masak dan periuk nasi. Pasar tani dan pasar malam kat bawah rumah je.. Masak sendiri dan jimat banyak duit biasiswa/ pinjaman. Masa tu takde 'hand-phone' lagi.. Duit pinjaman siap boleh hantar kampung atau bagi adik-adik lagi... Macamana adik-adik siswa-siswi sekarang ye...?

Berbalik cerita makanan Thai.. Masa K.An masuk tahun 3, ada gerai Tomyam ('Open-air')kat depan Bangunan SMAWIP. Balik kelas boleh terus 'order' makan malam.. Kat sinilah K.An 'perati' tukang masak tu masak macam-macam menu. K.An banyak belajar tak rasmi di situ. Termasuklah tomyam, paprik, sup sayur dan daging merah.

Daging Masak Merah

Bahan-bahan:

500 gm daging- potong kiub besar dan rebus( guna periuk tekanan lagi bagus)

3 ulas bawang merah ditumbuk kasar

3 ulas bawang putih ditumbuk kasar

1/2 biji lada benggala hijau dipotong panjang

1 biji cili merah dipotong serong

sedikit bunga kobis

1/2 biji bawang besar kuning dipotong membujur

1 sudu besar sos tiram

3 sudu besar sos cili (ikut citarasa)

1 sudu besar cili kisar

1 sudu kecil sos ikan

sedikit pewarna merah

Cara-cara:
1. Keluarkan ketulan daging yang telah direbus tadi. Hiris nipis-nipis. Campurkan dengan 1/2 cawan air rebusan di dalam mangkuk. Letak sedikit pewarna merah.

2.Selepas 10 minit, toskan daging dan ketepikan dulu air perapan tadi.

3. Panaskan 2 sudu besar minyak. Goreng sebentar daging.. ada bau sedap keluar.. lepas tu terus masukkan bawang merah, putih, cili merah, cili padi. Tumis seketika hingga wangi.

4. Masukkan cili kisar. Goreng sebentar.Masukkan air perapan daging tadi. Masukkan sos tiram, sos cili, sos ikan. Kacau.

5.Masukkan lada benggala, bunga kobis dan bawang besar. Masukkan garam dan gula secukupnya. Bila kuah pekat bolehlah diangkat dan hidang bersama tomyam dan nasi putih.

Mihun Goreng

Mihun goreng macam ni hanya boleh jumpa kat rumah mak kat kampung, dan rumah kami adik-beradik. Sama je rasanya sebab satu guru, satu citarasa. Dari rumah Kak N (yang sulung) sampai rumah Cu Da. Rumah Cu Kimi je belum rasa sebab pergi rumah miza, miza jamu mee rebus.. he..heh

Bahan-bahan: (untuk 10-12 orang makan)
1 bungkus mihun direndam air biasa
1 labu bawang besar (merah)-dihiris membujur
3 ulas bawang putih ditumbuk kasar
100 gm daging dipotong nipis
2 sudu besar udang kering ditumbuk halus
100 gm udang putih dibersihkan
*** pilihan; udang harimau, isi ayam, sotong -ikut citarasa
5 tangkai sawi dipotong 1 inci- ketuk batangnya
segenggam taugeh dibersihkan
2 sudu besar cili kisar
3 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
5 sudu besar kicap manis(kurangkan kalau tak suka warna gelap)
2 biji telur
garam secukup rasa
telur dadar, bawang goreng, daun sup, cili merah untuk ditabur di atas hidangan
Cara-cara:
1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam kuali. Tumis bawang besar hingga wangi. Masukkan udang kering, daging dan udang putih. Goreng seketika.
2. Masukkan cili kisar. Tumis sampai pecah minyak. Masukkan sos cili, sos tomato dan sedikit air. Kacau rata.
3. Masukkan sawi dan kicap. Masak 2 minit. Pecahkan telur dan kacau perlahan. Masukkan 1 sudu teh garam.
4. Toskan mihun dan masukkan dalam kuali. Tambah 1-2 cawan air. (Kalau ada air rebusan kulit udang atau rebusan ayam, lagi sedap)
5. Kacau mihun perlahan-lahan hingga mihun lembut. Tambah air jika kurang. Potong-potong mihun guna gunting. Rasa mihun dan kalau kurang masin, tambahkan garam. Bila mihun telah lembut baru masukkan taugeh. Kacau rata.
6. Bila cukup lembut, tutup api dan boleh dihidang untuk sarapan atau minum petang.
*** Chef Wan kata jangan buang kulit dan kepala udang camtu je. Rebus dan simpan air rebusan dalam 'freezer'. K.An ikut petua dia dan selalu guna untu goreng-goreng atau masak sayur. Tak membazir.

Friday, November 21, 2008

Ayam Masak Lemak Cili Padi

Masak lemak cili padi ni sama je bahannya dengan masak lemak cili padi udang hari tu, cuma bezanya untuk ayam atau daging, K.An tambah serai yang dititik dan ubi kentang.

Caranya pulak, ayam tu direbus dahulu dengan kentang hingga empuk. Tak perlu buang airnya tapi tambah je santan pekat dan bahan lain. masak semula seperti biasa. (rujuk resepi masak lemak cili api udang di 'kongsi resepi hari-hari')

Hari ni K.An masak nasi putih, buat masak lemak cili padi ayam, goreng tepung ikan sardin, buat cicah budu campur ulam-ulaman. Berpeluh-peluh A.Azam makan.. he..heh..

Ikan goreng tepung

Asyik-asyik ikan goreng.. sesekali tukar sikit jadi ikan goreng tepung.. lain rupa, lain rasa. Bahan pun senang nak cari..



Bahan-bahan:

5 ekor ikan sardin/ kembong dibersihkan

garam dan serbuk kunyit secukupnya

2 sudu besar tepung gandum

Cara-cara:

1. Gaulkan ikan dengan garam dan kunyit.

2. Taburkan tepung ke atas ikan dan golek-golekkan ikan hingga tepung rata. Tak perlu tambah air sebab ikan tadi dah basah-basah dan cukup untuk melekatkan tepung.

3. Panaskan minyak dan goreng ikan hingga keperangan atau garing ikut citarasa anda.

Dah siap, bolehlah dihidang bersama lauk lain atau sambal belacan.. Sedap dan mudah.

***perbezaan ikan goreng tepung ialah luarnya garing tapi isinya lembut, berbeza dengan digoreng biasa.

Kuih Sagu-Nampak Senang Tapi Tak Ramai Yang Tahu....

Selalu tak kita berada dalam keadaan yang mana kita rasa benda tu kita boleh buat, tapi bila cuba tak menjadi pulak... Ada yang nampak senang, tapi tanpa panduan dan pengalaman, jadi susah juga.
Begitulah bab masak-memasak ni...tengok orang buat,senangnya... bila makan, sedap, bahannya biasa-biasa je tapi kita, dok beli yang dah siap di kedai juga. Sebabnya tunjuk dengan jari, sedia duit... dah dapat...

Sebenarnya ramai tak sedar yang memasak sendiri makanan kegemaran kita di rumah, jauh lebih jimat daripada membeli. Kadang-kadang hingga 10 kali ganda jimatnya.

Untuk berapa resepi seterusnya, K.An kongsi hidangan-hidangan yang mudah, yang boleh kita masak sendiri di rumah untuk penjimatan. Terutamanya bagi yang dah ada ramai 'tentera' macam K.An

Kuih Sagu - hidangan untuk 10 orang


Bahan-bahannya:

1 cawan sagu biji (putih)

1/2 cawan gula kasar

kelapa putih yang digaul dengan sedikit garam

pewarna merah/sirap ros

1 1/2 cawan air untuk merendam sagu

1 1/2 cawan air dididihkan dalam periuk

Cara-cara:

1. Masukkan sagu ke dalam penapis. Lalukan air untuk membersihkannya. Toskan.

2. Masukkan sagu ke dalam mangkuk. Masukkan 1 1/2 cawan air. rendam sagu hingga kembang selama 15 minit. Tak perlu toskan.

3.Sementara menunggu sagu kembang, didihkan 1 1/2 cawan air dengan 1/2 cawan gula dan pewarna merah di dalam periuk.

4. Masukkan sagu yang direndam tadi dan perlahankan api. Kacau cepat-cepat agar sagu masak rata. Tambahkan 1/2 cawan air lagi jika sagu belum jernih kesemuanya. (Ikut jenis sagu- sagu yang bercampur tepung, perlukan lebih banyak air untuk jernih kesemuanya)

5. Proses mengacau mengambil masa lebih kurang 5 minit je. Bila dah kental, tutup api dan tuang sagu ke dalam loyang atau bekas tahan panas. sejukkan 1/2 jam. Potong dan hidang bersama kelapa parut yang dah digaul dengan garam.

Senangkan...! Keseluruhannya ambil masa lebih kurang 1 jam je..

***boleh juga guna sagu yang dah berwarna merah/pink tu, tapi K.An pernah cuba dan sagunya tak berapa cun.. macam bercampur tepung. Tapi kalau yang beli dari Sabah memang ok.

Sunday, November 16, 2008

Maqluba @ Maqlubah -Gabungan citarasa Arab-Melayu

Assalamualaikum..
Dua tiga hari ni, internet kat rumah 'problem' sikit. Kejap-kejap 'disconnect'.. 'Tension' jugak sebab tengah sedap taip resepi, tiba-tiba hilang.. termasukla resepi maqluba ni. Sebenarnya K.An dah taip berkajang-kajang(he..heh) tiba-tiba hilang. Apa lagi, K.An tangguhkan le dulu sebab banyak kerja lain nak buat.

Maqlubah dan Salata: (Nasi ni tak sama rasanya dengan nasi ayam, nasi beriyani, nasi tomato atau mana-mana nasi goreng sebab kesedapannya terhasil daripada air ayam dan sayur-sayuran yang dimasak bersama)


Nasi ni menjadi hidangan istimewa kami sekeluarga sebab tak dapat di tempat lain termasuk di kedai-kedai yang menghidangkan masakan Arab. Sebabnya, resepi asalnya K.An dah ubahsuai mengikut citarasa Malaysia. Abang Azam yang memperkenalkannya kepada K.An seawal perkahwinan kami.. Dia dapat dari Jordan semasa dia belajar di sana dulu-dulu. Bila mula-mula rasa, memang sedap.. tapi K.An rasa ada yang perlu ditambah agar lebih...laju lagi masa makan.

Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya K.an menghasilkan resepi maqluba edisi K.AN. Ini pun dah lebih 10 tahun kami simpan.. bukannya apa, tak ada orang yang mintak sebab nampak macam susah.. Adik-beradik dan saudara-mara pun, kalau nak makan, suruh A.Azam atau K.An yang masak.

Jadi di sini K.An perturunkan resepi ni sebagai sebahagian amal jariah kami.. Selamat mencuba sebab memang sedap dan kalau K.An masak untuk keluarga, terpaksa 'double' sukatan daripada nasi biasa..



*** kalau tak sempat habis ada masalah internet la ni..

Bahan-bahan: (untuk makan 10 orang)

(A)

1 ekor ayam dipotong 10

4 cawan beras super 5%

(B)

Rempah dibancuh dengan secawan air:

6 sudu besar serbuk ketumbar Babas

2 sudu besar rempah kari ayam/daging

1 sudu besar rempah sup Adabi(serbuk)

12 cawan air biasa

(C)

Sayur-sayuran:


2 batang lobak merah dibelah empat dipotong panjang 1 inci
2 batang terung panjang dibelah dua dan potong 1 inci(jangan kupas)
2 biji kentang dikupas kulit dipotong 8
bunga kobis dipotong sederhana besarnya

***Goreng semua sayuran berasingan dalam minyak baru yang banyak hingga keperangan.Angkat dan ketepikan dulu.

Bahan Salata (Salad)

2 biji timun dipotong dadu kecil

3 biji tomato dipotong dadu kecil sama saiz dengan timun

5 sudu besar cuka

garam,gula secukup rasa

**** campurkan semua, gaul dan sejukkan dalam peti ais

Untuk ditumis:

5 ulas bawang merah dimayang

2 ulas bawang putih dihiris

1 inci halia dihiris halus

1 batang kulit kayu manis

2 kuntum bunga lawang

3 kuntum bunga cengkih

3 kuntum buah pelaga

Cara-cara memasak ayam:

1. Panaskan 5 sudu besar minyak dalam periuk besar. Tumiskan bahan tumisan hingga wangi dan keperangan.

2.Masukkan rempah. Rempah hendaklah dikacau sentiasa agar tidak hangus dan tambahkan sedikit air jika perlu. Tumiskan hingga pecah minyak

3.Masukkan 12 cawan air ke dalam periuk. Masukkan ayam. Masak hingga mendidih dan ayam masak.

4. Masukkan garam secukupnya. Didihkan lagi dan tutup api.

Cara memasak nasi:

!. Basuh beras dan toskan. Masukkan ke dalam periuk nasi. Masukkan ketulan ayam. Susun di atas nasi. Taburkan sayuran di atas ayam.

2.Masukkan 8 cawan air rebusan ayam tadi ke dalam periuk nasi. (Kacau dahulu air rebusan setiap kali menceduk agar rempah tidak mendap)

***kurangkan 1/2 cawan air jika beras jenis lembek

3. Masak nasi seperti biasa hingga masak.

Sementara tu masak semula lebihan air rebusan untuk dijadikan sup. tambah secawan air dan sedikit lagi garam. Didihkan. Taburkan daun sup dan bawang.

Bahan Sos: 5 biji cili merah. 2 biji cili padi. 1 biji tomato. 1/2 cawan sos cili. 1/2 cawan air.

Masukkan kesemuanya ke dalam pengisar dan kisar sampai hancur. Keluarkan dan tambah garam, gula secukupnya. Lebihkan rasa manis untuk sos yang sedap.

Apabila semuanya siap, hidangkan bersama salata, sup dan sos seperti di dalam gambar. Memang menyelerakan. tak percaya, rasalah sendiri. Mula-mula masak, memang nampak susah dan renyah, tapi bila dah selalu buat, senang dan tak payah pening kepala fikir lauk apa nak masak.. Tapi kalau malas juga, 'order' je kat K.An... Sentiasa sedia berkhidmat.. He..heh

Alhamdulillah, berjaya juga disiapkan resepi ni.. lepas ni nak me'ngeteh' ngan A.Azam dan anak-anak kat kedai mamak.

Saturday, November 15, 2008

Puding Koktel

Puding koktel ni memang popular dan digemari di rumah-rumah terbuka atau mana-mana majlis makan-makan. Rasanya yang sedap, masam-manis dan menenangkan menjadi pilihan semua. Rupa pun cantik...

Resepi puding ni dah lama K.An gunakan sejak lebih 10 tahun dulu(masa K.An dok di Kuang) lagi. Sabtu lepas anak saudara K.An, Nurul (lebih dikenali 'Aloi')mintak resepi puding koktel ni sebab dia dah tersalah ikut resepi puding yang bukan citarasa dia. Kebetulan masa dia sekeluarga datang, K. An buat puding ni.

Jadi Aloi, jangan tak cuba pulak lepas ni....



Bahan-bahan:

3/4 cawan agar-agar kering( dibasuh lembut dan disukat dengan cawan)

5 cawan air

5 sudu besar gula (tambah kalau suka manis)

1 cawan susu cair

2 sudu besar tepung jagung

1 biji telur

1 cawan buah-buahan dalam tin dan sirapnya

Cara-cara:

1. Masak Agar-agar dengan 5 cawan air di dalam periuk hingga semua agar-agar cair

2. Bila mendidih, masukkan gula. Kacau hingga gula hancur.

3. Masukkan susu cair. Perlahankan api. Sementara tu sediakan acuan.

4. Masukkan buah-buahan dan 3-5 sudu besar sirapnya ke dalam acuan. Ratakan. Biar satu lapisan sahaja agar puding senang dipotong nanti.

5.Campurkan telur dan tepung jagung di dalam mangkuk. Pukul dengan garpu hingga tepung tidak berketul. Masukkan ke dalam periuk dan kacau rata.

6. Tuang campuran puding ke dalam acuan dan kacau buah-buahan dan sirap hingga rata. Ketepikan dulu sehingga puding suam. Kemudian baru masukkan ke dalam peti ais. Boleh dipotong selepas 1 jam.

****Selamat mencuba. Untuk Aloi, cuba jangan tak cuba. Nanti boleh jamu bakal mak mertua..he..heh

Petua: Simpan lebihan buah dalam tin di dalam bekas plastik (tupperware) sebelum disimpan di dalam peti ais kerana tin yang telah dibuka akan berkarat dan bertukar warna di dalam peti ais.

Kuih Cara Manis

Ini kuih kegemaran anak-anak K.An, anak-anak saudara- Farhana (anak Kak T), dan Nur Amalina (anak Kak Mah)

Bahan-bahan:

3 cawan tepung gandum
2 cawan air pandan
1 cawan santan
2 biji telur
1/2 sudu teh garam
sedikit pewarna hijau

*** Campurkan semua bahan di dalam mangkuk menggunakan pemukul ('whisk'), dan kacau hingga sebati dan licin. Sekiranya agak pekat campurkan 2,3 sudu besar air. tambah sedikit pewarna hijau untuk warna yang lebih cantik. Tapiskan.

Bahan lain:

1 cawan gula halus
daun pandan
margerin

Cara-cara:

1. Panaskan acuan kuih cara di atas dapur. Pastikan api perlahan tetapi sekata.
2. Sapukan margerin pada acuan menggunakan daun pandan.
3. Sendukkan bater (adunan) ke dalam acuan sehingga habis lubang acuan... sejurus itu, terus masukkan 1/4 sudu teh gula ke dalam adunan yang masih cair.
4. Tutup acuan dan kuih yang sedang di masak tadi. Seeloknya guna tutup kaca supaya senang nak tengok kuih dah masak ke belum.
5. Kuih akan masak apabila warnanya bertukar hijau pekat dan keluar wap pada penutup kaca.
6. Buka penutup dan angkat kuih menggunakan dua garpu kecil.

7. Ulang proses, sehingga habis adunan.

** pastikan api perlahan, sepanjang proses memasak

.Karipap Keledek

Seingat K.An, karipap ni antara kuih yang paling awal sejarahnya. Daripada kecil, tahu je makan kuih, K.An dah kenal karipap. Belum lagi mak K.An yang lahir tahun 50-an... dah pun kenal karipap juga. Terima kasihlah kepada insan yang merekacipta resepi asal karipap yang sentiasa enak dinikmati dan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Karipap bukan sahaja dinikmati di kalangan orang kebanyakan di kampung-kampung, malahan tetap 'kelllas' di majlis orang kenamaan di bandar dan di hotel-hotel.

Bagi kami sekeluarga, seperti kuih-muih lain yang disediakn setalam besar untuk memenuhi keperluan kami 10 adik-beradik, begitulah juga ceritanya dengan karipap. Dulu-dulu mak k.An gunakan 2,3 biji botol sos kosong sebagai pencanai/ penggelek untuk membuat karipap. Riuh rendah kami bergotong-royong buat karipap macam kenduri walaupun sebenarnya hanya untuk dimakan sendiri.
K.An masih ingat, kami juga mengambil tempahan buat karipap kalau ada mesyuarat di Balairaya yang terletak dekat 'bebenor' dengan rumah kami. Kalau orang nak cari rumah 'Cikgu Shaari' (arwah ayah) pun 'landmark'nya ialah balairaya Parit Haji Amin. Ketika itu ketua kampung kami ialah arwah TokSu K.An (arwah Hj.Hassan) yang sangat terkenal di kawasan kami sekitar Batu 5, Jalan Baharu...

Sebut karipap, mengingatkan k.An kepada pakcik yang menjaja karipap,nasi lemak dan mihun goreng kat dalam Keretapi Senandung Malam dan Ekspress Langkawi sekitar tahun 90-an masa K.An di UIA dulu. Masa tu keretapi adalah kenderaan pilihan utama K.An untuk balik kampung dari Kuala Lumpur ke Parit Buntar. K.An suka naik keretapi sebab lebih selamat (bagi orang perempuan) dan k.an tak suka bau asap di Puduraya.
Berbalik cerita pakcik ni... Memang setiap kali naik keretapi, memang dia ada... bawak bakul dari satu gerabak ke gerabak yang lain menjaja karipap,nasi lemak dan mihun. Kepada yang biasa naik keretapi macam k.An tentu kenal pakcik ni... Dah lebih 10 tahun tak naik keretapi.. tak tahulah masih seperti dulu lagi atau dah berubah keadaannya.
Begitulah alkisah karipap dalam kamus K.An..


Kurma Ayam



Wednesday, November 12, 2008

Apam Beras

Bahan-bahan: (menghasilkan lebih kurang 60 biji apam comel)

A) 1 mangkuk nasi sejuk. 1/2 biji ragi (seperti gambar) disagat pada penapis dan gaul rata pada nasi. Masukkan dalam bekas bertutup dan biarkan 2 malam sehingga menjadi secawan tapai.

B) 1 paket 500 gm tepung beras
3 cawan air biasa
1 cawan gula pasir
1 cawan tapai nasi (daripada A)

C) 2 paket Eno biasa (peket biru)
kelapa putih parut

Cara-cara:

1. Masukkan tepungberas, 1 cawan tapai nasi, gula dan air ke dalam 'blender' Kisar sampai campuran hancur dan sebati. (lebih kurang 3 minit)

2. Tapis ke dalam bekas besar bertutup ('tupperware') Gaul rata. Tutup dan perap sekurang-kurangnya 6 jam. Terlebih sikit tak apa. Contohnya buat adunan malam, pagi baru buat proses seterusnya.

3. selepas 6 jam... Panaskan pengukus. Sediakan acuan apam. (tak perlu lenser)

4. Campurkan eno ke dalam adunan. gaul rata hingga berbuih. Bahagikan adunan kepada warna kegemaran anda. masukkan kedalam acuan 3/4 penuh. kukus 10 -15 minit.

5. keluarkan daripada pengukus dan kuih boleh dikeluarkan daripada acuan. Hidang bersama kelapa putih yang digaul sedikit garam.

Bubur 'Asyura


Assalamualaikum,

Bila mama esyaelyn minta resepi bubur asyura, K.An terus teringat kemeriahan menyediakan bubur 'Asyura di kampung. Masa kecik-kecik dulu memang 'best' ikut mak pergi surau masa kenduri 'Asyura. Kalau kenduri kahwin, tukang masaknya lelaki, tetapi hari ni, kaum Hawa diberi peluang berkumpul ramai-ramai di surau seawal pagi untuk menyediakan bubur 'Asyura. Budak-budak macam K.An waktu tu pulak dapat le main-main dengan kawan-kawan kat keliling surau.

Setiap orang akan bawak bahan-bahan mentah ikut kemampuan masing-masing. Ataupun yang ada ditanam di keliling rumah. Contohnya beras, keledek, jagung, labu, Sayur pucuk manis, kacang panjang, labu air, cili dan macam-macam lagi... Meriah...! Sampai sekarang tradisi tu masih ada di kampung K.An (Parit Haji Amin), cuma K.An tak berpeluang balik masa hari buat bubur tu... rindu jugak suasananya.

Elok jugak agaknya kalau sesekali kita pakat ramai-ramai kongsi bahan, buat bubur 'Asyura kat pekan ni. Jimat pun jimat... makan pun sedap.. he..heh

Bubur 'Asyura manis

Bahan-bahan:

Pelbagai jenis kacang ikut kegemaran, tapi K.An selalu buat yang paling asas;

Kacang hijau, kacang merah, kacang putih, kacang parang, kacang kuda dan kacang soya
Semuanya sikit-sikit, lebih kurang segenggam. Senang kalau beli di pasaraya yang timbang sikit-sikit tu.

K.An dah buat:

1/2 cawan kacang merah (kidney bean)
1 cawan kacang hijau
1/2 cawan kacang putih (black eyed bean)
2 sudu besar sagu biji
1/2 cawan air gula melaka (pekat daripada sekeping gula melaka)
1/2 cawan- 3/4 cawan gula pasir (ikut rasa manis)
2 sudu teh garam
5 cawan santan
1 cawan tepung beras
5 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
1 helai daun pandan diikat
4 biji pisang awak masak dihiris 1/2 sm

Cara-cara:

1.Rendam semua kacang berasingan semalaman. Pagi tu, rebus kacang, berasingan juga sampai empuk. Lebih mudah kalau rebus guna 'pressure cooker'. Kalau guna periuk biasa, kena sabar sikit sebab ada kacang yang agak keras dan lambat empuk.

2.Bila dah empuk, toskan kecuali kacang hijau dan ketepikan dulu.

3.Sambil tu sedia bahan lain untuk dijadikan kuih. Masukkan santan, air gula merah, gula pasir, tepung gandum, tepung beras, daun pandan, tepung jagung ke dalam periuk. Masukkan semua kekacang.

4. Kacau dulu guna pemukul ('whisk') hingga tepung larut. Cedok 2 cawan campuran kacang, santan dan tepung dan kisar dengan pengisar basah hingga halus. Masukkan semula ke dalam periuk.
5. Hidupkan api sederhana. Kacau sentiasa bubur dengan senduk agar tidak hangus. Apabila bubur mula mendidih, perlahankan api.

6. Bila bubur pekat masukkan pisang dan garam. Tambahkan gula putih kalau masih belum cukup manis.

Kalau suka, boleh tambah jagung, nangka atau kismis, supaya ada rasa masam-masam manis.. Bila bubur telah pekat dan berkilat, keluarkan daun pandan dan tuang bubur ke dalam
loyang atau bekas. Ratakan dan sejukkan.

Bila dah sejuk boleh dipotong macam kuih talam..

*** kali pertama cuba, mungkin tak berapa jadi, tapi jangan putus asa, cuba dan terus mencuba..
***kepada yang tak tahan makan benda berangin macam kacang-kacang ni (macam adik K.An si Nida.. he.heh..) sedialah minum air halia madu atau makan pil garlic kalau tak nak sakit perut.

Sunday, November 9, 2008

Roti John Kak An

Ceritera Roti John... tak tau la K.An siapa yang bagi roti ni nama 'John'. Yang dok makannya orang Malaysia- Melayu, China, India... tak nampak pun John yang beli atau buat.. ha..hah

Kami sekeluarga kenal roti ni 6 tahun lepas kat Bandar Tasik Puteri. Ada pasar tani hari Rabu kot, (da tak ingat harinya..) Ada satu gerai jual 'Roti John' ni. Tiap minggu gerai ni paling meriah sebab panjang Qnya.. Kami pun cuba dan memang sedaap.. Adik-adik tukang masak tu pun ramah dan bersopan-santun.. Tu nilai tambah yang penting dalam berniaga.

Macam biasa misi K.An, masa tunggu dia masak roti ni, K.An tengok dan belajar.. Senang je.. Cumanya, sehingga hari ni, banyak-banyak Roti John yang kami cuba, resepi Bdr Tasik Puteri ni yang paling sedap...(ikut selera K.An la..orang lain tak tau). Dan yang K.An dan A.Azam paling kagum, salah seorang tukang masaknya kurang upaya, tapi cekap mengendalikan roti tu kat atas kuali.. hebat. Tu yang buat K.An malu kalau kita yang sempurna ni tak pandai buat.


Bahan-bahan:

Roti John/6 Roti Hotdog

1/2 cawan isi ayam dicincang atau potong kecil (boleh ganti dengan daging)

2 sudu besar rempah kari ayam/daging

1 labu bawang besar didadu

2 ulas bawang putih dicincang

3 biji telur

1 sudu teh serbuk lada hitam/ lada hitam ditumbuk halus

timun dicuci dan diparut kasar- jangan kupas kulitnya

margerin, sos cili dan mayyonaise secukupnya

Cara-cara:

Penyediaan inti:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam periuk. Tumis bawang hingga wangi. Masukkan rempah kari yang dicampur 1/4 cawan air. Kacau agar tidak hangus. Masukkan ayam/ daging.

2. Masukkan sedikit garam. Kacau hingga ayam masak dan kuah pekat. Tutup api, ketepikan.

3. Belah dua roti dan sapukan margerin. Panaskan kuali leper. Bakar bahagian dalam roti yang disapu margerin tadi 1 minit. Ulang proses untuk kesemua kepingan roti. Ketepikan.

4. Sementara tu, masukkan inti ayam ke dalam mangkuk. Campurkan dengan telur, serbuk lada hitam dan sedikit garam (biar sedikit, jangan terlebih masin). Pukul sebati dengan garpu....

5. Letakkan sedikit margerin pada kuali Sapukan/ ratakan 1 -2 sudu besar inti pada roti dan terlangkupkan di atas kuali (cepat-cepat agar tak tumpah.) Panggang hingga masak (2-3 minit).Angkat dan ketepikan.

*** jika kuali besar saiznya, boleh buat banyak sekaligus macam kat gerai selalu tu..

6. Ulang proses untuk kesemua kepingan roti. Selepas semuanya selesai, parut kasar timun ke dalam mangkuk.

7. Sapukan sos cili/ tomato dan mayonnaise di atas roti dan taburkan timen parut tadi. (3 bahan ni, lagi banyak, lagi sedap)

Dah siap...dah jimat RM 10

***Timun parut boleh diganti dengan timun dihiris, tomato atau salad -ikut citarasa.

Saturday, November 8, 2008

Sedapnya selera kampung...

Sebut je selera kampung, kita akan segera terbayang ulam-ulaman, sambal belacan, ikan bakar, sayur lemak dan macam-macam jenis lagi masakan Melayu yang tak jemu dijamah... walau apa taraf hidup kita sekarang. Walaupun dan berpangkat besar dan berkedudukan tinggi, asal-usul kita tetap tidak dilupa. Kalau dah tekak sambal dan belacan, tak payah la nak berlagak ganti dengan mayonaise atau salad. Sesekali tu tak mengapa, tapi yang kampung juga tetap menyelerakan.

Macam K.An yang memang orang kampung, rumah dekat bendang(sawah padi), ikan darat dan ayam kampung makanan harian kami, jantung pisang dan pucuk ubi ulam kami... maka dalam bab masak dan makan ni, mestilah yang kampung pilihan utama..

K.An ada banyak koleksi masakan kampung yang dipelajari daripada mak K.An sejak K.An mula pandai guna senduk dan kuali lebih kurang 23 tahun dulu... Masak pedas ikan sepat, masak asam keladi, kerabu pucuk paku, payes ikan temenung(kembung), masak lemak jagung muda(putik jagung) dan yang paling best, ikan terubuk bakar dengan air asam.. Ada rezeki, nanti K.An kongsikan.

Yang 'special'nya masakan kampung, bukan terletak pada masakan sahaja, tetapi pada bahan mentah yang segar dan cara penyediaan dan memasak yang berbeza dengan masakan sekarang. Contohnya, santan yang diparut atau dikukur sendiri, cili dan sambal yang digiling dengan batu penggiling dan ikan yang dibakar menggunakan sabut kelapa dan kayu. Sampai sekarang K.An tetap merasakan ikan bakar dengan api sabut paling sedap rasanya.

Tapi zaman berubah. kalau nak merasa semua tu, kenalah balik kampung... kalau di Putrajaya ni bakar dalam kuali jelah... Tapi Alhamdulillah di sini ulam-ulaman senang dapat kat pasar. Ikan keli yang K.An nak masak ni pun boleh dapat tiap-tiap hari yang hidup... He.heh.. Tapi K.An tak siang sendiri. K.An mintak orang yang jual tu siang dulu le.
Lain la kalau mak (Hjh. Selamah), kak N (kakak sulung) atau kak Mah (kakak kedua)... memang terer bab siang ikan darat yang hidup-hidup tu...

Oklah dah panjang cerita, hari ni K.An kongsi resepi yang senang juga.. masak pedas ikan keli atau,

Sambal Ikan Keli

Bahan-bahan:

5 ekor ikan keli, dibersihkan dan dicuci dengan air limau dan asam
Ratakan garam dan kunyit dan goreng separa garing.Ketepikan.

3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
*** tumbuk halus atau kisar semua bawang

1/2 cawan cili kisar atau cili boh
3 sudu besar air asam jawa
1 labu bawang besar dipotong melintang (jadi gelung bulat)
1/2 cawan air
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara:

1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan cili kisar. Tumis sampai pecah minyak.
3. Masukkan air. masukkan air asam dan masak sampai kuah pekat. masukkan hirisan bawang besar. Kacau lagi.
4. Masukkan ikan keli yang telah digoreng tadi. Gaul rata.Tambahkan sedikit gula dan garam secukup rasa.

Sedia dihidang bersama nasi putih..

Sesekali suamiku ke dapur..

Hari sabtu macam hari ni, K.An memang selalu rehat-rehat dulu lepas solat subuh. Kalau dah mengantuk memang terlelap balik dengan baby maryam dan aisyah. A.Azam macam biasalah hari sabtu ada kuliah di surau..

Sedar-sedar K.An dengar ketang-ketung kat dapur. A.Azam 'repair' sinki yang dok menitik, dan kata nak masak sarapan hari ni. Ok... menu kegemaran A.Azam..nasi goreng la tu.

Kalau orang lelaki yang memasak, tau je la.. bahannya, yang K.An biasa guna 3 kali masak, dia guna sekali masak je..ayam, ikan bilis, telur.., semua masuk. Tu yang lagi sedap. K.An bagi can la dia guna dapur hari ni. Boleh juga masukkan nasi goreng dia dalam blog.. He..heh. Sambil tu K.An cuci kain, sidai kain dan mengemas..

Tiba-tiba, Allah...!!! dengar kat dapur.. Apa hal pulak ni..? Rupanya A.Azam dah terpecah telur busuk kat dalam rencah nasi goreng dia yang dah sedap baunya tu... he..heh.. Kantoi..! Camna ni? K.An tengok, separuh kuali je yang kena.. tapi A.Azam kata buang je semuanya.. K.An tak komen apa-apa, cuma tolong dia kemas dan cuci semua bekas-bekas yang dia guna tadi.

K.An pandang dia sambil sengih, tanya... Nak An masak ke..?.. Nak gi kedai je...? Ha..hah. Gi Kedai jelah.. Kami pun siap-siap.. start kereta, pergilah Darussalam.. Macam-macam ada..!

Tapi yang penting, pengajarannya, setiap kali nak masak telur, pecahkan dulu kat dalam mangkuk, baru masuk periuk atau kuali. K.An dah pernah terkena.. jadinya memang sentiasa berjaga-jaga. Kalau tak sabar, boleh menangis dibuatnya kalau apa yang kita nak masak.. hancur dek telur busuk tu..

Tengahari K.An masak sambal Ikan keli.. esok K.An masukkan resepinya.. Ptg ni K.An buat cekodok pisang atau jemput-jemput pisang. Dah jadi 'trademark' keluarga kami, cekodok pisang mesti comel-comel, sebesar buah guli je..

Resepi ni boleh guna untuk buat lempeng pisang yang K.An janji hari tu juga.. senang..

Jemput-jemput Pisang Comel


Bahan-bahan:

10-12 biji pisang awak yang masak (ikut saiz) -potong 4
5 sudu besar gula
1/2 cawan air
*** masukkan dalam blender basah- kisar sampai hancur rata

1 cawan tepung gandum
1 sudu teh garam
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

1. Campurkan bancuhan pisang dengan tepung gandum dan garam. Gaul dengan senduk hingga sebati.
2. Panaskan minyak. Jemputkan adunan guna hujung jari ke dalam minyak yang dah panas tadi. 3. Buat sampai penuh kuali. Kacau dan balik-balikkan gorengan agar tidak hangus.
4. Bila cekodok berwarna perang gelap, bolehlah diangkat. Toskan di dalam penapis beralas tisu dapur dan sedia dimakan panas-panas.

Sayur Taugeh Campur

Antara sayur yang sentiasa ada kat dalam peti ais K.An ialah taugeh dan kucai sebab selalu digunakan kalau buat kuih, goreng-goreng mee, mihun, kue teow dan kerabu.

Selain tu kalau malas nak masak sayur yang susah, atau boring makan ulam kita goreng camni je. Senang...

Bahan-bahan:

sayur taugeh 20 sen- dibersihkan

1/2 batang lobak merah dihiris nipis

sedikit daun kucai dipotong 1/2 inci

1 biji cili merah dipotong serong

2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih ditumbuk kasar

1 sudu besar ikan bilis yang telah dikopek

Cara-cara:

1. Panaskan 2 sudu besar minyak. masukkan ikan bilis dan bawang yang telah ditumbuk tadi. Goreng seketika.

2. Terus masukkan lobak merah dan cili. Tambah 2 sudu besar air. Masukkan garam.

3. Masukkan taugeh dan kucai. Kacau goreng cepat-cepat. Tutup api dan boleh dihidang.

Sayur ni tak boleh masak lama-lama nanti jadi tak rangup dan tak sedap... Satu lagi taugeh mestilah segar. Beli taugeh yang belum direndam di dalam air.

Friday, November 7, 2008

Kongsi resepi hari-hari

Jumpa lagi,

K.An sebenarnya taklah ada masa lapang pun sebab hari-hari sibuk mengurus rumahtangga dan anak-anak. Tapi atas keperluan adik-adik, kakak-kakak, kawan-kawan, saudara-mara yang selalu telefon k.an minta resepi masakan hari-hari, K.An dan A.Azam usaha jugak buat blog ni untuk semua. Jadi lepas ni tak payah la k.an menaip resepi kat telefon lagi. Siapa-siapa yang nak resepi boleh rujuk dekat laman ni dan InsyaAllah yang mana sempat k.An masukkan dalam 'periuktanah'...senang kan..?

Hari ni k.An pergi pasar dengan anak-anak yang berempat tu. Saja nak jalan-jalan sebab A.Azam 'out-station' tiga hari. Dah siap-siap beli barang dah pukul 11.30.. Perut pun dah lapar.. so, K.An kena masak yang senang, cepat dan sedap.. Always and all time favourite..masak lomak cili api.

Kali ni K.An buat Masak Lemak Cili Api Udang dengan Nenas

Bahan-bahan:

500 gm udang harimau dibersihkan

Bahan ditumbuk halus:

5-10 biji cili padi (ikut suka podaihnye..)

3 ulas bawang merah

1 sm kunyit hidup

Bahan lain:

1cawan santan pekat

2 keping potongan nenas dipotong kecil

garam, gula secukup rasa

Cara-cara:

1.Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali garam dan gula.

2.Masak dengan api sederhana sehingga mendidih.

3. Perlahankan api, masukkan garam dan gula secukup rasa.

*** Kalau nak banyak kuah, tambah je santan lagi. Kalau tak cukup kuning, tambahkan kunyit serbuk.

Sedia dimakan dengan nasi putih. Sambil tunggu masak lemak ni mendidih, K.An sempat masak Ayam goreng kunyit, dan sambil masak nasi, K.An goreng sayur taugeh campur kucai dan karot.

Pukul 1.00 tgh kami dah boleh makan tengahari.. cepat, sedap dan berkhasiat.

Wednesday, November 5, 2008

Terkenang semasa dulu....

Musim hujan macam sekarang ni menyebabkan k.an selalu teringat masa k.an kecik dulu-dulu kat kampung. Kalau musim hujan, kami adik-beradik yang ramai ni, memang selalu lapar. Kalau tak bubur kacang, cekodok atau cok bawang, biskut kering pun jadi. Arwah ayah beli biskut 1 tin besar atau 1 kotak yang ada 12 paket kat dalam. Dengan 10 mulut ni, sekejap je biskut tu habis.. Arwah ayah kata, kalau kami ni, keropok sabut pun habis licin kami bedal.. Ha.hah

Mak (Hjh. Selamah) memang rajin memasak. Dari subuh sampai ke malam, dapur kami sentiasa berasap. Masa tu pakai dapur kayu dan dapur minyak je. Memang berasap... Kerana masakan mak lah kami sentiasa ceria dan gembira bersama keluarga. Antara masakan mak yang k.an suka ialah serunding kerang. Selalunya dimasak masa Hari Raya untuk dimakan bersama 'Pulut Pasong' (masakan orang banjar iaitu pulut yang dimasak, dibalut dengan daun pisang, kemudian dikukus)***

Hujan-hujan ni sedap jugak dapat makan serunding kerang dengan lempeng pisang.. Dah masak, memang sedap dimakan..Jadi, inilah resepinya,

Serunding Kerang:

Bahan-bahan:

1 kg kerang, direbus,sejukkan dan dibuang kulit

Bahan dikisar/ditumbuk halus:

5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih

1/2 sm halia

1/2 sm lengkuas
2 batang serai dititik

Bahan lain
2 sudu besar cili kisar/ boh

1 sudu besar kerisik

1/2 cawan santan

2 helai daun kunyit dihiris halus

daun limau purut dihiris halus

garam, gula secukup rasa

2 sudu besar minyak masak


Cara memasak:

1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar hingga wangi dan cili masak.

2. Masukkan santan dan kerisik. Kacau hingga pekat dan pecah minyak. Masukkan kerang, garam dan gula secukup rasa.

3. masukkan daun kunyit dan daun limau purut. Kacau rata dan tutup api. Sedia dihidang bersama ketupat, pukut kuning atau lempeng yang k.an masak..Mmm sedapnya..


Lempeng pisang:

Gambar ada tapi k.an masak tadi pakai masuk je, takde sukatan. Bahannya, pisang awak dilecek atau kisar pakai blender, tepung gandum, gula, garam dan sedikit air.Campur je semuanya. Sedikit minyak untuk lengser kuali. InsyaAllah lain kali k.an buat sukatan bahannya.

Sunday, November 2, 2008

Pot Luck

Minggu lepas, kak azah sms kata nak buat makan-makan keluarga kat rumah dia. Dia tempah nasi dan lauk-pauk. Kami dari Putrajaya diminta buat pencuci mulut. Satunya tepung talam, dan dua lagi K.An sukarela nak buat. Saja suka-suka. Jadi K.An masak yang kami anak-beranak memang suka makan.. pengat pisang, tepung talam dan cara berlauk.


Pengat pisang

Bahan-bahan:
1 sikat pisang awak di potong serong 1/2 sm tebal
1 sudu besar sagu halus direndam dengan 2 sudu besar air
4 cawan santan cair
gula secukup rasa
2 sudu teh garam
1 helai daun pandan dikoyak dan disimpul
* boleh ditambah gula merah/ melaka ikut cita rasa
Cara-cara: (senang je..)
1. Masukkan semua bahan ke dalam periuk kecuali gula dan sagu.
2. masak menggunakan api sederhana hingga mendidih. Perlahankan api dan masukkan gula. Mula dengan 2 sudu besar. Tambahkan sedikit demi sedikit ikut citarasa.
3. Masukkan sagu. Kacau sentiasa pengat, agar tidak pecah minyak selama lebih kurang 3 minit dan pengat mendidih. Tutup api dan sedia dihidang panas atau sejuk.
** pisang awak boleh diganti dengan pisang abu atau pisang raja

Tepung Talam


Bahan-bahan:
(A)
3/4 cawan tepung beras
1/3 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan santan sederhana pekat
1 sudu besar air kapur cair
(B)
1/2 cawan air gula merah/melaka
1 sudu teh garam
cara-cara:
1. Campurkan semua bahan (A) menggunakan 'whisk'. bahagikan dua bahagian sama banyak. masukkan ke dalam mangkuk berbeza.
2. Satu mangkuk untuk lapisan bawah dicampur 1 sudu teh garam. panaskan pengukus.
3. Tapis lapisan bawah ke dalam loyang. kukus 10-15 minit atau hingga masak.
4. Satu mangkuk lagi dicampur dengan 1/2 cawan air gula merah. boleh ditambah gula putih jika ingin lebih manis.
5. Setelah lapisan bawah masak, tapis lapisan atas dan kukus lagi 15 minit.
***petua: cedok air lebihan air di atas setiap lapisan kuih menggunakan sudu agar kuih tidak lembek ketika sejuk nanti

Kuih Cara Berlauk

Bahan untuk bater:

3 cawan tepung gandum
1/2 cawan santan cair
1 biji telur
3 cawan air biasa
2 sudu teh garam
kunyit secukupnya

* campur semua bahan dan gaul menggunakan 'whisk' sehingga sebati. Tambahkan air sedikit demi sedikit sehingga adunan cair seperti adunan roti jala.

Bahan untuk inti (+- 50 biji kuih cara):

1/2 cawan isi ayam dicincang kecil
2 sudu besar rempah kari ayam/daging dicampur 1/2 cawan air
1 labu bawang besar dipotong dadu
2 ulas bawang kecil dipotong dadu
2 ulas bawang putih ditumbuk halus
2 sudu besar minyak masak untuk menumis
1/2 cawan air
garam, gula secukup rasa



Cara-cara:

1. panaskan minyak. Tumis bawang besar, bawang merah dan bawang putih hingga wangi.
2. Masukkan rempah kari dan tumis hingga pecah minyak. campurkan 1/2 cawan air lagi. Kacau perlahan-lahan agar tidak hangus.
3. masukkan isi ayam. kacau rata dan tutup periuk seminit. masukkan garam dan sedikit gula. masak hingga pekat. Sejukkan.

Bahan-bahan ditabur di atas kuih:

1 cawan bawang goreng
1/2 cawan daun sup dan bawang
2 biji cili merah dihiris nipis panjang 1cm (spt dalam gambar)

Cara memasak:

1. Panaskan acuan kuih cara. Gunakan api perlahan dan rata untuk acuan sepanjang proses memasak. sapukan margerin ke dalam acuan menggunakan daun pandan yang diikat.

2. Tuang bater ke dalam acuan hingga hampir penuh. Isikan 1/3 sudu kecil inti ayam di tengah kuih. taburkan bwg goreng, cili dan daun sup/bawang seperti di dalam gambar.

3. Tutup acuan menggunakan tudung kaca, supaya senang nak tengok kuih dah masak ke belum.

4. Kuih masak apabila keluar wap dan warna kuih bertukar kuning pekat. Buka tutup dan keluarkan kuih menggunakan 2 garpu kecil.

*** Ulang proses 1- 4 hingga habis bater dan inti

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin